"MASIH tiada khabar mengenai Safina?"
Ketegangan mengisi rumah agam itu apabila suara tegas Dato' Azmi bergema. Serius sahaja lelaki itu sejak dari tadi. Syatila yang berada berdekatan hanya mampu meneguk air liur. Seram juga dia dengan perubahan Dato' Azmi.
Taib hanya mendiamkan diri. Dia akui semua salahnya. Sudah diberi peluang tetapi pencarian yang dilakukan hanya sia-sia. Jejak Safina hilang daripada radar. Malah, susuk tubuh gadis itu tidak pernah kelihatan.
Ada juga Taib menyuruh rakannya yang berada di negara seberang untuk menolongnya. Malangnya, gadis itu tidak ditemui juga. Tempoh masa yang semakin menghampiri memaksa Taib untuk menghentikan penyiasatan.
"Dato', beri saya masa lagi!"
"Masa? Kalau apa-apa jadi dekat Safina macam mana?" Tinggi suara Dato' Azmi. Keadaan benar-benar sudah berubah. Pihak sekolah sudah mahu mengeluarkan surat menghentikan Safina yang gagal memberikan sebab mengapa gagal menghadiri sekolah walaupun sudah satu minggu berlalu.
Perkara itu memberi tekanan kepada Dato' Azmi. Safina sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Mustahil dia akan membiarkan perkara itu terjadi. Dia juga sedikit hairan mengapa pihak sekolah seolah-olah tidak kisah akan kehilangan Safina yang jelas sekali masih tidak tahu puncanya.
Nasib sahaja kes berkenaan kejadian di tandas tempoh hari, tidak membabitkan Safina. Cikgu Nadia sendiri berkata itu hanyalah kemalangan disebabkan kecuaian dirinya. Sekarang ini, bukan mereka sahaja sedang menjejak Safina. Tetapi pihak polis juga melakukan perkara sama.
Hal ini berikutan kes Safina yang melibatkan kematian Husna. Keterangan Safina amat penting untuk menyelesaikan kes.
"Yang awak nak sibuk pasal budak itu, kenapa?" Datin Sofia bersuara geram. Sakit pula hatinya melihat suami sendiri seakan-akan cuba menghancurkan rancangannya.
Dia sudah mengatur rancangan dengan terperinci supaya Safina berjaya dibuang dari sekolah. Hidup gadis itu akan perlahan-lahan musnah. Namun, semua itu tidak akan terjadi jika Dato' Azmi masuk campur.
"Awak tanya kenapa? Awak sedar tak itu anak abang awak? Anak saudara awak!"
"Anak saudara? Awak buat lawak apa? Budak lembab itu anak saudara saya? Sampai mati pun saya tak akan terima budak malang itu! Dia punca semuanya terjadi! Kalau bukan sebab dia, abang saya dengan perempuan malang itu tak akan kahwin!"
Prang!
Syatila menekup mulut tanda tidak percaya dengan apa yang terjadi. Datin Sofia sedikit terkedu.
"Awak lupakan aje lah dendam awak yang tak akan bagi apa yang awak nak itu! Kalau awak rasa dendam itu lagi penting daripada suami awak sendiri, teruskan!"
Serpihan kaca pecah bertaburan di atas lantai kesan tolakan kuat Dato' Azmi. Pasu yang berderai benar-benar menggambarkan hati Dato' Azmi tika itu. Kecewa dengan sikap Datin Sofia. Dia sendiri susah ingin menerima hakikat bahawa isterinya sendiri bakal memusnahkan kehidupan orang lain.
Tidak cukupkah kasih sayang dan bimbingan yang diberikan dia selama ini?
"Awak, saya..."
"Cukup Sofia. Saya kecewa dengan awak. Kenapa awak nak sakitkan hati orang lain demi kepentingan diri awak sendiri? Berapa kali lagi awak nak jadi selfish? Saya kecewa dengan awak, Sofia. Sangat kecewa."
Tanpa dijangka, permata jernih milik Dato' Azmi yang jarang dilihat akhirnya tumpah jua. Pipi Dato' Azmi sedikit basah menerima kehadiran air mata miliknya sendiri. Hatinya hancur dan sakit.
Cukuplah.
Dia menderita dengan ego isterinya sendiri.
Syatila, Datin Sofia dan Taib yang melihat air mata Dato' Azmi tergamam. Masing-masing terkejut melihat lelaki yang jarang menunjukkan kesedihan itu menangis kekecewaan. Datin Sofia jelas terkesan dengan apa yang terbentang di hadapannya.
Timbul kesedaran di dalam diri. Dia sudah gagal menjadi isteri dan ibu yang terbaik untuk keluarga kecilnya.
Dato' Azmi sempat mengukir senyuman kelat sebelum berlalu meninggalkan kawasan ruang tamu. Datin Sofia yang sedari tadi berdiri terduduk di atas sofa. Syatila yang melihat perkara itu laju melangkah ke arah Datin Sofia.
Risau pula dia dengan keadaan Datin Sofia.
Jelas wanita itu masih cuba menghadam segalanya.
Tumpuan Syatila terganggu apabila telefon yang berada di dalam poketnya bordering minta diangkat. Dengan perasaan mendongkol geram, dipaksa juga tangan menyeluk ke dalam poket.
"Unknown number?"
Tanpa sedar, Syatila meninggikan sedikit suaranya. Suaranya berjaya menarik perhatian Taib dan Datin Sofia. Taib tangkas menghampiri Syatila sebelum telefon itu dirampas laju.
Wayar berwarna hitam diambil sebelum dicucuk di telefon tersebut. Wayar itu menyambungkan telefon milik Syatila dan laptop milik Taib yang terbuka sejak daripada tadi. Lelaki itu lincah menekan sesuatu di atas papan kekunci laptop miliknya.
Telefon milik Syatila diserahkan semula.
"Jawab, speaker."
Dua perkataan yang dikeluarkan Taib tangkas disambut oleh Syatila. Panggilan diangkat sebelum speaker ditekan.
Syatila, Datin Sofia dan Taib masing-masing sedikit berdebar menunggu suara pemanggil di dalam talian.
"Hai."
"Who are you?"
"Human."
Syatila menghembus nafas kasar mendengar balasan sarkastik di hujung talian.
"Gurau sikit pun tak boleh ya, awak?" Syatila hanya diam. Tidak berniat ingin membalas. Menyampah pula dia.
"Tak apa kalau kau tak mahu balas. Cuma aku nak cakap. Safina dengan aku."
"Apa?" Spontan Syatila bersuara. Minda mula melayarkan memori bersama Safina. Akhirnya, kedudukan rakannya itu sudah diketahui. Sempat dia mengucapkan syukur di dalam hati.
"Dia hidup jangan risau. Cuma,kalau kau tak nak dia arwah, datang sini dalam masa empat puluh lapan jam. Aku rasa kau boleh track kedudukan aku. So, my pleasure."
Panggilan dimatikan tanpa sempat Syatila berkata apa-apa. Geram dengan tindakan pemanggil di talian, Syatila menghempaskan telefon pintarnya ke atas meja. Nasib tidak tercabut wayar yang menghubungkan telefon tersebut dengan laptop.
"Jejak dia."
Dingin suara Syatila. Taib mengangguk akur sebelum mula menjalankan misi menjejak kedudukan Safina.
Setelah hampir kurang lima belas minit bertungkus-lumus di hadapan laptop, terukir senyuman manis di bibir Taib. Tampak gembira dengan sesuatu.
"Dapat?" soal Datin Sofia yang mula menunjukkan minatnya ingin menjejak Safina. Perasaan bersalah akan menghurungnya seumur hidup jika gadis itu hilang tanpa jejak buat.
"Dapat."
"Bagus. Ambil kereta. Kita gerak sekarang." Syatila yang mahu melangkah pergi segera dihalang oleh Taib. Berkerut dahi gadis itu melihat tingkah-laku Taib.
"Apa?"
"Mungkin satu perangkap. Mungkin betul. Sebelum menyerang, kita kena ada rancangan. Sebelum memburu, pastikan ada target." Dalam sekali makna yang Taib cuba sampaikan.
Direnungnya Syatila dalam-dalam. Supaya gadis itu tidak meraguinya dan akan akur dengan segala rancangan mereka.
"Okey."
Terukir senyuman kelegaan di bibir Taib. Datin Sofia juga turut melakukan hal yang sama. Bersyukur Syatila menerima tanpa banyal soal.
"Mari mulakan."
YOU ARE READING
Safina Nufa ✔
Teen FictionSafina Nufa. Itu nama aku. Biasa-biasa sahaja. Tidak secantik nama kalian. Tetapi kisah aku mungkin lain daripada yang lain. Tahu apa rasa diperhatikan? Tahu apa rasa sentiasa menjadi mangsa keadaan? Pernah rasa? Kalau pernah, kita senasib. Tapi...