Bab 12

1.5K 188 4
                                    

"HELO, kak!"

   Berkerut wajah Uyaina menerima panggilan daripada Kamelia tengahari itu. Tak pergi sekolah ke apa budak ni?

   "Hah, kenapa?"

   "Akak, akak kena balik sekarang jugak!"

   "Kenapa?"

   "Abah. Banyak betul dia beli barang. Semuanya branded-branded. Dia belikan untuk mak, Kak Maira, abang, adik. Untuk akak pun abah ada belikan tau!" ujar Kamelia, nada suaranya seperti teruja. Iyalah, siapa aje yang tak teruja bila dapat barang-barang mewah yang branded?

Uyaina letak pen yang dia pegang tadi atas meja.

   "Banyak sangat ke barang yang abah beli?" soal Uyaina.

   "Banyak jugak lah, akak. Akak balik la sekarang!" desak Kamelia.

   "Kejap lagi akak sampai." Putus sahaja talian, laju Uyaina sambar beg sebelum berlari keluar dari ruangan kerjanya. Toyota Camry miliknya itu dipandu laju menuju ke rumah keluarganya. Hampir satu jam pemanduan, keretanya berhenti di depan pagar rumah.

Buru-buru dia masuk ke dalam. Dari luar lagi dia dah dengar suara bising Encik Murad yang tengah bergelak tawa. Uyaina tolak pintu.

Terpacak dia di muka pintu sambil bebola mata dah bergerak-gerak memandang bungkusan barangan yang berselerak di atas lantai ruang tamu. Umaira dan Kamelia masing-masing dah beriak teruja sambil menggayakan dress yang Encik Murad belikan. Melaram habis dua dara sunti itu. Zulfan tak nampak bayang. Puan Mahira duduk di atas sofa dengan wajah kosong. Memang sejak Puan Mahira keluar dari hospital, wanita itu tak banyak cakap. Ekspresi muka memang sama aje. Macam tak ada perasaan. Macam mayat hidup.

   "Eh, Uya. Masuk-masuk! Ni, abah belikan kau kasut baru!" Encik Murad hulur kotak kasut kepada Uyaina. Uyaina menyambut pelik. Tengok jenama daripada kotak, Nike. Kasut di dalam kotak tersebut dibawa keluar.

Parra Nike Air Max. Gila! Harga sepasang kasut ni pun dah mencecah sepuluh ribu ringgit Malaysia kut!

   "Abah! Mana abah dapat duit beli kasut mahal ni?" soal Uyaina, agak kuat. Bagai nak luruh jantung dia bila kasut mahal itu ada dalam tangan. Mana Encik Murad dapat duit banyak-banyak sampaikan mampu beli kasut berharga ribuan ringgit ini? Takkan main judi sampai menang beratus ribu?

   "Ah, kau tak payah la banyak tanya. Kau kena bersyukur sebab abah belikan kau kasut tu. Nak tunggu duit gaji kau, sampai kau mati pun kau tak dapat nak beli. Ambil lah kasut tu. Hadiah untuk kau." Balas Encik Murad. Dia kembali sibuk dengan barang-barang mewah yang dia beli.

Uyaina diam memandang ke arah Umaira dan Kamelia. Encik Murad makin seronok dan giat melayan dua anak gadisnya itu. Mata Uyaina memandang ke arah kotak dan beg-beg kertas yang berselerak. Sungguh semuanya barangan yang dia sendiri tak pernah terfikir akan ada dalam rumah kecil ini.

   "Abah, jujur dengan Uya. Abah ambil mana duit banyak-banyak sampai boleh beli barang semua ni?!" pekik Uyaina. Encik Murad mendengus.

   "Eh, Uyaina. Kau ni tak boleh ke terima aje apa yang aku beli untuk kau? Bersyukur la sikit!"

Uyaina geleng.

   "Uya tak nak ambil barang daripada duit haram!"

   "Eh, aku pakai duit halal lah! Aku tak pakai duit haram! Aku dapat duit ni bukan sebab aku main judi!" balas Encik Murad. Pelipis Uyaina berkerut.

   "Habis? Mana abah dapat duit banyak-banyak? Abah pinjam Ah Long ke?"

   "Tak lah. Aku pinjam duit kawan aku."

Percaya Pada Janji | TerbitWhere stories live. Discover now