SEPANJANG hari aku mengurung diri di dalam kamar hanya untuk membaca kecaman netizen di media sosial. Semakin lama, kicauan tentang kebakaran Cliste High School dan nama Qayla Zamzuri semakin bertambah sehingga tanda pagarnya menduduki tangga teratas di ruangan trending. Tidak semena-mena Inn Tech Holding turut terpalit sama. Tambahan pula aku tidak memunculkan diri, semakin galak mereka membuat spekulasi yang semakin mengarut.
Ramai pengguna Twitter yang merupakan pelajar serta bekas pelajar di sekolah itu turut menambah minyak ke dalam api. Mulalah mengicau bebenang hanya untuk mendapat perhatian. Demi Retweet dan Likes. Kenyataannya mereka tidak tahu apa-apa. Tin kosong. Bunyi saja bising namun tiada isi. Belum habis sakit hati terhadap papa, ditambah pula dengan kata-kata hinaan dan kecaman daripada orang tak dikenali.
Tidak cukup dengan itu, pihak media menghubungi pejabat Inn Tech di kedua-dua cawangan demi meminta keterangan dari pihakku. Hidayah dan abah yang memberitahu. Namun mesej mereka hanya dibaca tanpa dibalas. Gila. Hanya kerana satu artikel yang dimuat naik oleh entah sesiapa, aku menjadi tumpuan netizen dalam sekelip mata.
Siapa yang memulakan kekecohan ini? Kenapa dia buat begini? Perlu ke aku tampil untuk beri keterangan kepada media? Adakah itu keputusan yang tepat untuk menjaga imej keluarga dan Inn Tech? Atau semua akan jadi lebih teruk jika aku muncul di mata tabloid? Entahlah. Aku serabut dan buntu. Bertambah kusut apabila ruang bualan WhatsApp diserang oleh para klien yang mengambil kesempatan dalam kesempitan.
Klak!
Wajah Intan terpacul di muka pintu. Dia membuka pintu bilikku yang berkunci dari dalam menggunakan kunci pendua. Pasti arahan papa kerana aku tidak menyahut panggilan mak uda setengah jam lepas. Perempuan itu merenungku dengan pandangan penuh ketidakikhlasan.
"Kau ni pekak ke mak uda panggil kau turun dinner tadi?"
"Berambus sebelum penampar aku lekat kat muka kau." Intan kelihatan terpempan dengan balasan kata dariku itu. Mungkin tidak menjangkakannya kerana selama ini aku hanya diam dan buat tak tahu. Malangnya hari ini aku terlalu panas hati untuk berlembut dengan mana-mana manusia. Mendidih.
"Kau ingat aku nak sangat datang bilik kau? Papa yang suruh! Turun je la! Ke kau nak abang Ash yang dukung kau turun?" Intan bertanya sinis sebelum beredar dengan pintu yang dibiarkan terbuka. Sempat dia memberikan jelingan tajam kepadaku.
Abang Ash? Hashry? Kenapa tiba-tiba sebut tentang teman lelakiku?
Takkan...
Tekaan aku terbukti benar apabila kaki berhenti tepat di muka ruang makan. Ada Hashry yang sedang duduk bersama papa, aunty Ros dan Intan. Dia menyambutku dengan sebaris senyum ikhlas tetapi aku tiada rasa untuk membalas. Kejung. Beku. Langsung tak gembira. Sebaliknya aku tertanya-tanya bagaimana papa dan Hashry boleh saling mengenali sedangkan mereka tidak pernah bertemu.
"There she is. Come Eya, kita dinner sama-sama." Panggil papa dengan segaris senyum yang terlihat sangat plastik di mataku. Demi menjaga air mukanya, aku menurut tanpa sepatah kata. Sweater putih di tubuhku dibetulkan. Rasa sejuk lain macam hari ini. Setelah doa dibaca, kami mula menjamu selera. Baru saja aku memegang sudu dan garpu, papa mula main wayang dengan meletakkan lauk ikan ke dalam pingganku.
Mukaku kejung dengan pandangan tidak beremosi. Tiada dialog. Namun aku yakin riakku berbunyi 'What the fuck? Are we playing happy family now?' di mata papa yang sedikit terkesan dengan reaksi itu. Janggal. Namun mereka sama-sama menjaga karakter. Intan menjadi adik tiri terpaling sopan. Aunty Ros sebagai mama tiri terpaling mithali. Mungkin nak jaga hati tetamu.
"Saya ingat awak tak makan ikan?" Hashry akhirnya bersuara membuatkan suasana dua kali ganda lebih canggung. Awkward silence. Aku masih tayang wajah poker macam biasa. Ikut rentak yang cuba dimainkan oleh papa. Hormat masih bersisa.
YOU ARE READING
QAYLA II
Teen FictionSetiap hari aku cipta andaian palsu dalam imaginasiku sendiri. Berharap bahawa semua ini hanya sebuah mainan tidur yang akan berakhir pada saat aku terjaga. Namun, ini adalah nyata dan realiti. Perkahwinan papa dan mama yang telah menemui penghujung...