BAB 6

55 1 0
                                    


Iklil Najihah disambut baik oleh keluarga Naufal. Baru dia tahu Naufal mempunyai 5 orang adik beradik dan lelaki itu merupakan anak ketiga. Sebelum ini, dia langsung tidak mengambil tahu perihal lelaki yang sering menyakitkan hati itu. Apa yang dia tahu ketika berusia 16 tahun lelaki itu berpindah ke sekolah mereka kerana dihantar untuk tinggal bersama kedua datuk dan neneknya.

"Najihah dah lama ke berkawan dengan Naufal?" tanya Encik Naim memulakan bicara. Mereka sudah selesai makan tengah hari sebentar tadi dan Iklil Najihah berkira-kira memohon izin untuk pulang namun melihatkan kelibat Naufal yang entah ke mana dia mengikut langkah ibu bapa lelaki itu ke ruang tamu.

Ketika di dapur tadi, dia mahu membantu membasuh pinggan namun tatkala teringat kata-kata Naufal beberapa hari yang lalu niatnya terus dimatikan.

"Jangan kau pura-pura rajin pulak. Tolong basuh pinggan ke apa."

Oleh itu, saat ibu Naufal berkata tidak perlu dia segera mengundur diri. Biarlah wanita itu memandang serong kepada dia asalkan Naufal tidak memarahinya dan dia sendiri tidak mahu menjadi menantu keluarga itu.

"Najihah? Berangan pulak dia," tegur Puan Laila.

"Maaf. Saya mengelamun pula."

"Dah duduk atas pelamin ke angannya tu?" tanya bapa Naufal sambil tersenyum.

Senyumnya sama macam Naufal namun lelaki itu jarang atau tidak pernah tersenyum seikhlas seperti ini untuk dia. Baiknya keluarga ini. Alangkah bagusnya jika ini benar-benar ini bakal keluarga mertuanya. Ada kakak, abang, adik lelaki, adik perempuan dan paling penting boleh merasai kasih sayang ibu bapa yang telah lama dia hilang. Apabila teringatkan Naufal segera dia beristighfar. Keluarganya Iklil suka tetapi lelaki itu memang taklah!

"Eh budak ni berangan lagi," tegur Puan Laila lembut sambil menepuk peha Iklil lembut. Entah bila wanita itu duduk sebelahnya, dia pun tak sedar. Iklil tersengih malu.

"Makcik masak sedap sangat, saya jadi leka sebab perut kenyang. Pakcik tanya apa tadi?" jawab Iklil sambil menahan malu. Ibu bapa Naufal sudah tersenyum melihat tingkah laku gadis itu.

"Pakcik tanya Iklil dah lama ke kenal Naufal?"

"Oh. Kenal tu dah lama dah, semenjak sekolah menengah lagi cuma serius tu baru-baru je lagi. Masih dalam proses kenal-kenal lagi pakcik."

Ya. Itulah skema jawapan yang Naufal tulis untuk dia. Dia hanya perlu menjawab apa yang disuruh oleh lelaki itu sahaja.

"Takpe, lepas kahwin boleh kenal-kenal juga. Kan Laila?"

"Betul! Lepas kahwin lagi elok kenal-kenal."

Iklil Najihah hanya tersenyum. Hanya Allah swt yang tahu betapa takutnya dia. Tidak lama kemudian Naufal muncul.

"Ibu... Ayah... Naufal nak kena hantar Iklil balik."

"Awal lagi ni. Tunggu lah selepas Asar kalau ya pun nak hantar balik," kata Puan Laila.

"Tak boleh ibu. Iklil ada hal lepas ni. Kan weh?"

Iklil yang terpinga-pinga hanya mengangguk. Malas mahu membantah kata Naufal.

"Haah makcik. Ada janji dengan nenek."

"Tak sempat lagi ibu berbual panjang dengan Najihah."

"Nak berbual apa lagi. Masa makan tadi dah berbual."

"Itu masa makan. Mana sama."

"Takpelah Laila. Budak ni ada hal, lain kali kita minta dia datang lagi," sampuk Encik Naim. Naufal menarik nafas lega. Mujur bapanya menyokong. Puan Laila kelihatan akur. Iklil Najihah hanya tersenyum.

"Nanti datang lagi ya?" tanya Puan Laila lembut. Iklil Najihah hanya tersenyum dan mengangguk. Segera tangan wanita itu dicapai dan dicium lembut. Puan Laila meraih gadis itu di dalam pelukan. Lagaknya persis seorang ibu yang keberatan untuk melepaskan anaknya pergi. Iklil Najihah jadi terharu. Dia memandang Encik Naim sambil tersenyum.

"Balik dulu ya pakcik? Assalamualaikum," pamit Iklil Najihah. Encik Naim hanya mengangguk sambil tersenyum senang melihat gadis itu berlalu menaiki kereta anaknya. 

Hatiku MilikmuWhere stories live. Discover now