BAB 15

45 1 2
                                    


Kira-kira jam 11:15 pagi Iklil tiba di hadapan rumah Naufal. Iklil menekan loceng dan tidak lama kemudian pintu pagar dibuka. Halaman rumah yang begitu luas itu memudahkan Iklil Najihah untuk meletakkan motor.

Naura datang menghampiri Iklil Najihah sambil tersenyum manis. Apa tidaknya, wanita itu merupakan penyelamatnya. Dia yang mencadangkan agar Puan Laila meminta Iklil Najihah untuk datang ke rumah mereka. Hal ini kerana dia tidak begitu pandai untuk memasak apatah lagi untuk orang ramai, lagi lah dia tidak yakin. Jika ada Iklil, mungkin dia ada sedikit keyakinan.

Bising mulut Encik Naim membebel apabila mengetahui Puan Laila meminta Iklil Najihah untuk datang memasak di rumah mereka. Lelaki itu berpendapat bahawa Iklil belum menjadi anggota keluarga mereka jadi agak tidak manis jika mereka meminta Iklil untuk berbuat demikian. Seolah-olah seperti mengambil kesempatan terhadap anak gadis itu namun Puan Laila segera menegaskan bahawa ini merupakan salah satu ujian untuk bakal menantu perempuannya.

Puan Laila katanya ingin menguji sejauh mana keikhlasan hati Iklil Najihah terhadap keluarga mereka walaupun jauh di sudut hati, wanita itu sebenarnya sudah jatuh hati dengan kesantunan dan peribadi bakal menantunya itu. Encik Naim hanya akur mendengar penjelasan Puan Laila.

"Hai kak. Mari masuk," tegur Naura setelah Iklil Najihah membuka helmet. Iklil membalas senyuman gadis itu. Dia mengikut langkah gadis itu ke dalam rumah. Suasana rumah kelihatan sunyi kerana mungkin penghuni rumahnya sedang enak dibuai mimpi.

"Abang tidur lagi kot dalam bilik. Nak Naura kejutkan?"

"Eh Naura, takpe. Biar dia tidur. Semalam dia sampai lewat malam kan? Kesian dia penat. Biarlah. Naura teman akak masak ya?"

"Hmm boleh tapi Naura tak pandai sangat tau kak."

"Nazim nak join boleh tak?" sampuk satu suara. Naura dan Iklil Najihah tersentak. Tadi lelaki itu sedang membaca buku di halaman rumah. Malas mahu menganggu jadi dia terus berlalu tanpa menegur. Entah bila pula lelaki itu melangkah masuk ke dalam rumah, Iklil Najihah tidak pula perasan.

"Mestilah boleh. Lagi banyak kaki tangan lagi cepat siapp. Tak gitu Naura?"

"Tapi kalau kaki tangan macam Nazim hmmmm macam melambatkan kerja je kak," kata Naura selamba. Nazim terus mengetuk kepala Naura. Gadis itu membulatkan mata tanda geram. Nazim hanya menjelirkan lidah. Iklil Najihah tersenyum melihat gelagat kedua anak muda di hadapannya.

"Okay dah. Jangan buang masa lagi. Jom masuk dapur ya adik-adik akak."

Naura dan Nazim segera mengejar langkah Iklil Najihah sambil tergelak mesra. Iklil Najihah suka akan suasana itu. Suasana di mana seisi rumah bergembira bersama. Iklil Najihah cuma berharap agar penerimaan keluarga Farid terhadapnya sebaik keluarga Naufal.

Hatiku MilikmuWhere stories live. Discover now