BUNYI air hujan membangunkan aku dari tidur. Tenang. Sejuk. Aku mengambil alat kawalan jauh berwarna putih-kelabu di atas kabinet di sisi katil lalu mematikan pendingin hawa. Jam di telefon bimbitku menunjukkan pukul enam pagi. Sempat aku lirik beberapa notifikasi berisi panggilan telefon dan pesanan WhatsApp, namun tiada niat untuk membacanya apa lagi membalasnya.
Turun dari katil, aku menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan terus berwuduk. Setelah menunaikan ibadah, aku mengemas pakaian dan barangan peribadiku ke dalam beg yang dibawa oleh papa tempoh hari. Memandangkan tangan tidak lagi bertiub, pergerakanku tidak terbatas dan lebih selesa. Pantas semuanya dikemas. Tinggal menunggu kebenaran daftar keluar.
"Cik Qayla? Hari ni cik dah boleh discharge. Nanti tinggalkan baju wad di atas katil. Pembayaran bil boleh dibuat di kaunter."
Pucuk dicita ulam mendatang. Aku sekadar angguk dan senyum hambar. Sebaik saja jururawat itu keluar, aku menukar baju dan mencapai semua barangku. Kaki diatur ke kaunter untuk menyelesaikan pembayaran. Nampaknya deposit telah dibereskan oleh papa. Lebihannya aku bayar secara atas talian menggunakan kad debit.
Tepat tujuh sepuluh minit pagi.
Aku bergegas ke lobi utama dan menempah GrabCar untuk pulang ke rumah mengambil Lancer serta beberapa barang penting lain. Setelah itu, pandailah aku berteduh di mana-mana hotel murah. Yang pasti, aku tak mahu sebumbung dengan papa dan dua beranak itu. Sesampainya pemandu tempahanku tadi, figura Hashry kelihatan juga baru tiba. Sempat mataku menyusul langkahnya ke pintu lif.
Selamat tinggal, Ash.
Nasib menyebelahiku kerana ketiga-tiga manusia yang aku hindari memang tiada di rumah. Mungkin sudah berangkat ke pejabat dan ke sekolah. Mak uda menyambutku di muka pintu dengan pelukan kasih sayang. Juga mungkin ada secebis perasaan rindu. Aku menepuk lembut belakang mak uda, menenangkannya.
"Cik Qayla nak keluar dari rumah ni ke?" mak uda bertanya sayu ketika aku sedang menjamah nasi berlaukkan ayam masak merah masakannya. Aku tahu mak uda nampak aku berkemas tadi.
"Memang itu saya nak dari dulu." Tidak berlapik aku meluahkan rasa.
"Tinggalkan mak uda?" aku berhenti makan.
"Bukan macam tu, mak uda." Namun tiada penjelasan yang dapat diberikan. Hanya keluhan berat bersama pandangan yang sarat dengan rasa keengganan. Tidak dinafikan, aku juga rasa berat mahu tinggalkan mak uda.
"Cik Qayla nak pergi mana?"
"Belum fikir." Kali ini mak uda pula yang mengeluh.
•
"ISS Trial Program kat Cempaka and Cliste dah reschedule?"
Soalku sambil menganalisis beberapa dokumen berkaitan projek I-Nite. Kemudian laporan berkenaan pemasangan peranti keselamatan di Rivervale International School beberapa bulan lepas pula diamati. Maklum balas yang diterima setakat ini baik. Bunyi notifikasi di telefon pula mencuri perhatian. Kiriman emel dari pengguna @mohdnoor.works aku baca di ruang pemberitahuan.
Segera aku membuka emel di komputer riba pula. Beberapa fail berformat PDF mengisi ruang skrin. Abah mengirim laporan perkembangan terkini projek yang berjalan di HQ yang berskala sederhana dan besar. Dua daripada projek besar itu melibatkan Tuah Empire Holding.
T.E. Megamall (Inn Tech x Datasonic)
T.E.S.C.
YOU ARE READING
QAYLA II
Teen FictionSetiap hari aku cipta andaian palsu dalam imaginasiku sendiri. Berharap bahawa semua ini hanya sebuah mainan tidur yang akan berakhir pada saat aku terjaga. Namun, ini adalah nyata dan realiti. Perkahwinan papa dan mama yang telah menemui penghujung...