BAB 14: Nuha

77 10 3
                                    

Aku terjaga apabila mendengar bunyi sesuatu yang mengganggu lenaku.

Perlahan aku membuka mata. Di sebelahku terdapat sebuah monitor dan beberapa wayar berada di badanku. Hospital? Setahu aku, kali terakhir aku ingat...aku berada di dalam bilik tidurku.

Kepalaku kembali berdenyut. Aku mendesis kesakitan. Badanku terasa lemah. Drip di tangan aku pandang lama. Terasa sakit sedikit.

"Kau dah sedar?" soal suara yang baru sahaja keluar daripada bilik air. Perlahan dia mendekati aku.

Aku pandang dia. Nak bersuara tetapi tekakku terasa perit. Akhirnya aku memilih untuk berdiam diri sahaja. Sekali lagi aku mendesis kesakitan di kepala.

"Sekejap aku panggilkan doktor." Aairul terus beredar keluar. Tidak lama kemudian, dia datang bersama dengan beberapa orang lengkap berpakaian putih. Salah seorang daripadanya memakai tag nama Dr. Alex.

"Macam mana keadaan awak, cik Nuha? Masih rasa sakit lagi?" soal Dr. Alex.

Aku angguk. Bibirku terasa kering.

"Awak tahu yang awak dah berapa hari tak sedarkan diri?" soalnya lagi.

Aku kerut dahi. Berapa hari? Bukan baru tadi ke aku pengsan? Kenapa berhari pulak?

"Mak...sud...dok...tor?' suaraku tersekat-sekat. Anak tekak terasa perit.

Tanpa dipinta, Aairul terus menyuakan air mineral kepadaku. Aku tidak menolak. Dia juga turut membantuku untuk minum.

"Awak dah tak sedarkan diri selama hampir seminggu, cik Nuha."

Aku tergamam. Aku pandang Aairul minta penjelasan tapi Aairul hanya menundukkan kepalanya.

Takkan sakit kepala terus hampir seminggu tak sedarkan diri?

"Berapa lama dah awak sakit kepala?" Dr. Alex kembali menyoal.

Aku berfikir sejenak. Berapa lama eh? Apa yang aku tahu, aku selalu sakit kepala sejak hujung tahun lepas lagi.

"Sejak tahun lepas lagi. Tapi, saya selalu ambil ubat tahan sakit dekat farmasi. Lepas makan, biasanya sakit dia akan hilang," ujarku dengan pasti.

Aku gigit bawah bibir. Terasa kurang enak akan keadaan ini lagi-lagi apabila melihat wajah sugul dan tak bermaya Aairul disebelah.

"Ubat tahan sakit di farmasi tu hanya akan melegakan sedikit rasa sakit awak. Tapi bukan sepenuhnya. Apa yang saya ketahui melalui ibu awak, ubat yang awak ambil tu sudah tidak menunjukkan keberkesanannya lagi. Itu bermakna, ubat itu sudah tidak sesuai lagi untuk awak, cik Nuha." Dr. Alex mengalihkan pandangan ke arah Aairul.

Dia menghela nafas perlahan.

"Menurut hasil pemeriksaan kami, kami mendapati ada darah beku di kepala awak dan awak juga disahkan menghidap barah otak tahap 2."

Allahuakhbar.

Allahuakhbar.

Aku pejam mata. Kain selimut aku genggam kuat. Mencari kekuatan. Hilang. Semuanya hilang. Bumi terasa berhenti berputar.

"Mulai sekarang awak akan dipantau oleh pihak kami. Buat masa sekarang awak kena berehat dahulu. Keadaan awak akan kami pantau dari semasa ke semasa. Saya harap cik Nuha boleh bersabar. Pihak kami akan buat yang terbaik untuk merawat awak."

Air mataku jatuh membasahi pipi. Aku kesat dengan hujung jari. Semakin dikesat semakin laju air mataku mengalir. Mengalir dengan deras seperti limpahan hujan di luar bangunan hospital ini.

Cuaca bumi seakan-akan memahami cuaca hati.






























"NUHA makan sedikit ya sayang..." Mak sudah bersedia untuk menyuapku.

Aku geleng kepala.

"Jangan macam ni Nuha...Nuha kena makan sikit. Nanti badan Nuha lemah, sayang," pujuk mak. Suara mak sedikit serak. Seperti baru habis menangis.

"Mak pergi mana tadi? Kenapa mak takda dekat sini tadi?" soalku. Sejurus sedar tadi, orang pertama yang ingin aku lihat adalah mak. Tetapi hampa, lain yang dicari lain pula yang muncul.

"Mak pergi dekat surau sayang. Sebabtu mak suruh Aairul temankan Nuha sekejap dekat sini. Nasib baik Aairul ada masa Nuha pengsan. Kalau Aairul takda, mak tak tahu nak buat apa..." suara mak mengendur.

Aku tatap wajah mak. Mata mak berkaca. Bibirnya cuba untuk mengukirkan sebuah senyuman untukku.

"Nuha dah nak mati mak..." Aku tersenyum. Perit.

Mak terus meletakkan bekas makanan di atas meja. Tubuhku dipeluk erat. Ubun-ubun aku dicium lembut. Tanganku terasa basah. Air mata mak jatuh terkena tanganku. Aku tenggelam di dalam pelukan mak.

Mak menangis teresak-esak sambil memelukku. Aku hanya mampu tersenyum di dalam pelukkannya. Patutkah aku menangis? Patutkah aku meratapi nasib?

Kalau aku mati, siapa nak jaga mak nanti?

"Mak...jangan macam ni mak." Aku tepuk lembut belakang mak. Cuba untuk menenangkan hati tua wanita ini meskipun hati aku juga hancur seperti dilanda badai.

"Anak mak takkan tinggalkan mak. Nuha akan sembuh. Nuha kena percayakan tu. Anak mak kuat. Nuha yang mak kenal orang kuat," kata mak bersungguh-sungguh dalam esakannya.

"Kuat macam mana mak? Nuha tak kuat mak..." bibirku bergetar. Mak melepaskan pelukan. Kedua-dua belah bahuku dipegang.

"Anak mak kuat," ulang mak sekali lagi.

Air mata mak dikesat oleh aku dengan kedua-dua ibu jari. Aku senyum nipis.

Aku pandang anak mata mak.

"Anak mak tak kuat...Nuha... takut mak."

HIKAYAT TAK BERNAMA [COMPLETED✓]Where stories live. Discover now