CAHAYA matahari menyimbah ke seluruh genap kamar melalui cermin tingkap lutsinar. Silaunya buat aku terjaga dari lena yang terasa lama. Apabila aku angkat kepala, dunia seperti berputar. Lama juga masa yang diambil sebelum aku dapat bangun dari katil dengan stabil. Sebaik saja kaki menapak tegak, aku terus matikan pendingin hawa. Sejuk. Jam digital di atas meja kerja dipandang. Dua belas tengah hari.
Aku terus membersihkan diri dan turun ke bawah. Dapur dituju. Kelihatan mak uda sedang menyediakan hidangan tengah hari. Masakan mak uda tak pernah mengecewakan tetapi entah kenapa hari ini seleraku mati. Tekak hanya mahu jus kiwi. Peti sejuk dibuka namun hampa apabila air yang aku cari tiada di situ. Mungkin sudah habis dan mak uda belum sempat membancuh yang baru.
"Mak uda, tolong buat jus kiwi. Tak nak ais batu."
"Baik cik Qayla." Aku duduk di kerusi sementara menunggu mak uda membancuhnya. Rumah serasanya sepi yang berbeza dari biasa. Seingatku hari ini ialah hujung minggu. Mereka patut ada di rumah. Nafas kuhembus lemah. Tiada rasa untuk berfikir dengan lebih lanjut.
Kepala lebih berminat untuk mengingat hal semalam. Bukan papa tetapi Hahsry. Kepalaku ligat mencerna luahan lelaki itu sepanjang malam sehingga tidak dapat melelapkan mata. Aku langsung tak berniat membelakangkan Hashry. Niatku hanya satu. Tidak mahu Hashry merasakan apa yang aku rasa walaupun hanya tempias.
Jus kiwi siap dibancuh. Cecair berwarna hijau itu aku teguk penuh nikmat. Lega. Tanpa menjamah apa-apa, aku naik ke bilik untuk mengambil telefon bimbit dan kunci kereta. Tekad. Aku perlu bertemu Hashry dan menjernihkan semula salah faham antara kami berdua. Beberapa kali aku cuba menghubungi telefonnya namun tidak berjawab. Mungkin sedang kelas tutor.
Hashry betul. Kesibukan aku membuat dia rasa terabai dan tidak penting walhal dia satu-satunya lelaki yang menduduki carta hatiku paling atas. Cuma dia yang tidak tahu kerana aku sendiri tak pernah tunjuk atau katakan kepadanya. Bukan aku tak mahu tetapi aku tak pandai. Mungkin salahku juga kerana tidak mencuba. Aku perlu betulkan balik sebelum semuanya jadi lebih teruk.
Aku tak mahu ulang kesilapan papa yang dulu. Oleh kerana terlalu utamakan kerja, papa tiada masa untuk mama sehingga muncul orang ketiga yang menjadi punca pengakhiran hubungan mereka berdua. Sekarang, bagai deja vu aku mengulang perbuatan papa itu. Meletakkan kerja sebagai nombor satu dalam prioriti sehingga orang yang kusayang terkesan. Tak, aku tak mahu perkara yang sama berlaku dalam hubungan aku dan Hashry. Dia perlu dengar penjelasan dariku supaya salah faham ini berakhir.
Enjin kereta dimatikan. Pagar rumah Hashry yang terbuka sedikit memudahkanku untuk masuk. Aku cuba memanggil namanya tetapi tiada sahutan. Nombor telefonnya didail. Juga tidak dijawab. Jantung mula berdebar sederhana laju tiba-tiba. Tak sedap hati. Pintu besi dan pintu sliding buka separuh. Semakin kakiku mendekati pintu itu, semakin aku dengar suara lembut Hashry sedang berkata sesuatu yang tidak jelas.
Akhirnya langkahku mati.
Seluruh tubuhku keras mematung. Air mata mengalir tanpa segan silu. Otak menyuruhku pergi tetapi hati ingin tahu siapa perempuan yang sedang duduk menekup muka di sofa rumah Hashry saat ini. Teman lelakiku kelihatan tidak kekok memujuknya. Tangannya mengelus kepala perempuan itu. Penuh kelembutan dan perhatian.
Bayang mama dan Joe mengisi balang ingatan. Juga figura papa dan aunty Ros. Seterusnya Hashry dan dia. Semua senario ini bermain dalam kepala berulang kali. Tanpa henti. Seperti deja vu. Dada berombak sederhana. Rahang bergetar menahan tangisan yang semakin lebat. Hatiku benar-benar terluka. Kecewa.
Bagai merasai kehadiranku, Hashry angkat kepala. Ketika itulah mata kami bertembung. Bibirnya menyebut sebaris kata yang aku yakin ialah namaku. Serentak itu, perempuan di hadapannya turut menoleh ke belakang. Terlepas tali beg dari pegangan. Hati yang retak serasanya sudah pecah berderai. Aku nampak Hashry bangun dari sofa meninggalkan Intan namun aku lebih pantas merentap beg di lantai dan beredar.
•
LAMPU putih menusuk retina apabila aku celik. Kepalaku rasa berpusing. Tak tahu kenapa rasa pening sangat. Badan pula menggigil kesejukan. Tapak kakiku terasa membeku. Selimut yang menutupi separuh badan ditarik sampai ke leher. Namun rasa sejuk tidak juga hilang. Aku mahu bangun dari katil tetapi jasad hilang kudrat. Terlalu longlai tidak bermaya.
"Qayla? You okay?" suara itu bertanya prihatin apabila aku melirih halus.
"Dato'? What are you doing here Dato'?" Dato' Malik ialah seorang klien yang pernah berurusan denganku tahun lepas.
"You pengsan depan kereta I, tak ingat?" aku diam setelah itu. Tiada tenaga untuk mengingat apa-apa.
Melihat aku yang menggigil, Dato' Malik mendapatkan selimut ekstra daripada pihak hospital sebelum menyelimutkan seluruh tubuhku. Sejurus itu, aku rasa lebih hangat. Mata yang layu dibiarkan tutup. Buat masa ini aku mahu berehat seketika. Pedulilah jika Dato' Malik menemaniku atau terus balik. Tahu, dia sebenarnya berminat denganku cuma aku saja yang tidak layan sebab dia memang kaki perempuan.
Namun setakat maklumat yang aku dapat, Dato' Malik keluar dengan perempuan hanya dijadikan peneman semata-mata. Tidak lebih daripada itu. Jadi aku yakin dia tidak akan mengapa-apakan aku. Lebih-lebih lagi dalam keadaan aku sedang lemah begini.
Lelaki berumur lewat empat puluhan itu menggumam sesuatu yang tidak jelas. Rasanya dia bertanya soalan tetapi aku terlalu mengantuk. Akhirnya aku terlelap.
Pada saat aku terjaga dua jam setelah itu, Dato' Malik masih lagi di sini. Berehat di sofa yang tersedia sementara menunggu aku bangun. Dia membelikan aku makanan dan baju hangat yang baru. Tidak pula aku banyak bunyi.
Beberapa kali dia cuba untuk berbual tetapi aku membisu. Betul-betul tiada mood. Aku tak pasti dia melayaniku sebagai apa. Perempuan bujang atau ibarat anak sendiri atau atas dasar perikemanusiaan semata-mata.
"Tolong ambil phone I." Dato' Malik terus capai peranti milikku yang terletak di atas kabinet kecil beberapa meter jauh dari sisi katil.
104 missed calls from Hashry Sayang ❤️
10 missed calls fom Khai
3 missed calls from Zain
5 missed calls from Abah
2 missed calls from Secretary Hidayah
Serta merta bibirku menghembus keluhan letih. Belum lagi mesej yang beratus tak terbaca. Kepala yang tadinya sudah sedikit lega terus kembali serabut.
Telefon berdering tiba-tiba.
"Helo cik Qayla? Cik Qayla dah baca artikel yang saya send?" Khai bertanya.
"Belum."
"Pasal Intan." Aku terus menekan punat hold pada panggilannya dan terus membaca kiriman dari Khai. Beberapa tangkapan skrin dihantar.
Gambar Intan di sebuah kelab malam. Akaun Instagram seorang influencer media sosial. Artikel yang ditulis di satu laman web. Kemudian aku lihat pula video rakaman skrin. Seterusnya gambar yang dimuat naik di akaun Instagram influencer tadi. Beberapa komen ditinggalkan oleh para pengguna.
"Dah viral?" soalku apabila talian bersambung semula.
"Dah cik Qayla. Dan.. cik Qayla tahu tak pasal video cik Qayla yang viral jugak?"
Apa lagi kali ini? Video apa pula yang tular sekarang? Aku terus mematikan talian dan membuka aplikasi Twitter. Ruangan sohor ditekan. Gila. Tanda pagar namaku dan Inn Tech berada di tangga paling atas. Apabila namaku ditekan, video bersama Joe di dalam kereta dua tahun lalu memenuhi garis masa. Video Intan di kelab malam juga tidak terkecuali. Jika Hidayah dan abah menghubungiku bermaksud perkara ini sudah sampai ke pengetahuan mereka.
"You nak pergi mana ni?" Dato' Malik bertanya apabila aku mula berkemas.
"Balik."
"Tapi you sakit Qayla. I tahu you tengah viral sekarang. Just stay low and rest."
"I nak balik. Simply means I don't need your consent. Text me the payment receipt, I transfer hospital fees." Tangan aku ditahan ketika turun dari katil. Dato' Malik menghulurkan baju hangat yang dibelinya tadi kepadaku.
"Take it as a gift. You menggigil." Aku sambut dan terus pakai ke tubuh.
"Thanks."
YOU ARE READING
QAYLA II
Teen FictionSetiap hari aku cipta andaian palsu dalam imaginasiku sendiri. Berharap bahawa semua ini hanya sebuah mainan tidur yang akan berakhir pada saat aku terjaga. Namun, ini adalah nyata dan realiti. Perkahwinan papa dan mama yang telah menemui penghujung...