BAB 3: CIKGU MATEMATIK TAMBAHAN (5/5)

14 0 0
                                    

Pada minggu ini, semua pelajar dibenarkan pulang pada pukul 2 petang supaya mereka diberi masa mengulang kaji sendiri untuk menghadapi peperiksaan pertengahan tahun minggu hadapan. Semua aktiviti ko-kurikulum, sukan dan kelab-kelab juga ditunda sehingga peperiksaan berakhir.

Amir menggelek basikalnya. Seperti dijangkakan, dia nampak Razlan berjalan di hadapannya beberapa meter. Dia nampak seorang perempuan berjalan di sisi Razlan. Amir hanya meneka itu adalah Aisyah. Dia mengejar lelaki itu.

Apabila dia sampai di tepi Razlan, jangkaannya meleset sama sekali. Terperanjat dia, perempuan yang berjalan di sisi Razlan bukan Aisyah, tetapi pelajar perempuan yang bukan sahaja dia, malah satu sekolah ini cukup kenal. Iaitu Balqis. Keterujaan dia untuk bertemu Razlan terpadam sekelip mata. Sebaliknya, dia tertanya-tanya kenapa Razlan berjalan bersama-sama dengan Balqis.

Termengah-mengah dia membetulkan pernafasannya membuatkan Razlan dan Balqis memandangnya dengan pandangan selek, ataupun pandangan yang menjengkelkan. Amir berasa janggal. Dia berasakan dirinya seperti mengganggu saat romantis Razlan dan Balqis. Dia betul-betul rasa serba salah.

Ditambah lagi, mereka masing-masing berdiam diri apabila Amir mengekorinya. Nak sahaja Amir mengundurkan diri.

Sampai di pintu pagar sekolah, Balqis seperti biasa akan meminta diri lalu beredar dengan menaiki kenderaannya. Sempat dia mengerling ke arah Amir. Pandangan mencemuh. Tinggallah Razlan dan Amir.

Ingatkan Razlan kembali normal apabila Balqis sudah beredar, rupanya dia terus berjalan tanpa mempedulikan Amir. Amir betul-betul keliru dengan apa yang terjadi.

Petang itu, Amir pergi ke rumah Tok Mat Putih untuk berjumpa dengan Razlan. Niatnya hanyalah untuk mendapatkan tunjuk ajar daripada Razlan dalam mata pelajaran Matematik Tambahan. Sambil itu juga, bolehlah mengenali Tok Mat Putih yang merupakan orang paling lama di Kampung Adi Waja pada masa itu.

Amir mengayuh basikalnya ke rumah Tok Mat Putih yang tidak jauh dari rumahnya. Di perkarangan rumah Tok Mat Putih, sunyi sahaja suasana rumah itu. Pokok-pokok buah yang besar menghalang cahaya matahari petang kejinggaan. Amir menongkat basikalnya, dia mengambil buku Matematik dan Matematik Tambahan, dipeluknya di dadanya.

"Assalamualaikum..."

Kedengaran suara lelaki yang berusia dengan suara yang bergetar-getar menjawab salam itu.

Tok Mat Putih perlahan-lahan keluar dari muka pintu yang tidak ditutup. Dia cuba mengenali remaja yang memberi salam itu.

"Siapa ni?"

"Saya Amir... anak Mak Teh Aini dengan Arwah Pak Teh Ayep!"

"Ooo... nak jumpa Alan ke?"

Amir mengerut kening. Siapa pula Alan ini? Tidak berapa lama, barulah yang terfikir yang nama Razlan, sebenarnya susah disebut bagi orang tua seperti Tok Mat Putih ini. Huruf 'Z' pada nama Razlan digugurkan, barulah senang untuk disebut. Begitulah dari perkiraan Amir.

"Ha'ahhh... ya.. nak jumpa Abang Lan"

"Rasanya dia ada kat belakang rumah tadi. Tengah potong kayu api. Pergilah tengok!"

"Baiklah..."

Amir meletakkan buku-bukunya di tangga. Lalu dia pergi ke arah belakang rumah. Terjergah-jergah dia mencari Razlan. Tiba-tiba terdengar bunyi kayu patah dari tepi dapur sebelah kanan. Amir memanggil Razlan seperti anak kecil memanggil bapanya.

Rupanya Razlan bukan memotong kayu api, tetapi dia sedang mengganti lantai para dapur rumah Tok Mat Putih yang sudah reput dan hampir runtuh. Bersepah kayu yang sudah dipotong, paku, gergaji dan tukul di atas tanah.

Api untuk AmirWhere stories live. Discover now