GADIS itu menapak keluar dari bilik air. Rasa segar tubuh usai bersihkan diri. Langkah terus diatur ke katil. Tiga minggu selepas kemalangan, kini dia dah boleh bergerak sendiri. Itupun dengan kedua tongkat. Dan sebelah kaki.
Dengan penuh hati-hati, duduknya dilabuh di birai katil. Kaki yang masih berbalut gips hiperglass biru diangkat perlahan ke atas tilam. Botol ubat di meja sisi kemudian dicapai.
Luka-lukanya masih perlu dicuci. Rutin harian yang harus dibuat tiap kali selesai mandi. Seperti dipesan Aryan.
Tangan yang ralit sapu ubat dengan tisu tiba-tiba terhenti.
Aryan. Sebut nama itu buat hatinya panas kembali. Kenapa mereka perlu jumpa semula? Lepas apa yang jadi?
Dahlah tempoh hari dia culik lelaki itu. Tiba-tiba lelaki itu datang bantu dan selamatkannya pula. Tak pasal-pasal sekarang dia tercampak ke rumah ini. Rumah besar milik lelaki yang sama.
Sefhia perhati keliling. Dah dua minggu dia tinggal di sini. Konon nak lari jauh dari lelaki itu seboleh-bolehnya. Tapi nampaknya, makin dekat kini.
Dapatkah dia bertahan? Walau tahu peluangnya sangat tipis bila dah terjebak semula dengan lelaki berkenaan.
Satu keluhan dilepaskan. Keluhan yang cukup berat.
Ikut hati mahu saja dia tinggalkan banglo ini sekarang. Tapi mengingat ugutan Aryan, juga kad pengenalannya dalam pegangan, dia jadi tak keruan.
Macam mana kalau dirinya diserah pada polis? Dah tentu-tentu akan terima hukuman. Sia-sia sajalah dia susah-payah loloskan diri tempoh hari dari gudang.
Sejenak, gadis itu terkenang ahli kumpulannya.
Apa nasib mereka sekarang? Zen. Hunter. Geng Crazier yang lain-lain. Sedang dibicarakan? Atau dah dijatuhi hukuman?
"Sefhia."
Lamunan Sefhia terhenti. Segera dia berpaling. Wajah Mak Minah terjengul di muka pintu bersama dulang.
"Maaflah Mak Minah masuk aje. Dari tadi Mak Minah ketuk pintu Sefhia tak sahut. Risau jugak kalau jadi apa-apa. Sefhia baik-baik aje ke, nak?"
Tak ada balas kata. Hanya satu anggukkan yang diterima.
Wanita tua itu lalu berjalan ke katil. Dulang di tangan disua depan Sefhia. Duduknya
turut dilabuhkan.
"Mak Minah datang bawakan sarapan ni. Sefhia makanlah. Lepas tu makan ubat. Aryan dah pesan jangan tertinggal walau sekali pun. Pagi tadi dia tak sempat nak jenguk kamu. Dah lambat ke pejabat."
Sefhia pandang sepintas lalu makanan dalam dulang.
"Sefhia macam mana hari ni? Rasa lebih sihat?"
Mata biru Sefhia kerling Mak Minah. Lambat-lambat dia angguk.
"Luka-luka kat badan tu dah sapu ubat?"
Gadis itu angguk lagi.
"Kaki masih rasa sakit?"
Sekali lagi Sefhia mengangguk.
Mak Minah tenung anak gadis di depan. Sepatah ditanya, sepatah pun tak jawab. Payah betul nak bersuara. Kepala saja yang bergerak.
Tak pandai bercakap ke? Takkan bisu?
Memang sejak datang sini, mulut Sefhia lansung tak pernah keluar suara. Hanya anggukkan dan gelengan. Dah macam berbahasa isyarat pun ada.
Hai! Tak faham betul dengan budak-budak muda zaman sekarang!
"Err... tak apalah. Mak Minah ke dapur dulu, ya. Nak masak untuk tengah hari. Sefhia ada nak apa-apa lagi?" soal Mak Minah seraya bangkit.
YOU ARE READING
🍂 ReLaKu PuJuK (Published) 🍂
Roman d'amourARYAN ALFIANSYAH WONG, a son to one of the 'World Richest Man', been kidnapped by EMERLINE SEFHIA a.k.a Miss of Crazier, the most wanted criminal gang in Malaysia. But who knows... it begins a story of them. ARYAN ALFIANSYAH WONG, anak kepada sal...