07

126 18 2
                                    

SYATILA merenung kertas kajang yang terletak di hadapannya bagai nak tembus. Fikiran bercelaru melihat Safina yang kelihatan takut-takut sewaktu berada di perpustakaan tempoh hari. Memang kawannya sekarang nampak lebih yakin dan mula berkomunikasi dengan kawan sekelas yang lain tetapi...

Syatila tahu, itu hanyalah topeng yang cuba menutup kecelaruan jiwa Safina. Safina licik. Licik menyembunyikan keadaan hatinya yang sebenar. Mata itu sering dilihat tidak ikhlas apabila berkata-kata. Dalam diam Syatila merengus kasar.

Apa susah sangat kau nak jujur dengan aku Safina?

Boleh pecah kepala Syatila memikirkan masalah Safina. Safina sekarang lebih berahsia dan bijak menyembunyikan semuanya. Syatila tersenyum sinis.

Teruskan berlakon Safina. Syatila bertekad ingin memecahkan rahsia yang disimpan rapi oleh Safina. Jika rahsia itu melibatkan kesihatan dan keselamatan Safina, Syatila tidak teragak-agak ingin mengambil tindakan.

Helaian kertas kajang itu tanpa sedar dironyok kuat. Hatinya mula membara apabila mengingati perbualan dengan doktor yang merawat Safina di hospital beberapa bulan lalu.

"SAYA rasa ada sesuatau yang tidak kena dengan Cik Safina." Tenang Doktor Fatimah berkata-kata. Direnung tidak lepas wajah sahahat kepada Safina itu.

Syatila terpempan mendengar kata-kata Doktor Fatimah. Apa yang tidak kena?

"Apa yang tidak kena, doktor? Boleh doktor jelaskan? Saya kurang faham maksud doktor," pinta Syatila dengan penuh pengharapan. Hatinya memberontak ingin mengetahui keadaan Safina.

"Saya syak Cik Safina ada masalah kecelaruan mental."

"A... apa?" Tergagap-gagap Syatila mendengar bicara Doktor Fatimah. Mulut ditekup tanda tidak percaya.

"Saya tahu Cik Syatila terkejut. Tetapi berdasarkan perlakuan dan keadaan Cik Safina, saya syak dia menghidap penyakit kecelaruan mental." Doktor Fatimah menarik nafas sebelum menyambung kata-katanya.

"Sulit sebenarnya untuk saya buktikan perkara ini. Rekod kesihatan Safina bersih dan dia tiada apa-apa masalah kesihatan. Mungkin juga hanya firasat saya."

Tekun Syatila mendengar. Dihadam satu-persatu ayat yang dituturkan Doktor Fatimah. Hatinya masih membentak tidak mempercayai hakikat yang satu itu.

"Saya cuba selidik perkara yang sedang terjadi. Malangnya, ibu kepada Cik Safina menghalang saya untuk terus memberi pemeriksaan kesihatan kepada anaknya. Saya sebagai doktor, tidak boleh menghalang tindakan Puan Syazlina."

Kedengaran keluhan kesal di hujung ayat Doktor Fatimah. Dia sebenarnya sedikit kecewa apabila Puan Syazlina menghalangnya untuk memberikan rawatan lanjutan kepada Safina. Jika betul Safina mempunyai penyakit yang dia sebut sebentar tadi, tidak mustahil akan berlaku kejadian bunuh diri.

Kening Syatila bertaut mendengar kata-kata Doktor Fatimah. Kenapa ibu Safina perlu menghalang anaknya diberi rawatan? Apakah itu selayaknya untuk memastikan kesihatan anak sendiri terjamin?

Firasat Syatila kuat menyatakan ada yang tidak kena dengan ibu Safina. Fikirannya mula terganggu apabila mengingati Safina yang keseorangan di wadnya.

"Baiklah doktor. Terima kasih!" Tergesa-gesa Syatila bangun. Dia ingin melawat Safina dan melihat keadaan rakannya itu. Risau pula dibiarkan Safina berseorangan.

Doktor Fatimah hanya melayangkan senyuman nipis sebelum menghantar Syatila melalui ekor mata.

BUNYI kuat yang datangnya dari ruangan tingkat bawah menghentikan lamunan Syatila. Bunyi yang agak kuat itu tidak henti-henti berbunyi. Seolah-olah menggamit Syatila ke tingkat bawah.

Syatila berfikir sejenak. Sekarang sudah menginjak pukul sembilan malam. Ibu bapanya akan pulang pada pukul sepuluh malam kerana menghadiri majlis hari jadi anak kepada rakan sekerja mereka.

Mustahil mereka yang berada di tingkat bawah. Mujur sahaja Syatila sudah lama mengunci pintu. Komputer yang terletak elok di atas meja dihidupkan.

Sementara menunggu komputer dihidupkan, tangannya lincah menelefon ayahnya. Risau dia akan terlambat untuk menelefon. Sementara menunggu panggilan terjawab, Syatila tangkas mencari rakaman cctv yang menunjukkan ruangan tingkat bawah.

Selain di bilik ibu bapa Syatila, Syatila juga mempunyai kebolehan untuk mengakses cctv di rumahnya. Matanya galak mencari susuk tubuh yang dipercayai menceroboh masuk rumahnya. Pelik juga dia kerana tiada sebarang bunyi penggera keselamatan.

Jika ada yang memecah masuk rumahnya, automatik penggera itu akan berbunyi memberi amaran. Dalam diam Syatila merengus kasar. Nampaknya mereka lebih bijak mematikan penggera itu sebelum Syatila sendiri menyedari keberadaan mereka.

Panggilan yang dibuat beberapa kali oleh Syatila itu akhirnya menjawab.

"Papa!"

"Kenapa ni Sya? Ada apa-apa jadi ke?"

"Ada orang ceroboh masuk rumah! Tolong Syatila, papa! Syatila takut!" Terketar-ketar Syatila berbicara apabila dapat melihat orang yang mencerobohi rumahnya itu sedang menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas.

"Apa? Tunggu situ! Jaga diri! Papa dengan mama balik sekarang juga!" Belum sempat Syatila membalas, pintunya sudah diketuk bertalu-talu. Bagai hendak pecah jantung Syatila apabila dia yakin pintu itu akan boleh dibuka jika ketukan kasar itu terus menyerang tanpa henti.

Mata Syatila meliar memerhati kawasan sekeliling. Akalnya ligat berfikir cara ingin meloloskan diri. Matanya akhirnya terhenti apabila melihat balkoni yang berada di biliknya.

Akal mula memproses tindakan yang patut dilakukan seterusnya. Tanpa amaran, Syatila laju berlari ke arah balkoni itu. Sliding door ditolak kasar sebelum ditutup semula. Didekatkan dirinya dengan penghadang balkoni. Rumput menghiasi kawasan yang akan menjadi tempat Syatila mendarat.

Syatila ligat berfikir. Jika dia terjun berkemungkinan untuk selamat dan hidup ialah 50%. Berkemungkinan besar juga akan mendapat kecederaan teruk. Bunyi pintu terkuak mengalihkan perhatian Syatila yang sedang berkira-kira di balkoni.

Syatila yang tidak sanggup untuk menoleh ke arah belakang laju membaca bismillah sebelum dia tanpa berfikir panjang melompat jatuh ke bawah.

Hentakan yang diterimanya agak kuat. Syatila mendesis kuat apabila mendarat dengan selamat di atas rumput karpet itu. Digagahkan diri untuk bangkit sebelum kakinya terhincut-hincut meloloskan diri dari rumah miliknya.

Tepat pada masanya, kereta milik Dato' Azmi dan Datin Sofia dan beberapa kereta polis mula mengelilingi rumah agam itu. Syatila mencari kelibat ibu dan ayahnya sebelum terhincut-hincut mendekati.

Tubuh Syatila didakap erat Datin Sofia. Bagai nak gila jantungnya melihat keadaan anaknya. Bertambah gila apabila melihat beberapa orang asing yang berdiri di balkoni bilik anaknya. Datin Sofia yakin Syatila nekad terjun daripada balkoni biliknya.

"Turun sekarang! Kami polis!"

Syatila sempat mendengar suara polis yang mengarah mereka untuk turun. Matanya perlahan-lahan tertutup sebelum pengsan di dalam pelukan Datin Sofia.

Hampir menangis Datin Sofia melihat Syatila yang pengsan di dalam pelukannya.

"Sofia! Bawa syatila naik ambulans!" arah Dato' Azmi tegas apabila melihat ambulans mendekati rumah mereka. Datin Sofia akur sebelum membawa anaknya ke arah ambulans yang baru sahaja berhenti.

Dato' Azmi tajam memandang ke arah mereka yang bertanggungjawab ke atas kecederaan Syatila. Mahu sahaja ketika itu dia menumbuk satu-persatu wajah di situ namun disabarkan hatinya. Tersilap langkah, mungkin dia akan meringkuk dalam penjara.

Sempat dia mengucapkan syukur di hati apabila melihat puteri tunggalnya itu baik-baik sahaja.

Safina Nufa ✔Where stories live. Discover now