"They said I changed a lot. I said a lot changed me."SEBULAN berlalu sejak perjumpaannya bersama King , sebulan juga masa diambil Safira untuk berfikir tentang arah tuju hubungan mereka.
Safira sudah berjumpa dengan keluarganya untuk membincangkan isu mengenai dirinya dan King. Nyatanya semua ahli keluarganya bersetuju untuk menjadikan King salah seorang ahli keluarga mereka.
Dengan harapan Safira kembali ke pangkal jalan. Kembali ke landasan asalnya. Safira mengerti maksud keluarganya , mereka cuma mahukan yang terbaik buat dirinya.
Bukan mudah untuk menerima gadis sepertinya. Atau dalam kata lain , bukan mudah untuk seorang lelaki sesempurna King menerima gadis yang banyak kekurangan sepertinya.
Dia bukan lagi gadis yang bernafsu pada lelaki. Maaf , jangan salah anggap. Safira cuma mempunyai rasa pada Ray. Kalau bersama Airis , jujur dia tidak mempunyai rasa buat Airis. Dia hanya sayangkan Airis sebagai seorang teman. Sukar untuk menerangkan perasaannya , tapi itu lah hakikatnya. Itu yang dirasakan Safira. Dia cuma mempunyai perasaan dan rasa buat Ray.
Bukannya keluarga Safira sebelum ini tidak pernah menasihatinya , malah sebelum ini Safira hampir melarikan diri kerana acap kali didesak keluarganya untuk memutuskan hubungannya bersama Ray. Namun ibu Safira lah yang mempertahankan Safira , enggan membiarkan Safira melarikan diri. Hubungannya bersama ahli keluarganya yang lain juga kini berubah sedikit keruh.
Imbasan masa lalu buat mata Safira berkaca. Berdosanya dia.. terutama pada ibunya. Safira tahu dia banyak melukai hati dan perasaan ibunya. Imbasan masa lalu kembali menerjah kotak fikiran Safira , masih jelas dalam ingatan bagaimana reaksi ibunya sebaik mengetahui dia menjalinkan hubungan dengan kaum sejenis , wanita itu sempat memukul Safira. Wajar saja , kan? Ibu mana yang tidak kecewa jika anak yang dikandungnya mempunyai nafsu songsang?
"Aku haramkan susu badan aku yang aku pernah beri pada kau dulu kalau kau masih jalinkan hubungan dengan pengkid tu!"
Safira pejam mata rapat sebaik bicara itu kembali terngiang dalam kotak fikirannya. Ya.. semarah itu ibunya tika itu.
Marah dan kecewa.
Namun bila yang lain ingin membuang Safira , ibunya yang datang mempertahankannya. Ibunya yang meminta Safira untuk mengasingkan diri buat sementara waktu. Niat ibunya hanya untuk meredakan amarah ahli keluarganya yang lain. Marah dan kecewa , namun tidak untuk membuang Safira. Busuk busuk Safira tetap anak kandungnya.
Ahli keluarganya yang lain juga jelas tidak boleh menerima perubahan dalam diri Safira. Wajar saja , dia sudah memalukan keluarganya! Apa lagi topik tentang dirinya sering menjadi bualan sanak saudaranya. Pasti saja mereka yang lain berasa malu.
Safira merupakan anak bongsu dalam keluarganya. Dia mempunyai seorang abang dan seorang kakak. Hampir semua adik beradiknya tidak dapat menerima perubahannya. Ayahnya pula cukup kecewa dengan Safira. Tidak heran ayahnya kecewa. Safira merupakan anak emas ayahnya. Anak manja si ayah yang dibesarkan penuh kasih sayang. Ditatang bagai minyak yang penuh. Dilimpahkan dengan kasih .. tapi perubahan Safira nyatanya buat lelaki berusia itu cukup terkilan. Wajar saja Safira juga dipukulnya.
Siapa saja yang tidak kecewa?
Detik haru itu buat Safira tersenyum kecil. Bukan mudah untuk menjalani hidup. Terlalu banyak liku liku kehidupan yang dia sendiri tidak sanggup untuk mengharunginya.