06

141 22 3
                                    

"GERAMNYA aku dengan minah tu! Memang patut pun aku bagi dia ayat macam-macam itu. Biar sedar diri sikit!" bebel Safina geram. Selepas kejadian itu, sudah ramai yang gerun ingin mendekati Safina. Lain pula dengan Syatila. Dia malah sempat memerli perbuatan Safina.

"Amboi, dah jadi kak long kawasan nampak?" Tawa Syatila meletus. Walaupun dia agak terkejut melihat Safina berubah mendadak, hatinya menjadi lega kerana tiada siapa lagi yang mampu menindas sahabatnya itu. Tidak perlu lagi dia mendengar tangisan Safina yang bersalut duka.

"Hei! Aku cuma buat apa yang aku patut buat macam kau cakap. Tapi kasar sangat ke eh ayat aku?" Safina mula teringat ayat yang dilontarkan kepada Tiara. Entah mengapa dia merasakan ayat itu terlalu kasar.

"Okey aje. Nampak kasar tapi trust me, ayat Tiara lagi kasar. Jadi, jangan risau. Dia layak dapat ayat macam itu. Biar sedar sikit diri."

Safina hanya mengangguk kecil sebagai balasan. Hatinya mula sedikit lega mendengar kata-kata Syatila. Apabila difikirkan semula, ayat itu hanya sedikit impaknya jika ingin dibandingkan denganapa yang dialaminya selama empat tahun lamanya.

"Saf, aku nak pergi library. Nak cari bahan rujukan sikit untuk kerja sekolah sains. Kau nak ikut tak? Alang-alang mak cik library tutup library lambat sikit hari ini."

Safina terdiam seketika mendengar ajakan Syatila. Mahu pulang ke rumah awal, tiada apa yang dia boleh lakukan. Ibunya pula sudah meninggalkan pesan akan pulang kerja sedikit lewat. Sayang pula ingin membazirkan masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

"Okey lah. Aku ikut kau. Kau pergi dulu. Aku nak kemas barang kejap." Syatila mengangguk kecil sebelum melangkah keluar dari kelas. Suasana ketika itu agak sunyi kerana sudah sepuluh minit berlalu setelah tamat waktu sekolah.

Baru sahaja Safina ingin menggalas beg miliknya, sticky note yang dilekatkan di bahagian kanan meja menghentikan perbuatannya.

Kalau tidak dilihat dengan teliti, sticky note itu tidak akan kelihatan kerana dikaburi dengan buku-buku yang berada di atas meja Safina. Dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak, ditolak buku-buku tersebut bertujuan untuk membaca sticky note itu.

Melihat bukan hanya nota kecil yang berada di situ membuatkan Safina diserang ketakutan. Tangan di bawa menekup mulut melarang dirinya untuk menjerit. Bukan nota kecil sahaja yang diselitkan di bawah buku Safina malah terdapat beberapa gambar mayat sebuah keluarga yang dikumpulkan seperti ingin dibakar. Gambar tersebut yang membuatkan Safina ingin menjerit.

Nota kecil itu perlahan-lahan dicapai sebelum isi kandungannya dibaca.

One of your friends family. I told you. Choose either truth or dare. This is all your fault!

-A

Terkejut bukan kepalang lagi Safina membaca bait-bait perkataan yang ditulis di atas kertas kecil itu. Air mata perlahan-lahan menitik keluar dari tubir matanya. Perasaan takut mula menyelinap ke dalam lubuk hatinya.

Dia masih tertanya-tanya keluarga siapakah yang menjadi mangsa di sebalik perbuatan keji orang yang kelihatan seperti ingin mendapatkannya. Adakah betul itu mayat keluarga rakannya? Atau hanya rekaan untuk menakutkan diri?

Otak mula diperah untuk meneka keluarga siapa yang dimaksudkan. Dia hanya mempunyai dua rakan baik yang selalu menemaninya. Syatila dan... Husna? Membulat mata Safina apabila menyedari sesuatu.

Keluarga Syatila baik-baik sahaja. Manakala Husna, dia sudah hilang sejak kejadian mengurung Safina tempoh hari. Dengar kata, dia sudah berpindah ke sekolah lain tetapi hati Safina kuat mengatakan ada yang tidak kena.

Jangan cakap ini keluarga... Husna?

"MANA pula Safina ini. Lamanya! Dia kemas barang ke buat barang!" rungut Syatila tidak berpuas hati. Ingin menelefon, telefonnya tertinggal pula di rumah. Walaupun sudah dilarang keras oleh pihak sekolah untuk membawa telefon ke sekolah, Syatila hanya membiarkannya. Lagipun dia bawa telefon bukan untuk bersuka-ria.

Derap tapak kaki yang agak kuat menganggu Syatila yang sedang khusyuk memikirkan ke manakah Safina menghilang. Dongak kepala, tersembul wajah Safina yang tersengih.

"Ha datang pun kau! Kau pergi mana? Lama aku tunggu kau! Ingat kau dah balik tadi! Haiya, Safina Nufa!" bentak Syatila tidak puas hati. Geram pula dia melihat wajah Safina yang kelihatan seperti selamba.

"Sorry! Tadi aku hal sikit! Sebab tu lambat. Alah kau ni! Macam tak biasa!" Safina menutur lembut. Kesian pula dia melihat Syatila yang setia menunggunya.

"Iyalah! Sudah! Aku nak pergi cari bahan rujukan kejap!" Syatila bangkit dari duduknya sebelum meninggalkan Safina seorang diri. Safina hanya mengendahkan permergian Syatila.

Dibuka beg miliknya sebelum buku nota dan bahan-bahan yang berkaitan dengan latihannya dikeluarkan. Sempat dia melihat gambar yang dijumpai sebentar tadi. Tiba masanya, dia sendiri akan menyiasat perkara yang terjadi.

Baru sahaja memegang pensil ingin mencatat sesuatu, dia dikejutkan dengan bunyi telefon pintar miliknya bergetar di dalam poket baju kurung. Kawasan sekeliling dilihat untuk memastikan tiada siapa yang melihatnya membuka telefon pintar memandangkan barangan itu sememangnya haram dibawa ke sekolah.

Kata laluan lockscreen dimasukkan sebelum dia mengakses masuk ke dalam telefon. Ikon aplikasi whatsapp ditekan. Terdapat satu mesej yang dihantar melalui nombor yang tidak dikenali. Dengan lafaz bismillah, Safina menekan chat tersebut perlahan-lahan.

013****

I'm watching you.

Always...

By the way betulkan tudung kau. Senget!

Keras tubuh Safina membaca ayat tersebut. Tudungnya sekarang ini memang agak serabai memandangkan sudah habis waktu sekolah. Malas pula dia ingin betulkan tetapi bagaiman orang di Whatsapp ini mengetahuinya? Sedangkan tadi dia yakin tiada siapa yang mengikutinya ke perpustakaan.

Butang call ditekan sebelum Safina memerhati kawasan sekeliling. Memastikan sama ada 'dia' berada di situ juga atau tidak. Mendengus kasar Safina apabila panggilan yang dibuatnya tidak diangkat.

Dia yakin nombor tersebut akan bertukar tidak lama lagi. Safina merasakan orang di sebalik dalang semua ini tidak sebegitu bodoh ingin menggunakan nombor yang sama.

Berkali-kali dia cuba menelefon orang yang menghantar pesanan itu sebentar tadi. Hatinya berharap dia mengangkat panggilan tersebut. Baru sahaja dia ingin melekapkan telefon ke telinga buat kali ketujuhnya, dia dikejutkan dengan tepukan di bahu.

Hampir menjerit Safina dibuatnya. Laju Safina memandang ke arah belakang. Dia menarik nafas lega melihat kelibat Syatila yang kini berdiri bersebelahan dengannya.

"Kau kenapa? Gelisah aje aku tengok. Okey tak?" Terbias riak kerisauan di wajah mulus itu. Safina mengukir senyuman kecil sebelum membalas ringkas.

"Okey aje."

"Risau aku tengok kau ini. Dari tadi duk telefon orang. Nasib mak cik library tengah lepak dalam bilik dia. Kalau dia nampak kau main telefon, habis kau," bebel Syatila yang sudah mengambil semula tempat di hadapan Safina.

Safina melepaskan gelak kecil demi menutup gelisah di hati. Rasanya tidak perlu dia menceritakan perkara yang dialaminya ini. Risau pula dia kalau Syatila akan membuat perkara terburu-buru jika diberitahu. Gadis itu susah dijangka.

Dalam diam, Safina menarik nafas lemah. Mental dan fizikalnya penat ingin merungkai permainan yang dirancang oleh si dia yang langsung tidak pernah dikenali.

Safina Nufa ✔Where stories live. Discover now