01

689 70 97
                                    

"DIAM aku cakap!"

Tamparan kuat hinggap di pipi Safina. Pipi yang ditampar, diusap perlahan. Diri ditahan supaya tidak berkurang ajar. Dia tahu sekuat manapun dia melawan, dia tetap akan kalah. Akan tetap jatuh ke atas tanah. Kerana dia sedar, dia tidak akan pernah bangkit.

"Kau memang menyusahkan aku kau tahu tak? Dasar anak tak kenang budi! Kau patut mati!" tengking Puan Syazlina, ibu kandung Safina.

Setiap patah perkataan yang dikeluarkan ibu kandungnya itu ditelan dengan pedih. Tangan digenggam erat memberi kekuatan kepada diri sendiri.

"Ibu, Saf bukan nak susahkan ibu tapi..."

"Aku cakap diamkan!"

Safina terdiam mendengar jerkahan ibunya. Matanya membundar memandang ke arah wajah ibunya. Walau bagaimanapun dia tiada hak ingin membalas kata-kata ibunya kerana dia tahu, dia hanyalah seorang anak yang tidak berguna.

"Aku suruh kau kerja tapi kenapa kau sibuk belajar dekat rumah? Kau tahu tak kita dah tak ada duit! Kenapa kau tak mampus eh? Kalau bukan sebab aku mengandungkan kau, keluarga aku tak akan buang aku! Kenapa aku kena besarkan anak haram macam kau!"

Seperti peluru berpandu, ibunya menyerang. Ayat yang dituturkan ibunya itu berulang-ulang di kotak mindanya.

Anak haram.

Perkataan itu kedengaran biasa, namun membawa seribu satu makna di dalam hidup Safina Nufa. Ya, dia sedar dia anak haram. Tetapi dia juga manusia bukan? Kenapa? Adakah dia tidak layak merasakan apa yang dirasai remaja sebaya dengannya? Adakah dia layak dicerca dan dihina? Dia juga insan yang lemah. Insan yang memerlukan kasih sayang ibunya. Adakah salah dirinya dilahirkan dengan status sebegitu?

"Ibu, ujian dah nak dekat. Saf terpaksa belajar. Saf tak nak gagal ujian kali ini. Saf janji lepas je Saf ujian, Saf kerja eh?" Suara dilembutkan. Marah macam mana sekalipun, insan di hadapannya ini tetap ibu yang sanggup menjaganya sehingga besar walaupun cara jagaannya kasar.

"Belajar? Kau sedar tak kau tu bodoh! Belajar macam mana pun, kau tetap akan gagal! Dah la bodoh, hodoh! Gemuk pula tu. Kenapa eh kau ni memalukan aku je? Aku menyesal besarkan kau."

Safina menahan dirinya dari berkata-kata. Dia tahu jika dia berbicara, hati ibunya akan semakin panas dan bengang dengannya. Jadi, seeloknya dia berdiam diri.

"Kau dengar sini. Aku nak kau dapat straight A exam kau yang akan datang ni. Kau tak payah kerja. Nak sangat belajar kan? Aku bagi kebebasan dekat kau tapi bersyarat. Kalau kau tak dapat straight A, aku jual kau."

"Ibu! Ibu dah melampau!" Safina terus menyerang ibunya. Sangat mustahil untuk mendapatkan keputusan sebegitu sepantas kilat. Dia juga manusia. Empat tahun, empat tahun dia gagal dalam setiap ujian. Bukan dia tidak usaha, tetapi bukan rezekinya lagi.

Dia tidak tahu mengapa. Belajar banyak mana pun, dia tetap akan gagal. Sehingga dia terfikir, adakah dia tidak layak berjaya?

Air mata semakin memberat di tubir matanya. Bila-bila sahaja akan jatuh menyembah bumi. Sungguh dia tidak kuat. Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui akan gelora perasaannya.

Ya Allah, bantulah aku.

MALAM menginjak ke pagi dan fajar sidik mula menampakkan kilau jingganya. Safina merenung ke luar tingkap kelas. Entah kenapa, awal pula dia menjejakkan kaki ke sekolah. Rembunan dedaun yang berguguran jatuh di luar kelas membuatkan fikiran Safina melayang jauh mengingati kejadian semalam. Anis Syatila, sahabat baik Safina, mengerutkan kening melihat Safina seperti berada di dunianya sendiri.

"Saf, kau okey tak ni? Kenapa macam masam aje?" soal Syatila senafas.

"Sya, kenapa kau kawan dengan aku? Kau baik, kau cantik, kau pandai, kau kurus. Aku jahat, aku hodoh, gemuk. Bodoh pula tu. Kenapa kau masih nak kawan dengan aku? Kau tak malu ke eh?" Gelak palsu Safina berikan. Fikirannya masih teringat cercaan ibunya semalam.

Safina Nufa ✔Where stories live. Discover now