• B A B 1 3 •

766 73 10
                                    

B a b   1 3  -  A w a k e n i n g

—————

JAUH di sudut bilik yang suram itu aku lihat seorang gadis sedang melakarkan potret di atas sebuah kanvas besar. Dia menekan hujung berusnya di atas cat akrilik yang terletak di sebelahnya. Kod ultramarine itu disapu dengan lembut dengan menggunakan berus bersaiz sederhana besar.

Lagu Waves daripada Dean Lewis yang dialunkan melalui corong pembesar suara telefon bimbitnya sahaja yang memecahkan hening bilik itu.

"Ayumi?" aku memanggil namanya separuh berbisik. Adakah gadis itu Ayumi? Maklumat pertama yang menujah masuk fikiranku sebaik sahaja melihat figura itu.

Berus yang sedang sedang laju bergerak di permukaan kanvas itu terhenti. Dia dengan separuh terkejut menekan butang pause pada lagu yang sedang terpasang di telefon bimbitnya. Lagu yang sedang berkumandang sekaligus terhenti.

Mata aku membesar. Walaupun begitu, badan aku masih statik di tempat yang sama, di hujung bilik itu.

Gadis tadi berdiri dan menolehkan kepalanya memandang sekeliling. Keningnya berkerut. Tampak riak kerisauan di wajahnya.

"Ayumi!" tiba-tiba suara perempuan dari luar bilik menyeru satu nama itu.

Gadis itu kembali peka akan keadaan sekelilingnya. Dia segera menghalakan langkahnya ke luar bilik. "Ye!" sahutnya pantas.

"Aurora, please bangun. Aku risau..." suara yang cukup aku kenal itu menyapa gegendang telingaku. Eh? Aku mimpi? Aku menoleh memandang keadaan bilik itu.

Perlahan-lahan warna di dalam bilik itu memudar. Kerusi... Kanvas... Katil... dan kesemuanya lenyap daripada pandangan sebelum persekitaranku seolah-olah disedut dari bawah. Semua objek termasuk diriku seperti acuan kek yang dikacau spatula ketika ini. Kedua biji mataku mulai pening dan mataku terus terpejam.

DAHIKU terasa basah dan sejuk. Aku meraba dahiku yang terdedah itu dan merasa sehelai kain yang elok terletak. Perlahan-lahan aku membuka tirai mata. Pening masih terasa. Terkedip-kedip mataku menahan rasa urat yang tertarik di tepi kepalaku itu.

Aku masih kurang faham akan apa yang telah berlaku. Aku mencari Naufal dan dia tiada di sebelahku. Bebola mataku meliar mencari figura Naufal.

Tiba-tiba kedengaran tapak kaki seseorang dari jauh yang sedang menghampiri bilik aku diami ini. Figura itu sedang membawa sesuatu bersamanya. Mangkuk?

"Aurora?"

Naufal yang baru sahaja menapak masuk ke bilik itu terus melajukan langkahnya sebaik sahaja melihat aku yang tersedar ini.

"Kau okay? Ada pening-pening?" Naufal pantas meletakkan mangkuk yang berisi bubur itu di tepi katil. Kain yang berada di dahiku diambil dan dicelup ke dalam mangkuk lain yang berisi air suam. Dia memerah dan kembali meletakkannya di posisi asal.

"Pening sikit je" jawabku.

"Nah, makan ni" Naufal menghulurkan sebiji pil berwarna ungu cair itu kepadaku.

Aku mengambil pil itu. "Pil Doktor Basten?"

Naufal hanya mengangguk. "Kau makan je dulu. Nanti aku terangkan" ujar abangku memahami riak wajahku yang ingin tahu itu.

Aku tanpa bantahan terus menelan pil tersebut disusuli seteguk air mineral supaya aku tak tercekik.

Naufal menyuakan telefon bimbitnya yang tersedia pasang itu. Skrin telefon itu memaparkan voice note daripada Doktor Basten. "Dengar tu"

Psychic Queen's KingWhere stories live. Discover now