Hari minggu merupakan hari yang bahagia buat para pekerja begitu juga Iklil. Walaupun bekerja sendiri, Iklil tidak pernah menggunakan alasan itu untuk mencuri tulang. Dia menganggap dirinya juga sebagai seorang pekerja.
Oleh itu, hari Sabtu dan Ahad merupakan hari untuk dia bersenang lenang setelah penat bekerja sepanjang minggu. Selesai solat Subuh, Iklil kembali melayari mimpi. Begitulah dia pada setiap hujung minggu. Semalam dia tidur agak lewat kerana berbual dengan Farid. Lelaki itu akan menghubunginya saban malam untuk bercerita mengenai hari-harinya. Iklil senang mendengar masalah dan keluh kesah lelaki itu. Lelaki itu bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Klang.
Baru sahaja hendak melelapkan mata, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Malas hendak membuka mata, Iklil hanya membiarkan sahaja. Seingatnya, dia tidak pernah membuat janji dengan sesiapa. Hanani tidak pulang kerana ada program di sekolahnya pada hujung minggu tersebut. Masuk kali ketiga, Iklil menjadi bosan. Telefon bimbitnya dicapai.
"Hello?"
"Assalamualaikum. Iklil Najihah kan ni?"
"Waalaikumusalam. Ya, Iklil Najihah bercakap."
"Makcik Laila ni, mak Naufal."
"Hah?"
Mata Iklil terbuka luas. Mana pula wanita itu mendapat nombor telefonnya.
"Maaf makcik ganggu Iklil. Makcik nak mintak tolong sikit boleh tak sayang?"
"Tak ganggu pun. Tolong apa ya makcik?"
"Macam ni pakcik nak kena pergi ambil makcik dengan kakak Naufal yang baru keluar wad. Dia bersalin malam tadi. Sepatutnya minggu depan tetapi terawal pula. Suaminya outstation dekat Indonesia. Petang ni baru dapat balik sebab itu je tiket paling cepat. Tapi along dah boleh keluar wad harini. Malam tadi makcik temankan dia dekat hospital. Cepat pula tiba-tiba pagi ni doctor kata dah boleh discharge."
"Oh tahniah makcik dapat cucu baru. Jadi apa yang Jihah boleh tolong?"
"Terima kasih sayang. Kebetulan ibu dan ayah mertua dia nak datang. Mereka nak terus ke hospital tetapi memandangkan dah boleh keluar wad jadi makcik minta mereka datang ke rumah. Boleh tak sekiranya Jihah tolong masakkan untuk makan tengah hari? Makcik tak tahu nak minta tolong siapa. Nak harapkan Naufal hmm masa ni tidur lagi. Semalam dia sampai lewat juga sebab dia singgah hospital dulu. Naura pula hmmmmm budak tu bab memasak ni gagal sikit. Naim apatah lagi. Kalau Jihah keberatan takpe, makcik boleh bungkus je cuma tula orang datang jauh-jauh macam tak elok la pulak beli bungkus je."
"Oooo macam tu makcik. Jihah ni tak pandai sangat memasak. Takut tak kena selera semua orang. Makcik nak Jihah masak apa?"
"Sebenarnya makcik janji nak masak nasi ayam harini. Bahan-bahan semua dah ada dalam peti tu. Jihah pandai buat nasi ayam?"
"Pandai tetapi saya takut tak sedap makcik."
"Takpe sayang. Sedap belakang cerita. Jihah boleh tolong tak? Boleh la ya?"
"Tapi makcik..."
"Tak sedap takpe. Makcik dulu pun tak pandai masak. Boleh ya sayang?"
Aduhhhh mati aku. Naufal mesti mengamuk kalau aku cakap boleh.
"Saya tanya Naufal dulu boleh tak makcik?"
"Kenapa? Jihah takut dia marah?"
"Takdelah, Cuma takut dia tak selesa je makcik."
"Takpe, kalau kamu tanya sekarang pun takkan balasnya budak tu. Jenis tidur mati. Lepas Subuh tidur semula. Kamu datang ya?" tanya Puan Laila penuh berharap.
"Ok makcik. Saya datang nanti," jawab Iklil Najihah lemah. Puan Laila sudah tersenyum mendengar persetujuan Iklil Najihah.
"Kita jumpa nanti ya sayang. Nanti makcik minta Naura bukakan pintu untuk Jihah."
"Baik mak cik. Jumpa nanti."
YOU ARE READING
Hatiku Milikmu
RomanceKisah persahabatan dan cinta. Ini bukan kisah kahwin paksa! Bukan juga kahwin kontrak! Iklil Najihah dan Naufal berkahwin bukan kerana cinta tetapi bukan juga dipaksa. Masing-masing memang tidak sebulu walaupun bersahabat baik. Sayang sebagai kawan...