QII 15

333 44 4
                                    

JAM tujuh setengah malam, kapal terbang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Hanya berbekalkan beg galas berisi komputer riba, beberapa dokumen kerja dan barang penting, aku berjalan sehelai sepinggang menuju ke surau untuk menunaikan solat maghrib terlebih dahulu.

Setelah itu, aku menelefon Zain untuk bertanyakan keberadaannya. Beberapa minit kemudian kelihatan sebuah kereta Mitsubishi Lancer berhenti tepat di hadapanku. Jenama yang sama. Model yang sama. Warna yang sama. Segalanya persis dengan keretaku di Singapura. Namun Lancer yang di depan aku ini berbeza dari segi sentimental. Lancer ini merupakan hadiah dari papa sempena ulang tahunku.

Pintu tempat duduk sebelah pemandu dibuka dari luar. Kelihatan Zain berkameja hitam tidak berbutang di bahagian atas. Rambutnya sedikit serabai. Kelopak matanya layu. Jelas riak penat pada wajah lelaki itu. Mungkin tak sempat berehat. Selepas aku keluar dari pejabat beberapa jam lepas, aku kembali ke hotel untuk mengemas barangan penting termasuk passport.

Kereta pula diamanahkan pada pekerja hotel. Aku bergegas ke lapangan terbang menaiki Uber. Penerbangan terawal ke KLIA adalah pada jam lima setengah petang. Aku terus membeli tiket tersebut tanpa berfikir panjang. Sempat aku meminta Zain untuk mengambil Lancer di lot parkir di Inn Tech HQ dan menaiki Lancer untuk menjemputku.

"Switch. Saya drive." Kataku pendek. Zain tak banyak bunyi. Kami bertukar tempat duduk. Plastik berisi makanan yang aku pegang dari tadi dihulurkan kepadanya.

"Makan." Arahku sambil memetik lampu isyarat ke kanan. Setelah memastikan keadaan jalan selamat, stereng diputar ke kanan, keluar dari kawasan pick-up.

"Terima kasih cik Qayla." Zain terus buka plastik itu dan makan dengan sangat rakus. Sesekali, dia tersedak. Dia membuka penutup botol mineral dan minum beberapa teguk.

"Seat belt." Faham akan kata-kataku, Zain terus memakai tali pinggang keselamatan.

Sebaik saja tayar kereta berputar di atas lebuh raya, pedal minyak dipijak rapat. Mata melirik cermin pandang belakang. Clear. Lampu isyarat ke kanan dipetik sebelum aku mengubah lorong ke sebelah kanan. Telefon bimbit berdering berkali-kali. Tak pasti siapa yang memanggil. Namun sedikit pun aku tidak menoleh. Hanya mama yang mengisi ruang kepala saat ini.

Sebelum memasuki balai perlepasan petang tadi, aku menerima WhatsApp dari Zain yang mengatakan mama berada dalam keadaan separa kritikal. Kecederaan dalaman menyebabkan mama kehilangan banyak darah. Pihak hospital pula kehabisan bekalan darah. Sampai sekarang belum ada penderma dari kumpulan darah yang sama.

Kereta akhirnya berhenti.

Nafas kuhembus berat. Mata mengimbas suasana. Kelihatan beberapa orang pelawat berjalan ke kereta untuk pulang. Sweater putih di tubuh dibetulkan.

Setelah mengejutkan Zain yang nyenyak tidur, kami terus masuk ke hospital. Aku memaklumkan identiti diriku sebagai anak kepada pesakit bernama Syarina. Jururawat bertugas terus membawaku ke bilik doktor yang merawat mama. Doktor menjelaskan keadaan semasa mama. Katanya, mama memerlukan jumlah darah yang banyak.

"Darah puan Syarina jenis B negatif. It's quite rare. Jadi agak susah untuk cari penderma dalam masa yang singkat."

"Saya anak dia. Darah saya B negatif."

Doktor memandang aku dengan wajah penuh harapan. Setelah berbincang dengan lebih lanjut dan mendapatkan persetujuan bersama, aku terus menandatangani surat berkaitan dan diminta untuk menjalani beberapa ujian. Setelah itu, doktor meminta aku agar bersedia untuk proses pendermaan darah.

Pada saat katilku ditolak masuk ke dalam wad yang menempatkan mama, aku menoleh ke sisi. Wajah mama yang berselirat dengan tiub mengisi ruang retina. Lebam dan luka. Dua tahun lebih. Aku ambil masa dua tahun lebih, hanya untuk lihat keadaan mama seperti ini. Air mata yang bertakung akhirnya menitis ke pipi.

QAYLA IIWhere stories live. Discover now