TIDURKU disentak oleh deringan jam loceng dari telefon bimbit. Sengaja aku setkan jam enam setengah pagi supaya sempat aku bersiap dan membeli sarapan untuk mama yang masih lagi tidur. Setelah membersihkan diri dan menunaikan solat Subuh, aku menukar pakaian dan terus keluar ke sebuah warung roti canai yang jaraknya mengambil masa kira-kira lima belas minit dari hospital. Memandangkan kondisi mama semakin membaik dan sudah dibenarkan untuk makan makanan dari luar, aku mahu belikan mama roti canai kegemarannya.
Aku kembali ke wad ketika jam menunjukkan pukul tujuh empat puluh lima pagi. Seperti yang dijangka, mama sudah bangun. Bibirku mengukir senyum gembira.
''Ma, Eya belikan roti canai favourite mama. Jom kita makan sama-sama?'' ajakku sambil menarik kerusi mendekati katil. Beg di bahuku dilorotkan sehingga tangkainya bertemu tapak tangan sebelum aku meletakkannya di atas kerusi tersebut bersama-sama dengan beg galas berisi komputer riba. Telefon bimbit yang setia dipegang, aku selit di kocek belakang seluar. Aku dapat rasakan bibir yang meregang nipis. Gembira.
Bungkusan surat khabar dikeluarkan dari dalam plastik. Alas roti canai yang tadinya cuma kertas dan plastik jernih kini bertukar kepada pinggan plastik yang memang tersedia di situ. Ketika tangan sibuk membuka ikatan getah pada bungkusan kuah kari bercampur sambal, aku angkat pandang ke arah mama dengan mata yang bersinar dengan keterujaan.
Sinar itu kelam serta merta. Senyum yang kurasa ikhlas kini bertukar kelat. Pergerakan tangan terus mati. Keras jasadku di situ dengan satu perasaan yang aku pantas namakan entah sebagai apa. Janggal? Terkilan? Kecewa?
Tiada ekspresi pada wajahnya. Pahit tanpa senyuman. Suram tanpa riak. Kosong tanpa perasaan. Cuma satu kata yang tergambar dari wajah tawar mama dan aku enggan katakannya. Yang pasti semuanya antonim dengan apa yang aku zahirkan. Walaupun suasana bertukar janggal, aku cuba berlagak tenang.
''Oh mama belum lapar? Eya bungkus balik. Nanti mama lapar, mama makan okay? Eya nak balik hotel dulu. Nak mandi dan buat kerja sikit. Lunch nanti Eya datang lagi okay?'' laju mulutku mencipta alasan sambil tangan mengemas semula hidangan roti canai.
Aku raih tangan mama yang tiada tindak balas lalu dicium penuh rindu. Semasa berjalan keluar dari wad yang menempatkan mama, aku sempat menelefon Zain untuk menyuruhnya datang memastikan mama bersarapan. Baru saja aku ingin menyimpan telefon bimbit ke dalam beg tangan, notifikasi yang begitu sinonim di telinga tiba-tiba berbunyi. Sudah lama deringan ini tidak mengisi telinga. Kira-kira satu bulan lebih. Selama itukah masa yang sudah berlalu?
''Guys, nah jadual sem ni. Kelas start next week, so jangan lupa register course okay?''
Seperti yang kuduga. Cuti semester sudah sampai ke penghujungnya. Secepat ini? Terbit keluhan nipis dari bibirku.
''Noted class rep!''
Sempat aku baca kata balasan yang sama daripada beberapa orang rakan kelas sebelum menyimpan semula telefon bimbit. Otak mula mengatur senarai perkara yang perlu dilakukan sebaik saja tiba di hotel. Masih banyak kerja pejabat yang tertangguh gara-gara isu tular tentang aku dan Dato' Malik yang masih lagi berapi di media sosial. Kali terakhir aku periksa, pengikut di laman Instagram sudah mencecah lima puluh ribu. Angka yang amat tidak masuk akal! Mungkin masuk akal bagi mereka yang mahukan populariti tetapi bukan aku yang jelas sekali tidak berdunia dengan mana-mana makhluk bumi. Aku sangka semuanya akan reda dalam masa beberapa hari atau mungkin paling lama satu minggu. Nampaknya jangkaanku meleset.
Sudah hampir sebulan berlalu tetapi namaku masih menduduki carta teratas dalam carian di media sosial, lebih-lebih lagi Twitter. Sesekali aku cuba baca catatan yang mereka muat naik. Daripada seratus, hanya beberapa peratus saja cerita yang betul. Selebihnya cuma tokok tambah yang merepek dan tidak masuk akal. Entah apa motif yang ingin dicapai? Agaknya terlalu selesa bersembunyi di sebalik papan kekunci sampai langsung tak fikirkan impak penulisan kepada audiens yang membaca. Bohong jika aku tidak terkesan dengan situasi sekarang, bahkan mentalku saat ini berada di titik lemah.
YOU ARE READING
QAYLA II
Teen FictionSetiap hari aku cipta andaian palsu dalam imaginasiku sendiri. Berharap bahawa semua ini hanya sebuah mainan tidur yang akan berakhir pada saat aku terjaga. Namun, ini adalah nyata dan realiti. Perkahwinan papa dan mama yang telah menemui penghujung...