Tahu tak korang? Selain daripada Tragedi MH370 dan MH17, terdapat satu lagi tragedi hitam didalam sejarah penerbangan negara. Mari kita singkap sejarah ini.
Info tragedi :
Pesawat: Penerbangan Malaysia MH 653
Dari: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
Destinasi: Lapangan Terbang Antarabangsa Subang
Penumpang: 93 + (7krew)
Kematian: 100 orang
Jenis Pesawat: Boeing 737-2H6
Tarikh: 4 Disember 1977Tragedi Tanjung Kupang: Pesawat MH653 "Daging berkecai di Paya Hangus"
Isnin 4 Disember 1977, tarikh yang paling mendukacitakan dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS) apabila salah sebuah pesawat miliknya terhempas dan mengorbankan banyak nyawa termasuk orang kenamaan.
Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan itu telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan paya bakau dekat Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor. Rangka pesawat itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya.
Peristiwa yang berlaku 33 tahun lalu itu juga meninggalkan memori hitam kepada sejarah negara apabila ia turut mengorbankan Duta Cuba ke Malaysia yang pertama, Mario Garcia Inchaustegui dan isterinya, Gladys yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri seminar di Pulau Pinang.
Berdasarkan kisah yang dinyatakan kepada umum, pada pukul 7.21 malam hari kejadian, pesawat Boeing 737 yang dikendalikan Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Subang. Sebelum sempat melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Subang, Ganjoor sempat memberitahu menara kawalan mengenai kehadiran pengganas di dalam pesawat yang sedang dikendalikannya.
Selepas mengetahui perkara tersebut, pihak berkuasa Lapangan Terbang Subang segera mengosongkan laluan 33 bagi membolehkan pesawat Boeing 737 kendalian Ganjoor dan Kamarulzaman mendarat dengan selamat. Bagaimanapun, pesawat tersebut tidak sempat untuk melakukan pendaratan di lapangan terbang itu, sebaliknya Ganjoor bertindak terbang semula ke awan dan memberitahu menara kawalan yang dia diarahkan oleh pengganas untuk menuju ke Singapura.