SUNYI.
Safina menghembus nafas resah. Dia tidak tahu sudah berapa lama dia terperangkap di hutan tebal itu. Matahari yang tadinya terpacak di atas kepala Safina sudah mula menghilang daripada pandangan mata.
Suasana yang gelap menghalang Safina untuk melihat kawasan sekeliling dengan jelas. Dia hanya mampu melihat dengan menerima cahaya bulan. Itu pun hanya samar-samar disebabkan rimbunan pokok yang menebal. Pupil Safina sedikit membesar bagi memastikan lebih banyak cahaya yang dipantulkan bulan memasuki matanya.
Usahanya gagal kerana pandangannya masih terbatas. Keluhan lemah dilepaskan. Perut mula berkeroncong tanda kelaparan. Dia masih belum menelan apa-apa sejak tengah hari tadi. Tekak yang kering membataskan dirinya untuk bersuara.
Sedang leka Safina termenung memikirkan nasibnya, bunyi bising yang tiba-tiba hadir mengejutkan Safina. Reaksi wajah Safina berubah apabila mula dapat mengecam bunyi yang menerjah telinganya.
Kereta!
Langkah mula diatur ke arah sumber bunyi tersebut.
Safina sedikit terkedu apabila dia dapat mengecam kawasan sekelilingnya. Di hadapannya megah berdiri bangunan-bangunan pencakar langit. Kepekatan malam langsung tidak menghalang bandar itu untuk bercahaya.
Perasaan lega menyerbu Safina. Baru sahaja dia ingin melngkah, kesakitan yang menyerangnya membuatkan dia jatuh terduduk bersebelahan jalan raya. Mata Safina mula memberat sebelum akhirnya tertutup.
Sempat dia melihat beberapa orang manusia menghampirinya.
"PAPA tak benarkan Sya pergi. Muktamad."
Melopong mulut Syatila mendengar baris ayat yang dituturkan Dato' Azmi. Kening bertaut tanda tidak berpuas hati.
"Sya tetap akan pergi."
Dato' Azmi memandang wajah Syatila yang tidak berpuas hati. Jelas sekali anaknya itu tidak setuju dengan arahannya.
"Papa cakap, dengar. Jangan lawan."
"Syatila tak nak dengar. Safina kawan Syatila."
"Papa cakap..."
"Awak... izinkan aje," celah Datin Sofia setelah lama berdiam diri. Dari tadi dia melihat perbalahan yang tercetus disebabkan suami dan anaknya tidak sependapat. Melihat wajah berharap Syatila, kasihan pula. Gadis itu benar-benar risaukan keadaan sahabatnya itu.
Sempat Datin Sofia menyalahkan diri sendiri kerana gagal untuk melindungi Safina. Dia ibu saudara yang teruk.
Sangat teruk.
"Maaf mencelah Dato' dan Datin. Saya rasa tak seharusnya Dato' dan Datin masuk campur dengan urusan anak saya." Puan Syazlina yang diam mula bersuara. Datin Sofia, Dato' Azmi dan Syatila memandang ke arah Puan Syazlina. Masing-masing menayangkan riak wajah terkejut.
Tidak menyangka Puan Syazlina langsung tidak bersetuju untuk mereka masuk campur.
"Saya akan libatkan polis dalam hal ini. Seeloknya jangan masuk campur. Saya tiada kaitan dengan keluarga Dato' dan Datin."
"Mak cik, Sya..."
Belum sempat Syatila bersuara Puan Syazlina mengangkat tangannya menghalang gadis muda itu untuk bersuara.
"Terima kasih sebab selama ini kamu layan Safina dengan baik. Mak cik sangat hargainya. Tapi maaf. Cukup sampai di sini sahaja. Mak cik tak akan benarkan kamu masuk campur."
Nekad sekali nada Puan Syazlina. Wajah yakin wanita itu juga membuktikan dia tidak main-main dengan keputusan yang dibuat.
"Kak Lina buat semua ini sebab Sofia kan?" ujar Datin Sofia secara tiba-tiba. Buat pertama kalinya, Datin Sofia memanggil Puan Syazlina dengan panggilan yang sepatiutnya. Tidak lagi menggunakan bahasa kasar yang boleh mengguris hati Puan Syazlina.
YOU ARE READING
Safina Nufa ✔
Teen FictionSafina Nufa. Itu nama aku. Biasa-biasa sahaja. Tidak secantik nama kalian. Tetapi kisah aku mungkin lain daripada yang lain. Tahu apa rasa diperhatikan? Tahu apa rasa sentiasa menjadi mangsa keadaan? Pernah rasa? Kalau pernah, kita senasib. Tapi...