BAB 7: Aairul

94 10 2
                                    

"Papa dah buat keputusan. Kita akan hantar mama kamu ke pusat pemulihan. Ini yang terbaik untuk kita terutamanya kamu, nak."

Aku menggeleng kepala tidak bersetuju. Hantar ke pusat pemulihan? Untuk apa? Mama tak gila.

"Aairul tak setuju." Aku membantah. Takkan ada sesiapa yang boleh sakitkan mama lagi.

"Aairul...kamu tak nampak lagi? Buka mata kamu Aairul. Mama kamu sakit. Dia perlukan bantuan. Dekat sana akan ada orang yang boleh jaga dia." Encik Faizul cuba memujuk.

"Kenapa nak perlukan orang lain kalau kita sendiri boleh nak jaga dia? Aairul sendiri boleh jaga dia." Aku membidas kata papa.

"Papa tahu kamu sayangkan mama kamu sangat-sangat. Sebab itu papa buat keputusan ini. Mama kamu akan sembuh kalau kamu bagi kerjasama dengan papa. Ingat Aairul, orang yang kamu panggil mama juga isteri papa. Suami mana yang tak sayangkan isteri?"

"Bagi Aairul masa, papa. Aairul taknak hilang mama...Aairul boleh terima kalau mama sakitkan Aairul...Tapi Aairul takkan boleh terima kalau ada orang lain yang berani untuk sakitkan mama lagi,"kataku seraya mengangkat punggung. Ingin beredar meninggalkan Encik Faizul.

"Sampai bila kamu nak jadi macam ni Aairul? Sampai bila kamu nak butakan mata kamu?"

"Sampai mama boleh terima Aairul sebagai anak dia. Aairul yakin, suatu hari nanti mama akan terima Aairul." Aku pejam mata. Kata-kata itu aku anggap sebagai pujukan di hati. Aku mengempal buku lima.

Encik Faizul menghela nafas berat. Dia turut berdiri kemudian bahuku ditepuk perlahan.

"Selama papa berkahwin dengan mama kamu, papa layan semua anak papa sama rata. Papa tak pernah berat sebelah dalam memberi kasih sayang. Walaupun Aairul bukan anak papa...papa tetap terima dan anggap Aairul sebagai sebahagian daripada darah daging papa. Papa harap Aairul dapat terima keputusan papa demi kebaikan kita." Suara Encik Faizul mengendur. Dia senyum nipis.

"Pa...Aairul sayangkan mama sangat-sangat," kataku lalu kepala ditundukkan.

"Papa tahu."

"Hina sangatkah anak luar nikah, pa?"

Tiada sebarang jawapan daripada Encik Faizul.




























"MAMA..." Aku cuba menyentuh bahu wanita yang sedang duduk memeluk lutut.

Wanita itu tidak memberikan sebarang respon. Kedengaran suaranya menyanyikan sebuah lagu. Sebuah lagu kanak-kanak yang biasa didengari.

"Twinkle... twinkle little star...How I wonder... what you are..." Suara mama kedengaran sedikit pecah.

Dari pandangan belakang, keadaan mama nampak sedikit tidak terurus. Rambut panjangnya tidak diikat. Dibiarkan mengurai. Mama duduk menghadap balkoni.

Aku pegun berdiri. Tangan yang ingin menyentuh mama, ditarik semula.

Mama hanyut berada di dalam dunianya sendiri.

"Up above the world so high...Like a diamond... in the sky..."

"Twinkle twinkle little star... mama... missing you my little boy..."

Serentak itu air mata mama jatuh. Mama menangis teresak-esak. Pun begitu, dia masih lagi menyambung nyanyiannya.

"Twinkle... twinkle little star...How I wonder what you are..."

Aku berundur setapak ke belakang. Aku cuba mengawal emosi yang semakin menguasai diri.

"Mama...jom makan," kataku dengan sekali lagi cuba ingin menyentuh bahunya.

Puan Rossa angkat kepala. Dia memandangku lalu tersenyum.

Aku turut sama tersenyum namun tak lama kemudian satu tamparan hinggap di pipi kiriku.

Lagi sekali wajahku menjadi tempat untuk melempias amarah wanita ini.

Aku tidak berganjak sedikitpun. Bibirku masih lagi kekal tersenyum. Mungkin papa yang salah melihat selama ini. Mungkin aku yang gila sebenarnya.

"Jangan. Sentuh. Aku. Dasar. Anak. Haram." Mama berundur dan menjauh dariku.

Anak haram.

Kau anak haram Aairul. Anak yang hasil daripada hubungan sulit mama kau dan teman lelakinya.

Setelah mama disahkan mengandung, teman lelaki mama terus menghilangkan diri tanpa sebarang khabar. Mama hilang tempat tujuan. Keluarga mama buang mama. Mereka enggan menerima mama kerana bagi mereka mama telah merosakkan maruah keluarga.

Mama hidup tidak ubah seperti anjing kurap di tepi jalanan sehinggalah pada suatu hari Allah hadirkan papa sebagai penyelamat dalam hidup mama. Mama menikah dengan papa setelah melahirkan aku.

Tapi malangnya, kelahiran aku adalah sumpahan bagi dirinya.

Dia jijik untuk menyusukan aku.

Dia jijik untuk memanggilku sebagai anak kandungnya.

Anak haram.

Anak sampah.

Anak sumpahan.

"Jangan macam ni, ma...Aairul dah masakkan makanan untuk mama. Kita makan sama-sama jom?" Aku masih lagi cuba memujuk. Perlahan aku menghampiri mama.

Mama menggeleng kemudian dia ketawa.

"Kau pekak atau kau ni memang bodoh?! Tak faham bahasa?!" Suara mama mulai meninggi.

Aku telan air liur. Terasa kesat di kerongkong.

"Kita makan sama-sama jom? Pembantu rumah kata mama dari semalam tak makan lagi. Nanti mama jatuh sakit," kataku perlahan.

"BAGUSLAH KALAU AKU SAKIT. CEPAT SIKIT AKU NAK MATI KAN? BUKAN ITUKAH YANG KAU NAKKAN SELAMA INI? LEPAS AKU MATI, AKU TAKKAN HADAP LAGI TENGOK MUKA KAU KAT DALAM RUMAH NI!"

"TENGOK MUKA KAU PUN DAH CUKUP BUAT AKU SAKIT!"

"BERAMBUS!"

Tubuhku ditolak kasar sehingga ke luar pintu.

"BERAMBUS DARI HIDUP AKU DAN PERGI MAMPUS!" Jerit mama sekuat hati. Pintu bilik dihempas dengan kasar.

Aku jatuh melutut di hadapan pintu bilik mama.

HIKAYAT TAK BERNAMA [COMPLETED✓]Where stories live. Discover now