Saya nak kongsi apa yang saya dapat bila masuk halaqah. Seperti biasa, akan saya kongsikan ayat yang kami ahli halaqah tadabbur.
Iaitu surah Al-Baqarah ayat 152.
"Maka ingatlah kepada-Ku, niscaya Aku ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingat kepada-Ku."
Ada syarah mengenai ayat ini yang disampaikan Ustaz Haji Roslan bin Mohamed.
Allah janji kepada kita. Maka ingatlah kepada-Ku maka aku akan mengingatimu.
Ulama' yang terkenal Ibn Rajab Al-Hanbali menyatakan 1 kalimah yang ringkas, tetapi padat dengan makna yang tersirat.
Kata Ibnu Rajab Al-Hanbali :
Allah tidak pernah berkehendakkan pada hamba-Nya dalam apa situasi dan keadaan.
Allah tidak pernah berhajat kepada kita. Walaupun sejenak, sedetik dan sesaat. Walau apa pun yang kita miliki dalam hidup ini. Dan Allah Maha Kaya, Maha sempurna tanpa sebarang kekurangan.
Tetapi hakikat nya kata Ibnu Rajab Al-hanbali,
Kita yang amat memerlukan Allah walaupun sesaat apatah lagi dalam tempoh sepanjang hidup. Sesaat pun kita berharap dan bergantung kepada Allah.
Jadi kalau begitu keadaannya, kata Ibnu Rajab al-hanbali. Maka tidaklah logik dalam hidup beragama ini apabila ada di kalangan manusia yang boleh lalai dan lupa untuk mengingati Allah Taala. Kelalaian adalah musibah, kealpaan adalah jenayah kepada Allah. Maka, mengingati Allah adalah satu kepastian dan kemestian.
Daripada tadabbur yang saya kongsi tadi, kita fahamlah kan. Kita hidup beragama, sebagai manusia yang beragama Islam. Lebih lagi bila ada dalam kalangan kita yang hidup dalam suasana agama, sekolah agama, keluarga yang beragama.
Mustahil lah, kata Ibnu Rajab Al-Hanbali tadi tak logik kalau kita tak ingat kepada Allah. Sebab kita hidup dalam suasana yang beragama ini untuk mengingati dan mentauhidkan Allah.
Dan kata-kata Ibnu Rajab Al-Hanbali tadi, kita amat memerlukan Allah.
Dan itulah hakikatnya, kerana Allah berfirman dalam surah Fatir ayat 15.
"Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah; dan Allah, Dialah Yang Mahakaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji."
Jadi, kita kenalah tingkatkan ibadah atau amalan harian kita untuk mengingati Allah.
Kalau boleh jangan tinggal amalan harian kita.Contohnya solat tahajud, selawat sehari 1000 kali, istighfar, zikir, membaca Al-Ma'thurat dan sebagainya.
Itulah antara amanah dariada Allah kepada kita untuk mengingati Allah.
Sama juga seperti amanah yang lain. Contohnya, amanah kita sebagai seorang pelajar atau penuntut ilmu. Bila cikgu panggil nama kita, kita menyahut. Masuk kelas awal, walaupun hanya pdpr atau dalam erti kata lain belajar dari rumah.
Masa halaqah haritu, kak naqibah saya ada buat kuiz berkenaan cerita yang ada dalam surah
Al-Kahfi.Rasanya kita semua tahu dalam surah Al-Kahfi menceritakan tentang apa kan?
Antaranya kisah ashabul kahfi iaitu pemuda-pemuda bersama seekor anjing, kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir serta tentang Zulkarnain dan yakjuj makjuj.
Okay, yang nak diceritakan di sini ialah mengenai Ashabul Kahfi tadi.
Yang kita sedia maklum kisah tentang pemuda-pemuda bersama seekor anjing yang mana mereka 'ditidurkan' oleh Allah selama 309 tahun.
Dan kak naqibah saya cerita, mereka ini bukan pemuda yang biasa-biasa. Mereka adalah pemuda yang beriman kepada Allah dan berasal daripada golongan bangsawan. Mereka juga pemuda-pemuda yang dipilih oleh Allah untuk menyelamatkan iman mereka daripada seorang raja yang zalim.
Mesti tertanyakan, kenapa mereka lari bersembunyi di dalam gua?
Kerana ada seorang raja yang zalim pada ketika itu akan menyeksa apabila ada dikalangan mereka yang beriman kepada Allah.
Allah 'menidurkan' pemuda-pemuda ashabul kahfi ini selama 309 tahun. Bila kita tengok, dalam keadaan pemuda-pemuda ini terdesak. Mereka melarikan diri dan Allah menolong mereka daripada seorang raja yang zalim dan kejam.
Dan Allah angkat darjat mereka disisi-Nya.
Kak Naqibah bertanya kepada kami,
Cukup ke iman kita hari ini bila kita ada dalam situasi yang sama macam pemuda ashabul kahfi tadi?
Kita adalah pemuda dan mereka (ashabul kahfi) juga adalah pemuda.
Cuma bezanya, pemuda zaman sekarang. Kita agak susah nak jumpa seperti mereka lagi-lagi kita di akhir zaman ini. Memanglah kita banyak aje pendakwah muda, macam dekat instagram, tiktok dan sebagainya. Dan para influencer, ustaz dan ustazah yang menyampaikan dakwah. Tapi zaman sekarang kita sendiri pun dah tak dapat tengok dimana pemuda-pemuda yang beriman, yang menegakkan agama Allah.
Tak mungkin, kita dipilih oleh Allah seperti pemuda-pemuda ashabul kahfi tadi. Dan itulah apa yang disampaikan oleh kakak naqibah saya semalam. Bila kita tengok kisah ashabul kahfi, kita dah boleh nampak kekuasaan Allah di situ. Merentasi masa selama 309 tahun jika nak dibandingkan dengan kisah marvel merentasi masa yang sekadar rekaan.
Dan dalam surah Muhammad ayat 7, Allah berfirman.
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu".
Jadi, kita sebagai pemuda-pemuda Islam mestilah tahu. Tujuan kita hidup di bumi Allah ini adalah menjadi khalifah dan menolong agama Allah.
Allah berjanji. Bila kita tolong agama Allah, Allah akan tolong kita. Dan setiap perkara yang kita lakukan, nak bantu agama Allah, itu semua bermula daripada diri kita sendiri.
Sama juga macam kita nak keputusan yang cemerlang. Itu semua bermula daripada diri kita sendiri dan bukan hanya kata-kata yang keluar dari mulut kita.
Contohnya, "Aku nak result cemerlang 8A." Tetapi sebarang tindakan pun kita tak buat. Tak study tapi nak result elok. Sebab itulah semuanya bermula daripada diri kita sendiri dan bukan daripada orang lain.
Yang paling penting, kita kena sentiasa tajdid (perbaharui) niat kita belajar kerana Allah dan untuk bantu agama Allah. Ikhlas, bukan belajar semata-mata nakkan habuan dan ganjaran dunia.
Apa yang kita lakukan sekarang, itulah yang akan kita pratikkan dalam kehidupan seharian kita.
Last but not least, buatlah setiap perkara hanya kerana Allah. InsyaAllah, setiap perkara yang kita lakukan akan ditulis pahala. Bila kita buat sesuatu kerana Allah, nescaya kita takkan kecewa dan mengharapkan balasan daripada makhluk.
Sekian. Itu sahaja daripada saya. Maaf andai ada salah dan silap juga kekurangan dalam menyampaikan perkongsian ini. Yang baik datang dari Allah. Yang buruk datang dari diri saya sendiri. Semoga bermanfaat!