KAYLA berjalan menuju ke bilik hotel yang dia berada di Pulau Langkawi ini. Langkahan kakinya menjadi laju apabila terdengar bunyi burung hantu yang ada bertenggek di pohon besar berdekatan kawasan hotel.
Tujuan Kayla datang ke pulau ini kerana Kayla mahu lari daripada suaminya. Merajuk betul hingga berani datang ke sini. Syafika pun tidak tahu dia ke sini. Alasan Kayla, nak balik ada kenduri. Nasib kawannya itu percaya.
Kayla yang sedang mengelamun tidak sedar yang dia sudah berada di hadapan lobi hotel penginapannya. Semasa dia menghampiri kawasan lobi, dia merasakan ada sepasang mata yang memerhatikan dirinya. Kayla terus menoleh ke sisi tetapi tiada nampak kelibat sesiapa. Kayla menggeleng laju, dia menganggap ini mungkin hanya mainan perasaannya. Jam tangan dikerling sekilas, waktu sudah menginjak ke sepuluh malam.
Satu senyuman manis diberikan kepada penyambut tetamu yang bertugas pada waktu itu. Kayla mengambil keputusan untuk mendaki anak tangga kerana dia takut hendak menaiki lif, ini disebabkan Kayla fobia berada di tempat atau ruang yang sempit. Pintu ke ruang tangga dibuka, sekali lagi dia merasakan seperti ada yang memerhatikannya. Langkah kakinya terhenti, kepalannya berpaling ke kiri dan kanan tetapi tiada sesiapa, senyuman nipis terukir di bibir mungilnya.
"Haha, apalah kau ni Kayla. Penakut sangat," gumam Kayla.
Baru sahaja dia mahu mengorak langkah, terasa sesuatu menyentuh bahunya. Spontan Kayla menjerit kuat dan terus duduk mencangkung. Matanya ditekup dengan kedua tapak tangannya. Tubuhnya sudah kaku, dirasakan tiada darah mengalir dalam tubuhnya. Air matanya mula bergenang, badannya sudah bergetar akibat tindak balas daripada rasa takut yang tiba-tiba menyelinap ke mindanya. Sekali lagi bahunya disentuh dan digoyang sebanyak dua kali. Kayla hanya diam. Tiba-tiba 'benda' di belakang bersuara.
"Anak, kenapa naik tangga malam-malam macam ini? Bahaya!" suara garau menyapa gegendang telinganya.
Perlahan-lahan Kayla mengangkat mukanya menoleh ke belakang. Ternampak seorang pak cik tua sedang memegang penyapu dan pengaut sampah. Degupan jantung dia yang laju seperti lari pecut seratus meter sudah mula perlahan-lahan reda kembali kepada normal.
"Saya... saya fobia dengan tempat yang sempit pak cik," balas Kayla lalu bangun menghadap pak cik tua itu.
"Oh, tapi hati-hati sikit naik tangga tu. Jika ada terdengar suara memanggil nama anak, jangan cuba-cuba untuk menyahut atau pandang belakang," nasihat pak cik tua tadi.
"Ar... kenapa pak cik?" soal Kayla kebingungan.
"Kamu ikut sahaja cakap pak cik. Lagi satu sebelum tidur pastikan kamu tutup semua tingkap serta pintu. Jangan sesekali keluar bilik pada waktu tengah malam walau apa pun yang terjadi. Kamu lebih selamat jika duduk di dalam bilik," pesan pak cik tua itu sekali lagi.
"Baiklah, pak cik."
Kayla senyum ke arah pak cik tua yang Kayla kira bekerja sebagai tukang sapu di hotel ini. Kakinya terus melangkah ke arah tangga tetapi langkahnya terhenti kerana dia lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada pak cik tadi.
"Terima ka..." kata-kata Kayla terhenti apabila kelibat pak cik tua tadi sudah tiada. Pelik dia, tak akan pak cik tua tadi cepat sangat berjalan.
Tiba-tiba, tiupan angin sejuk menyapa tubuhnya. Spontan bulu romanya meremang. Kata orang tua, jika bulu roma tiba-tiba meremang tanda ada makhluk lain di sekeliling kita. Cepat-cepat Kayla mendaki anak tangga. Tiba di depan pintu biliknya, tergopoh-gapah Kayla mencari kunci di dalam beg tetapi tiada, diseluk pula kocek seluar. Setelah pintu dapat dibuka, Kayla terus berlari masuk dan mengunci pintu biliknya. Suis lampu ditekan, bilik yang gelap gelita telah menjadi terang. Kayla bergerak ke arah tingkap, semua tingkap ditutup dan dikunci manakala langsirnya ditarik kasar. Kayla berlari ke katil, tubuhnya diselubung sepenuhnya dengan selimut.
YOU ARE READING
SURI HATI SI NERD 2
Teen FictionSetelah mendapat keputusan SPM, mereka berdua menyambung belajar di universiti tempatan yang berlainan. Aidin Saufi dan Kayla Aurora melayari kehidupan suami isteri dengan bahagia sekali. Malika Syafika, bekas rakan Aidin semasa sekolah di Melaka sa...