DUA kotak berisi pakaian yang masih belum berkemas dibiarkan saja tersadai di tepi pintu bilik. Badan yang mula terasa penat direbahkan atas katil dalam keadaan terlentang. Nafas lelah dilepaskan.
Sedari pagi hingga ke petang Syaqila hanya berkurung dalam sebuah kondominium baru yang dihuninya sejak malam tadi. Kondominium yang bakal menjadi penempatan barunya di Malaysia sejak dia pulang dari Canada dua hari lepas. Tak banyak barang yang dibawa dari Canada atau barang hak miliknya yang memang ditinggalkan di sebuah stor sebelum dia merantau ke negara orang.
Tapi memandangkan rumah ini sudah lama dibiar tak berpenghuni, seluruh pelosok rumah terpaksa dikemas dan cuci terlebih dahulu. Sesampainya dia ke rumah ini pagi tadi, terus aktiviti pembersihan dijalankan, tak sanggup dia hendak duduk dalam keadaan rumah penuh bersawang dan habuk.
Boleh saja dia upah pembantu atau agensi menawarkan servis cuci rumah untuk buat kerja-kerja pembersihan, tapi memikirkan dia perlu hidup berjimat-cermat dengan wang simpanan yang semakin susut, terpaksalah dia batalkan saja niat itu. Cukup bersyukur dia tak perlu fikir soal sewa rumah atau cari rumah kos murah sebaik saja pulang ke Malaysia sementelah mak su, adik kepada arwah mama menawarkan dia untuk tinggal di situ.
Kalau tidak tentu buat masa ini dia masih lagi berkeliaran sekitar Kuala Lumpur untuk mencari tempat tinggal bersesuaian dengan jumlah bajet yang sudah diketepikan dari awal. Sudahlah rata-rata rumah sewa di KL harganya boleh buat dia pening kepala memikirkan soal kewangan, kalau hendak yang murah pula selalunya tempatnya mesti tak dijaga dan tak punya sekuriti yang baik. Pilihan lain, dia boleh dapatkan dengan harga murah dengan syarat menyewa bilik dengan penyewa lain.
Syaqila akui dia bukan sejenis yang peramah dan pandai bergaul dengan orang baru jadi pilihan terakhir memang awal-awal dia sudah pangkah. Bernasib baik sangat mak sunya sangat prihatin dan tidak lokek memberi padahal sudah banyak Syaqila menerima sejak dia hidup menumpang di negara asing.
Tiga tahun di negara orang, Syaqila tidak sia-siakan setiap peluang dan kesempatan yang ada. Sambil sambung belajar demi mendapatkan sekeping sijil professional, dia juga bekerja separuh masa di sebuah supermarket dan juga pejabat urusan. Boleh lah buat 'bekalan' untuk dia mohon kerja di sini pula.
Kalau ikutkan perasaan, memang dia tak mahu jejak semula ke tanah air. Masih ada sisa luka dan parut yang masih belum berjaya dihapuskan. Namun pujukan mak su berjaya buatkan hatinya jadi lembut. Sememangnya kata-kata wanita itu ada benarnya, sampai bila pun dia memilih untuk lari dari berhadapan dengan kebenaran, luka yang ada akan terus kembali berdarah selagi tak dirawat dengan betul. Malah sampai bila dia hendak memendam rasa terhadap Dato' Syazwan yang entah macam mana keadaannya sekarang ini.
Keluhan panjang dilepaskan. Benar lah kata-kata orang tua dulu, hidup ini penuh dengan cabaran. Kalau tidak tempuh cabaran, bagaimana hendak tahu sejauh mana kemampuan diri sendiri dalam mengharungi liku-liku kehidupan?
Keadaan diluar beransur gelap menggambarkan tidak lama lagi malam bakal menjengah. Tubuhnya menggeliat, meregangkan urat saraf yang terasa lenguh. Bila dah dapat baring ni, baru terasa sengal-sengal tubuhnya akibat menyental lantai dan cermin hingga berkilat. Baru terasa jet lag yang sedari tadi tidak dihiraukan. Mulut yang menguap ditutup dengan belakang tapak tangan.
Mata memandang jauh ke luar cermin yang terpampang jelas bangunan bandaraya Kuala Lumpur yang penuh dengan bangunan pencakar tinggi. Lama matanya memusat pandangan ke arah itu sebelum matanya terasa kian kabur dan berat. Tanpa sedar dia dibawa lena panjang yang sungguh mendamaikan. Terasa selamat bila dapat pulang ke 'rumah' dan tidak lagi menumpang di tempat orang.

YOU ARE READING
Cinta Si Dia ✔️
RomanceSyaqila Adra. Ini kisah Syaqila Adra yang tak pernah merasakan dirinya salah. Segala pendapat manusia disekelilingnya perlu dilenturkan agar sebaris dan senada dengan buah fikirannya. Menyerah kalah dan mengaku kalah bukanlah dirinya. Selagi dirinya...