23

94 15 0
                                    

"MAKAN!" Bungkusan berisi nasi goreng diletakkan di atas meja yang dihuni Safina. Safina mendongakkan kepala memandang Nuha. Tertanya-tanya mengapa gadis itu melayannya sebegini.

"Apa? Nanti mak kau marah aku pula sebab tidak jaga anak kesayangan dia. Aku malas dengar dia berleter," bidas Nuha geram apabila mula memahami pandangan Safina. Pasti Safina ingat dia dan gadis itu sudah berbaik.

"Akak, kita kongsi ya? Dari semalam akak tak makan apa-apa. Selalu sangat bagi Safina makan. Akak tak lapar?" balas Safina dengan riak simpati. Dia tahu kakak kandungnya itu tidak menjamah apa-apa sejak mereka menetap di rumah lama ini.

"Siapa cakap aku tak makan? Aku makan benda lagi mahal dari kau makan tahu? Dah, makan! Jangan banyak bunyi!" Malas menunggu balasan Safina, kaki diatur menuju ke biliknya.

Safina menghantar pemergian Nuha melalui ekor mata. Dia tahu Nuha meipu. Buktinya, pagi tadi dia melihat sendiri dengan mata Nuha memegang perutnya sambil meringis kesakitan.

Gadis itu hanya mengambil minyak dan disapu di permukaan perut sebelum menyambung tidurnya. Langsung tidak menyedari tingkah-lakunya diperhatikan sejak dari mula.

Safina sendiri tidak tahu mengapa Nuha berahsia dengannya. Jika gadis itu lapar, mereka boleh berkongsi makanan bersama. Tidak perlu menanggung kebuluran seorang diri.

NUHA melabuhkan duduk di atas tilam nipis miliknya. Walaupun sebelum ini dia tidur beralaskan katil yang empuk, dia langsung tidak terasa hina. Asalkan dia punya tempat tidur, itu sudah memadai.

Pengalaman lalu mengajarnya erti bersyukur. Dia sedar, sebelum ini dia tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Tidak salah rasanya jika dia ingin memperbetulkan segala-galanya sekarang.

Kepala yang berdenyut membantutkan tumpuan Nuha. Tangan mengusap ingin melegakan selagi mampu. Kesakitan bertambah apabila perutnya mula berbunyi. Minyak berdekatan dengannya diambil sebelum disapu di bahagian yang sakit.

Sejak semalam, dia masih belum menjamah apa-apa makanan. Hanya air yang menjadi penguatnya. Bukan dia tidak mahu membeli makanan, cumanya wang yang dia punya tidak cukup untuk membeli makanan. Tambahan pula dia sekarang bersama Safina.

Bukan dia tidak mahu mengambil wang yang berada di dalam akaun bank miliknya. Cuma, jika dia berbuat sedemikian, tidak mustahil jejaknya akan dikesan. Sebolehnya dia mahu mengelak buat masa sekarang.

Fikirannya mula teringatkan Safina yang mengajaknya makan bersama. Entah mengapa dia tidak mahu membiarkan gadis itu kelaparan. Disebabkan itulah dia menggunakan saki-baki wang sedia ada untuk membeli makanan kepada Safina.

Hati berasa sedikit puas melihat Safina menjamah makanan itu. Seolah-olah usaha kecilnya dihargai.

"Kakak, Saf ada tinggalkan nasi goreng tadi dekat akak. Akak makan ya?" Suara Safina yang muncul di muka pintu mengejutkan Nuha. Hampir sahaja minyak dipegangnya terlepas.

"Kenapa kau tinggalkan? Aku dah kenyang. Makan lah. Jangan membazir." Riak wajah sedaya-upaya dikawal. Risau Safina perasan akan kesakitan dialaminya.

"Safina tahu akak tak makan dari semalam. Makan lah. Jangan risaukan, Saf. Saf boleh aje tahan lapar. Akak itu. Jangan seksa diri. Kalau lapar, makan. Nanti susahkan diri aje. Belajar hargai diri. Saf masuk bilik dulu. Akak jangan lupa makan. Akak tak makan, Saf sumbat masuk mulut akak."

Nuha terkebil-kebil seorang diri. Jujur ayat dituturkan Safina sangat berbisa. Bagaimana gadis itu tahu dia tidak menjamah apa-apa sejak semalam? Pakai bomoh ke apa?

Dalam diam, terukir senyuman di bibir Nuha. Sayang juga ya kau dekat aku, Safina?

"AWAK sembang apa dengan Taib? Macam serius aje. Kongsi lah," ujar Dato' Azmi mengambil tempat bersebelahan Datin Sofia.

Datin Sofia yang khusyuk menonton televisyen tersentak dengan teguran Dato' Azmi. Sangkanya Dato' Azmi sudah tidur. Namun, sangkaannya salah apabila melihat kelibat Dato'' Sofia.

"Sembang kosong aje. Dia tanya khabar saya."

"Ya ke sembang kosong? Lama saya tunggu dekat luar," bidas Dato' Azmi. Cuba memancing Datin Sofia untuk bercerita. Risau dia jika perkara yang dibincangkan membabitkan hal tidak sepatutnya.

Datin Sofia menoleh sekilas ke arah Dato'' Azmi sebelum memandang semula televisyen yang terpasang. Otak mengimbas laju amaran yang diberikan Taib.

'Don't trust, Dato'. Kalau Dato' tanya, Datin cakap tak ada apa-apa. Kalau Dato' tahu, saya tak jamin keselamatan Datin memandangkan Datin tinggal serumah dengan Dato'.'

"Sofia? Awak dengar tak apa saya cakap?"

Suara Dato' Azmi menarik Datin Sofia kembali kepada reality. Tidak sedar pula dia sudah jauh mengelamun.

"Ya ya dengar."

"Jadi, jawapannya?"

"Betul, awak. Saya borak kosong aje dengan Taib. Jadi lama sebab saya berleter. Macam awak tak tahu Taib macam mana."

"Awak tak tipu saya kan?"

"Kenapa saya rasa saya tipu awak pula?"

Sengaja Datin Sofia tidak menjawab soalan Dato' Azmi. Dia tahu Dato' Azmi seorang yang licik. Jadi, bermain tarik-tali itu amat penting bagi mengelakkan dia tertangkap.

"Saya takut awak berahsia dengan saya aje," balas Dato' Azmi, cuba menutup gundah di hati. Bahaya kalau Datin Sofia dapat mengesyaki kegiatannya. Wanita itu seharusnya kekal diam jika mahu selamat.

"Jangan risau. Pernah ke saya berahsia? Tak pernah kan? Awak pergi lah tidur. Dah lewat malam ini. Esok, awak kerja kan?" halau Datin Sofia dengan cara halus. Tidak mahu Dato' Azmi berkecil hati dengannya.

Sejahat manapun Dato' Azmi, lelaki itu tetap suami sahnya. Dia dalam fasa ingin berubah. Jadi tidak elok sekiranya dia berkurang ajar dengan Dato' Azmi.

"Awak tak mahu tidur?" soal Dato' Azmi semula. Hairan pula dia melihat Datin Sofia tidur lewat. Wanita itu selalunya akan tidur lebih awal. Penat katanya.

"Saya nak pergi dapur kejap. Minum air. Kenapa, rindu ke?" Sempat Datin Sofia menyakat Dato' Azmi. Sebelum ini, Dato' Azmi memang berperilakuan manja dengannya namun semuanya berubah apabila dia sudah berani melawan lelaki itu.

Disebabkan itulah Datin Sofia masih cuba menerima hakikat bahawa kesusahan yang dialaminya sekarang berpunca daripada suami sendiri.

Perit memang perit.

Tetapi itulah kenyataannya.

"Eh, awak tak rindu saya ke? Tak akan saya aje rindu awak?" balas Dato'' Azmi meleret. Dia tahu Datin Sofia menyakatnya. Apa? Dia pun boleh, ya!

"Saya tak rindu awak pun. Dah, pergi tidur! Jangan nak menggatal!" Tegas amaran diberikan Datin Sofia. Dato' Azmi bukannya boleh. Kalau tidak dihentikan, makin menjadi-jadi perangai manjanya.

Dato' Azmi tergelak kecil sebelum menganguk perlahan.

"Ya lah! Cepat sikit. Saya tunggu dekat bilik."

Datin Sofia mengangguk kecil sebelum mereka berdua berpisah menuju ke lokasi yang berbeza.

Terlepas keluhan lemah di bibir Datin Sofia. Kenapa awak perlu buat semua ini, Azmi?

Safina Nufa ✔Where stories live. Discover now