19. TRAUMATIC MUTISM

399 21 6
                                    

LAMA Sofea tunggu umi dan abang dia. Tak muncul-muncul. Baru tangan nak capai telefon di dalam beg, tiba-tiba dia ditegur oleh satu suara.

"Nak call abanglah tu. Abang dah tibalah. Maaflah adikku sayang. Abang lambat sikit."

Terkejut Sofea ditegur dengan baris ayat panjang berjela. Salam tak ada terus mukadimah! Perangai abang dia ni sama aje macam umi dia. Sofea memusingkan tubuhnya dan berhadapan dengan abang dia. Dia mencari sosok tubuh tua milik umi tercinta. Mana umi?

"Umi mana?"

"Umi ada dengan Datin Sri Julia. Tadi masa datang abang dan umi bersaing dengan nenek Fattah. Nenek Fattah baru datang juga. Itu yang Datin Sri pelawa sekali umi bersembang dengan nenek Fattah tu." Jawab Amran sambil mata mengelilingi melihat ruangan taman di luar banglo milik keluarga kaya ini. Ini kali pertama dia jejakkan kaki di kawasan banglo ini. Biasalah rumah orang kaya. Besar rumahnya macam enam biji rumah dia.

Nenek Fattah? Tak tahu pula nenek dia ada datang sekali. Mungkin semua keluarga Dato dan Datin dijemput. Tadi pun lepas solat maghrib ada buat majlis kesyukuran untuk Qalisa yang sembuh dari trauma yang dihidapi setahun yang lalu. Tak sangka dia salah satu penyebab Qalisa sembuh. Dia pun bersyukur dalam jahat dan buruknya dia, terdapat juga satu kebaikan yang dia telah buat untuk sesama insan.

Kalau mereka yang lihat keletah Qalisa sekarang ini, mesti ramai tak sangka si kecil itu penghidap Traumatic Mutism. Fattah pernah terangkan kepadanya tentang trauma yang berlaku kepada Qalisa semasa awal perkenalan dia dan Qalisa. Waktu itu dia sebersalah nak membantu anak kecil itu. Apabila dia tahu sejarah penyakit yang dihidap oleh Qalisa, hati dia tersentuh. Mesti sakit sangat kehilangan orang yang tersayang. Apa lagi ketika waktu seusia seperti Qalisa.

Kanak-kanak dengan trauma ini biasanya mengalami trauma secara tiba-tiba dalam pelbagai aspek keadaan. Contohnya, mungkin mereka menyaksikan kematian ahli keluarga atau orang yang mereka sayang di depan mata. Dan kanak-kanak yang masih tidak mengerti apa-apa tidak dapat menerima kehilangan orang yang mereka sayang. Atau pun, kematian ngeri yang berlaku di depan mata dan mereka tak dapat memproses peristiwa dan mereka takut. Ada sesetengah akan memberontak tapi bagi sesetengah kanak-kanak mereka akan berdiam. Senang cerita menjadi bisu bila berhadapan dengan keadaan sekeliling. Mungkin ini yang terjadi pada Qalisa. Kesian anak mama.

Sofea sebenarnya teringin juga nak tahu sejarah kemalangan yang berlaku kepada arwah isteri Fattah itu. Tapi dia takut sangat nak bertanya. Takut mereka tersinggung. Tengok macam mana, mungkin akan ada masa yang sesuai untuk dia bertanya kepada aunty atau pun Fattah sendiri.

"Abang Am makanlah dulu. Mereka tadi ada buat majlis kesyukuran kesembuhan Qalisa tadi. Majlis potong kek untuk Qalisa belum mula lagi. Mungkin sekejap lagi. Abang layan diri sendiri jela. Pea nak jumpa umi sana."

Amran mengangguk dia turut berlalu pergi apabila terpandang bakal adik iparnya itu. Siapa lagi kalau bukan Chef Fattah. Walaupun dia tahu adiknya dan Fattah tak ada apa-apa hubungan yang serius, tetapi tak salah kalau dia berharap Fattah itu menjadi adik iparnya. Mana taknya umi dia hari-hari menyebut nama Fattah saja dalam rumah mereka. Fattah itulah, Fattah inilah. Nampak sangat umi dia terlalu berkenan untuk jadikan Fattah ini sebagai menantunya.

Bagus juga Fattah menjadi buah mulut umi buat masa ini. Tak adalah umi asyik bimbangkan bila dia nak berkahwin pula. Umi dia ingat senang nak cari isteri agaknya. Macam beli ikan di pasar. Nak beli ikan di pasar pun nak kena pilih juga. Mana yang fresh lagi.

"Bakal adik iparku. Apa khabar? Lama tak nampak." Salam Amran disambut baik oleh Fattah tengah ketawa kecilnya.

"Sihat. Ada sajalah kau ni Am. Kuat sangat. Tak elok orang dengar. Bising nanti adik kau." Fattah tersenyum geli hati dengan tingkah laku Amran abangnya Sofea. Mereka sebaya saja. Jadi dah terbiasa berbual santai macam ni. Dia pun suka berbual dengan Amran dan Puan Zarina. Mulut mereka sekeluarga memang kepoh. Itu yang membuatkan Fattah senang masuk di dalam keluarga Sofea.

Hate You Mr. Sup BonjotWhere stories live. Discover now