Iklil Najihah menjalani kehidupannya seperti biasa. Selepas perjumpaan antara dia dan keluarga Naufal, lelaki itu langsung tidak menghubunginya. Mungkin sibuk dengan kerja atau khidmat Iklil tidak lagi diperlukan. Iklil menarik nafas lega memikirkan hal itu.
Pagi itu seperti biasa selepas bersarapan, dia ke nurseri tanaman pokok-pokok datuk dan neneknya. Kelihatan Wak Salikun sedang sibuk mengangkat pasu-pasu untuk disusun kemas. Lelaki jawa itu merupakan pekerja kepercayaan datuknya. Apa tidaknya usia lelaki itu berkhidmat sudah mencecah 20 tahun.
Datuknya, merupakan seorang guru pencen manakala neneknya hanya seorang surirumahtangga. Datuk dan nenek sangat menyayangi tumbuh-tumbuhan dan kebetulan ada seorang sahabat datuk ingin menjual nurseri itu kerana mahu menetap di kampungnya selepas berpencen. Datuk segera membeli nurseri itu, katanya untuk aktiviti selepas pencen. Sebelum pencen, hanya nenek sahaja yang menguruskannya bersama Wak Salikun dan dua orang lagi pekerja. Iklil pula hanya membantu ketika dia mempunyai masa lapang.
Kini,setelah tamat belajar dia menumpukan sepenuh perhatian kepada bisnes itu dan memaksa datuk dan neneknya untuk berehat di rumah. Namun, kedegilan kedua-duanya membuatkan Iklil Najihah mengalah. Mereka berdua tetap mahu ke situ untuk sama-sama menguruskan nurseri itu.
"Selamat pagi dik!"
"Selamat pagi wak!"
Iklil dan Wak Salikun berbalas senyum. Sebentar tadi dia melihat lelaki itu di hujung sana, entah bila berdiri di hadapannya dia pun tidak sedar.
"Atuk dan nenek tidak datang?"
"Oh mereka datang lewat sikit harini Wak. Nenek nak ke pasar."
Mereka berbual kosong mengenai isu semasa sebelum Wak Salikun meminta diri untuk membuat kerja di belakang. Iklil mengangkat pasu-pasu yang baru tiba daripada pembekal. Kasihan pula hendak menyuruh Wak Salikun yang nampak semakin uzur itu. Mujurlah ada Amirul. Anak muda itu begitu ringan tulang membantu Wak Salikun.
"Kak Iklil tak payah lah angkat pasu-pasu tu. Biar Mirul je yang buat," tegur Amirul apabila melihat Iklil lincah memindahkan pasu-pasu yang baru tiba pada hari semalam.
"Mirul pun ada kerja lain. Setakat pasu ni takdelah berat mana. Mirul angkat baja tu. Akak malas nak kacau. Akak buat lah slow-slow. Apa Mirul ingat akak ni lembik sangat ke?"
"Ye... Tahu... Akak gagah perkasa tapi kerja angkat-angkat ni biar lelaki yang buat. Akak buat kira-kira cukuplah."
"Yelah... Akak ikut cakap awak."
Mereka ketawa senang. Iklil Najihah memandang Amirul yang kelihatan semakin kacak dari hari ke hari. Dahulu ketika mula-mula mereka bertemu anak muda itu kelihatan kusut dan kurus sekali. Mungkin kerana bebanan yang membelenggu. Iklil Najihah teringat detik perkenalan mereka berdua beberapa tahun yang lalu.
"Awak nak mencuri?" tegur Iklil Najihah. Anak muda yang kusut masai itu memandangnya dan segera melangkah ingin berlari meninggalkan barang-barang yang diambilnya. Iklil menahan. Terjatuh anak muda itu bersama-sama barangannya. Dua tin sardin, Panadol dan dua bungkus roti diletakkan di dalam baju.
"Jangan lari. Kutip barang-barang awak. Mari kakak bayarkan."
Amirul ketakutan namun menurut sahaja langkah gadis yang membahasakan dirinya kakak itu. Barang-barangnya di angkat dan di bawa mengikut jejak gadis itu ke kaunter bayaran.
Setelah membayar barang yang dibeli oleh dia dan Amirul, Iklil Najihah mengajak anak muda itu ke gerai berdekatan untuk membasahkan tekak. Mereka memesan minuman.
"Umur berapa?"
"17 tahun. Kak, tolong jangan laporkan saya kepada polis kak. Saya terdesak kak."
"Sekolah lagi?"
"Sekolah, tapi dah lama tak pergi."
"Kenapa tak pergi?"
"Saya tak mampu kak"
"Minum dulu. Nanti kakak hantar balik."
"Tak nak kak," kata Amirul resah.
"Kenapa tak nak? Takut mak tahu awak mencuri?"
"Saya terpaksa kak. Jangan bagi tahu mak saya kak. Saya janji nanti saya ganti duit akak."
"Akak hantar awak balik. Jangan risau. Kakak berniat baik."
Amirul akur dengan permintaan gadis itu. Petang itu Iklil Najihah mengikut Amirul pulang ke rumahnya. Sampai sahaja di rumah anak muda itu, Iklil Najihah sebak. Rumah tempat Amirul dan keluarga berteduh begitu daif dan teruk sekali. Sudahlah jauh terceruk. Ibunya yang strok berbaring di atas lantai dan kedua adiknya kelihatan begitu lapar. Amirul menghulurkan roti yang dibeli oleh Iklil tadi kepada adik-adiknya. Iklil Najihah bersalaman dan memandang mereka dengan penuh rasa simpati.
Selesai bertemu keluarga Amirul, Iklil Najihah meminta diri untuk pulang. Amirul menawarkan diri untuk menghantar dia ke kereta kerana jarak antara kereta dengan rumah dalam 100 meter.
"Lama dah mak sakit?" tanya Iklil Najihah memecahkan kesunyian. Amirul hanya mengangguk.
"Maaf kakak bertanya, ayah mana?"
"Ayah meninggal dunia tahun lepas. Sejak ayah meninggal kesihatan mak makin merosot sehingga dia terkena strok"
"Awak tak sekolah?"
"Sekolah tapi kadang-kadang sebab malam kerja. Balik rumah 4 pagi kadang tak larat nak bangun pergi sekolah."
"Kerja dekat mana?"
"Kedai makan yang dekat depan tu."
"Adik-adik sekolah?"
Amirul mengangguk.
"Nama kakak Iklil. Nama awak siapa?"
"Amirul."
"Hebat dugaan Amirul. Kakak kagum."
"Kagum kak? Dengan pencuri macam saya ni?"
"Amirul ada sebab kenapa jadi pencuri. Kakak faham. Ada handphone tak?"
"Takde kak. Baru je jual sebab nak beli beras."
"Hebatnya Amirul. Kakak sangat kagum."
"Kenapa kak?"
"Amirul bertanggungjawab. Mirul boleh je nak tinggalkan mak dan adik-adik demi nafsu muda Mirul tapi Mirul pilih untuk susah bersama mereka. Sejuk perut mak Mirul dapat anak macam Mirul"
"Kakak terlalu memuji," kata Amirul perlahan.
"Rancak sangat bersembang sampai tak perasan dah sampai kereta dah pun."
"Amirul tak ada handphone jadi kakak susah nak hubungi awak. Boleh tak esok jumpa kakak dekat kedai kita minum tadi? Dalam pukul 3 petang? Kakak berniat nak tolong Mirul. Itu pun kalau Mirul yakin dan percaya dengan akak."
Amirul memandang dengan wajah pelik. Apa muslihat gadis yang hanya dikenali sebagai Iklil itu.
"Jangan risau. Kakak tak ada niat jahat. Kita jumpa di situ ya esok? Kalau Mirul tak datang, kakak faham. Yelah, sekarang ni ramai orang ada niat tak baik. Tapi jangan risau niat kakak baik."
Pulang ke rumah, Iklil Najihah menceritakan segala-galanya mengenai keluarga itu kepada datuk dan neneknya. Bergenang air mata apabila memikirkan kedaifan hidup Amirul sekeluarga. Iklil memberitahu datuk dan neneknya mengenai perancangannya untuk Amirul dan seperti biasa niat baik Iklil mendapat persetujuan daripada mereka berdua.
YOU ARE READING
Hatiku Milikmu
RomanceKisah persahabatan dan cinta. Ini bukan kisah kahwin paksa! Bukan juga kahwin kontrak! Iklil Najihah dan Naufal berkahwin bukan kerana cinta tetapi bukan juga dipaksa. Masing-masing memang tidak sebulu walaupun bersahabat baik. Sayang sebagai kawan...