BPS 16

35.1K 2.1K 164
                                    

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.








HELAIAN demi helaian, buku diari itu diselak. Tiba-tiba ada sekeping gambar terjatuh dari salah satu helaian yang diselak. Menunduk, gambar tersebut dikutip.

Ada tulisan di belakang gambar itu. Dibacanya di dalam hati. Sedikit berkerut, punggung didaratkan ke birai katil. Kaki diangkat sikit. Bagi lebih selesa kedudukan.

Hati sedikit tertanya-tanya.

"7 April 2014, Pulau Langkawi," sebutnya perlahan. Gambar tersebut dipusing kembali. Berdiri di sebelah dia, ada seorang gadis tersenyum manis. Lebar. Tapi senyuman itu seolah-olah memudar.

Anggun Dahlia.

Gambar itu diambil ketika dia membawa Dahlia ke Langkawi untuk mencari Dasha. Kenangan yang tak mungkin terlupakan. Memori tak berapa indah tetapi meninggalkan kesan yang amat dalam.

Helaian diari kembali diselak satu per satu. Bermula dari depan. Dibacanya isi luahan hati yang terangka kemas di situ. Sesekali dia senyum. Mungkin sedikit terhibur.

12:30 am, 15 Jun 2013.

Tiba-tiba rasa macam mengidam. Bukan mengandung tapi saja teringin nak ais krim. Apa lagi, aku call Dayren tengah malam buta. Mujur dia ikut aje kehendak nafsu makan ni.

Diselaknya lagi, lagi, lagi dan lagi. Jemarinya tak henti. Bunyi selakan kertas makin kuat. Dia selak laju. Tak mahu buang masa. Baca apa yang penting.

2:00 pm,1 Jan 2014.

Aku nampak Dayren kena kejar dengan Dasha. Tipulah jika tiada rasa sakit di hati. Sudah tentu ada, tapi aku hanya diamkan. Tak mungkin ingin ditunjuk rajuk. Dayren tak suka perempuan remeh.

Dua ulas bibir itu merekah. Senyum lagi. Kemudian, pembacaan disambung. Daripada posisi duduk, kini dia bersandar ke kepala katil. Sedikit lenguh badan.

3:50 pm, 4 Feb 2014.

Dayren nampak lain. Aku perasan. Nak tegur tapi aku diamkan dulu. Tanda tanya yang mengulit hati kecil, aku simpan kemas-kemas. Tak mahu Dayren rasa tak selesa.

Senyumannya memudar. Jemarinya terhenti menyelak. Tak tahu kenapa. Tapi tiba-tiba ada debar menghentam-hentam hati. Liur ditelan kesat. Geleng kepala, ditunduk kembali pandangan. Sambung baca.

4:45 pm, 8 Feb 2014.

Dayren benar-benar nampak lain. Perubahan dia terlalu ketara. Ikutkan hati, mahu saja aku luahkan. Tapi tak mahu keruhkan hubungan kami, aku diamkan lagi. Hati yang sedikit berdarah, aku cuba sembuhkan sendiri.

Kali ini senyumannya langsung mati. Tubuh mengeras. Mata terpaku. Mulut terkunci. Sedikit terhenyak di dada waktu, kilasan-kilasan memori enam tahun yang lepas, dia cuba gamit di layar ingatan.

Bidadari Pujaan Syaitan[SUDAH TERBIT]Where stories live. Discover now