Bab 6

1.8K 164 2
                                    

SLING bag miliknya dilempar atas katil sebelum tuala yang tersangkut belakang pintu dicapai. Langkah diatur menuju ke arah bilik mandi untuk membersihkan diri. Dua puluh minit kemudian, Uyaina keluar dengan lengkap berpakaian. Tuala nipis membaluti rambut basahnya.

   Rasa macam lapar, Uyaina menapak ke arah dapur. Tadi lepas training, dia terus pulang ke sini. Rumah keluarganya. Selalunya dia tak menginap di sini. Dia menginap di sebuah rumah yang dikongsinya bersama Hamimi. Tudung saji diangkat. Keluhan terlepas keluar daripada ulas bibirnya saat matanya cuma terpandangkan sebungkus roti gardenier dan sebotol jem peanut butter.

   "Lapar ke? Kalau lapar, masak lah. Masak lebih sikit sebab kita orang pun lapar jugak ni." Entah dari mana, Uyaina disapa satu suara sumbang yang tiba-tiba masuk ke dalam ruang dapur. Uyaina jeling.

   "Kalau dah tahu lapar, kenapa tak masak? Kenapa tunggu aku?" soal Uyaina, geram.

   "Eh, dalam rumah ni memang kau aje yang reti masak pun. Jadi, kau lah masak!" Umaira, adik kepada Uyaina yang cuma beza dua tahun itu membalas kasar. Dalam rumah ni, ada lima orang penghuni. Campur dia, jadi enam. Encik Murad, Puan Mahira, tiga orang adiknya iaitu Umaira, Zulfan dan Kamelia.

Uyaina peluk tubuh memandang ke arah Umaira yang sedang bersandar pada dinding sambil meneguk air botol kosong.

   "Kalau tahu tak reti masak, tak boleh belajar ke macam mana? Pemalas?"

   "Aku ni kerja pagi balik malam. Mana sempat nak belajar masak."

   "Habis, aku ni tak kerja lah? Terbongkang depan tv macam si Kamelia tu?"

   "Apahal nak babitkan nama adik pulak?"

   Si bongsu Kamelia tiba-tiba muncul dengan wajah mencuka. Peti ais dibuka sebelum ditutupnya kasar.

   "Takde makanan. Kakak tolong masakkan untuk kita orang," dengus Kamelia dengan muka mengalahkan limau masam. Uyaina tahan rasa dalam hati. Ewah, dia orang semua ni ingat dia tukang masak ke apa dalam rumah ni? Dia dah la penat. Sengal-sengal badan sebab training tadi pun masih terasa lagi tau.

   "Kalau lapar, masak sendiri. Kalau tak reti, buka youtube. Berlambak-lambak video masakan kat situ. Belajar!" Uyaina angkat kaki meninggalkan ruang dapur kecil itu. Telinga dipekakkan bila telinganya menangkap suara sinis Umaira di belakang.

   "Ada kakak pun pemalas!"

   Lantak kau orang lah! Aku malas nak layan!

   "Uya!"

   Uyaina menoleh pantas bila susuk tubuh Encik Murad mula mendekat. Berkerut pelipis Uyaina melihat Encik Murad yang sedang membetulkan butang baju kemeja. Lagak macam nak keluar aje.

   "Abah nak pergi mana?" soal Uyaina, pelik. Tengok jam dah nak dekat pukul sepuluh malam.

   "Abah nak keluar jumpa kawan. Eh, Uya... abah nak duit. Seratus."

   "Seratus? Abah nak buat apa seratus? Baru minggu lepas Uya kasi tiga ratus dekat abah. Takkan dah habis guna?"

Encik Murad dah tayang muka tak suka.

   "Alah, bagi aje la. Kenapa banyak bunyi sangat kau ni? Cepat sikit abah nak duit!" Encik Murad tadah tangan. Uyaina geleng kepala.

   "Takde. Uya takde duit,"

   "Tipu! Duit gaji kau mana?"

   "Dah habis bayar duit hutang, duit rumah ni, bil air elektrik semua. Duit belanja dekat abah, mak dengan adik-adik."

Percaya Pada Janji | TerbitWhere stories live. Discover now