SUDAH satu minggu berlalu. Safina bagaikan mayat hidup. Dia hanya diberikan air untuk mengisi perut yang kosong. Badannya semakin menyusut. Jauh sekali penampilan Safina yang dulu dan sekarang.
Pakaiannya langsung tidak berganti sejak satu minggu lalu. Tudungnya juga sudah tidak terletak elok di atas kepala. Dia hanya dibenarkan bergerak bebas jika ingin ke tandas. Itupun ditemani oleh beberapa orang wanita.
Sepanjang dia diculik, Ryan langsung tidak menjenguk bahkan ingin berbual. Lelaki itu bagaikan cuba menghilangkan diri daripada Safina. Safina yakin lelaki itu sengaja ingin menyeksanya dengan tidak memberinya makanan mahupun teman untuk berborak.
Dia hanya berseorangan di bilik gelap itu. Tiada sedikit pun cahaya mentari yang memasuki bilik itu. Bilik itu hanya bergantung kepada lampu syiling yang akan menyala jika ada orang ingin menghantarnya ke tandas.
Tempat itu bagaikan neraka buat Safina. Safina seperti orang gila ditinggalkan berseorangan di bilik itu tanpa mampu melakukan apa-apa. Perasaan rindu mencengkam hati Safina.
Dia rindukan Puan Syazlina dan Syatila. Entah apa khabar mereka. Entah sihat atau tidak.
Mata Safina meliar memerhati kawasan sekeliling. Akalnya diperah mencari jalan keluar. Sebelum ini dia langsung tidak terfikir ingin melarikan diri tetapi sekarang semuanya berubah.
Dia tidak boleh mengharapkan orang lain untuk mencarinya. Kudrat yang dia punya harus tidak disia-siakan.
Tali yang melilit badannya direnung. Tanpa amaran, Safina memegang buku jari tangan dan menarik tangannya naik ke dada. Dia cuba mewujudkan jurang antara pergelangan tangannya.
Tali yang melilit erat dadanya membuatkan Safina sedikit susah untuk bergerak. Dia menarik nafas sedalam mungkin dan cuba mengembangkan dadanya. Cubaanya berjaya apabila tali yang mengikat dirinya mulai longgar.
Tali yang semakin melonggar di pergelangan tangannya cuba ditarik menggunakan gigi. Hasilnya, ikatan tali itu semakin longgar sebelum Safina menggoyangkan tangannya beberapa kali.
Safina menarik segaris senyuman apabila tali yang melilit tangannya berjaya dileraikan. Tangannya mula licah meleraikan tali yang mengikat kaki dan dadanya. Perbuatan itu dibuat secara pantas dan berhati-hati supaya tali yang mengikat tidak semakin ketat.
Cubaannya melepaskan diri daripada ikatan tali tersebut akhirnya berjaya. Tidak sia-sia dia mempelajari teknik itu ketika melayari internet.
Safina mula meneliti kawasan sekeliling mencari sesuatu sebagai pertahanan untuk dirinya. Matanya tertancap kepada sebatang kayu yang terletak elok bersandar di dinding. Tangannya laju mencapai kayu itu.
Dengan lafaz bismillah, Safina membuka perlahan-lahan pintu tempat kurungannya. Kesilapan terbesar mereka ialah tidak mengunci pintu. Mungkin mereka cukup yakin gadis yang tampak polos seperti Safina tidak akan berjaya membebaskan diri.
Semua itu ternyata silap. Safina sedang elok berdiri di hadapan pintu yang sudah terkuak besar. Mata Safina liar memerhati koridor yang berada di situ. Koridor itu hanya dipenuhi dengan cahaya lampu. Itupun hanya samar-samar.
Safina mengatur langkah dengan berhati-hati. Mengelak derapan kakinya menjadi punca dia bakal ditangkap. Walaupun dia tidak tahu hala tujunya, dia tetap meneruskan langkah menyusuri koridor sunyi itu.
Terbit juga perasaan risau jika dia berjaya ditangkap namun, segera dia menepis tanggapan negatif itu. Semakin lama berjalan, semakin dia dapat lihat cahaya mentari yang mula menyuluh koridor itu.
Safina semakin mempercepatkan langkah. Tidak sabar ingin menjenguk dunia luar yang sudah lama dia tinggalkan. Langkah Safina terhenti apabila pemandangan yang menyapa matanya hanyalah dinding.
YOU ARE READING
Safina Nufa ✔
Teen FictionSafina Nufa. Itu nama aku. Biasa-biasa sahaja. Tidak secantik nama kalian. Tetapi kisah aku mungkin lain daripada yang lain. Tahu apa rasa diperhatikan? Tahu apa rasa sentiasa menjadi mangsa keadaan? Pernah rasa? Kalau pernah, kita senasib. Tapi...