TERMENUNG. Terkadang Dasha tertanya sendiri, masih adakah yang sudi menerima diri ini? Diri yang kini penuh dengan noda-noda kelam. Orang tidak nampak, tapi dia yang merasai.
Sakitnya itu tak ada siapa dapat ubat. Hanya Yang Maha Esa menjadi tempat pengubat kedukaan ini. Noda-noda kelam ini, hanya DIA yang mengetahui.
Bersujud kepada Yang Maha Esa. Berbisik di tikar sejadah. Langit sampaikan doa. Masih adakah yang tidak jijik dengan diri ini? Tiada jawapan untuk itu. Semuanya berbalik kepada diri sendiri.
Hakikatnya, manusia hanya inginkan kesempurnaan.
Setitik cecair hangat bening yang mengalir di pipi dibiarkan kering sendiri. Tipu jika dia kata dia terlampau kuat untuk hadapi semua ini.
Sedangkan hakikatnya dia hanyalah hamba Allah yang paling lemah. Dia sudah merasai erti kejatuhan. Bukan sekali, malah berkali-kali. Jatuh bangun dia, hanya Allah yang ada bersama.
Sejujurnya Dasha sedar. Tidak menafikan sedikit pun hakikat yang satu ini. Hakikat di mana dialah punca segala masalah ini berlaku. Dia yang menjadi 'perosak' dalam kisah ini.
Tapi Dasha juga manusia biasa. Masih ada hati dan perasaan. Tidakkah mereka fikir sebelum berkata-kata? Diumpat, dicaci, dicerca. Semua itu 'makanan' yang pernah dia rasa.
Orang nampak dia kuat. Hakikatnya, Dasha tersangat rapuh. Rapuh bagaikan dedaun kering yang berguguran jatuh ke tanah. Saat ini, hati dia sudah tawar.
Tawar dengan rasa pendustaan cinta yang pernah dilalui sebelum ini.
Bagi Dasha, pengalaman lalu mengajar dia supaya berdiri di atas kaki sendiri. Tidak perlu mengharapkan orang lain untuk menentukan bagaimana kehidupan kita di kemudian hari.
Manusia hanya tahu menghukum tanpa sedar hukuman sebegitu tidak layak ditentukan oleh manusia yang penuh noda hitam. Tetapi siapalah dia mahu menutup mulut mereka. Biarlah, Dasha redha dengan segala yang terjadi.
"Mama." Dasha tersentak.
Pantas saki-baki cecair hangat yang mengalir di wajah, diseka lembut. Bibir dipaksakan mengoyak senyuman kecil kepada Dhia yang sudah melabuhkan punggung di sebelah.
"Ya sayang..."
"Why are you crying?"
Terdiam sejenak. Tidak tahu mahu membalas apa, dia menggeleng perlahan. Bibir masih menguntum senyum kecil. Biarlah anak kecil ini tidak tahu apa yang terjadi.
YOU ARE READING
Bidadari Pujaan Syaitan[SUDAH TERBIT]
RomanceTENGKU DAYREN LEO, detik-detik yang ada dalam hidup lelaki itu sekadar bertuhankan nafsu, wang, pangkat, dan wanita. Setiap keinginannya harus dipenuhi. Tidak kira apa caranya. Halal atau haram, dia akan dapatkan. Selama 22 tahun bernafas, tidak pe...