Nafas ditahan lama sebelum dilepaskan dengan perlahan. Namun wangian cologne dari empunya badan itu sudah dia kenali sejak tiga bulan yang lepas tetap saja berjaya menusuk ke hidung. Menyusup jauh sehingga ke rongga anak jantung. Jemari yang bergetar cuba dikawal agar gelas yang masih berisi separuh air itu tidak tumpah saat dipegang.
Anak matanya tajam merenung kek tiramisu yang masih belum disentuh di atas meja. Terasa amat sukar untuk dia memberi perhatian kepada kek itu, malah ianya hampir mustahil buat dirinya kerana lelaki itu masih berdiri di kaunter kafe sambil dilayan oleh pekerja di situ. Sekali lagi dia menarik nafas. Berharap agar mindanya akan menjadi lebih segar dengan pengambilan udara yang lebih. Namun usahanya itu hanya membuatkan dia semakin gabra. Wangian lelaki itu menyerang dirinya semula, kali ini bagaikan menyentap segala sel-sel otak yang tersisa.
Dia tidak berani untuk melirik ke arah lelaki itu. Meskipun jarak antara mereka agak jauh, dia bimbang sekiranya lelaki itu akan melihatnya saat dia mengangkat kepala dari menunduk merenung kek tiramisu sedari tadi.
Hatinya mendengus sendiri. Geram dan kecewa dengan pendiriannya yang pemalu dan pendiam walaupun umurnya sudah mencecah 26 tahun. Kalau lah dia berani, walaupun keberanian itu sebesar zarah sekalipun mungkin dia akan ada peluang untuk mendekati lelaki itu dan mengakui apa yang terbuku di dalam hatinya selama tiga bulan yang lalu.
Dalam tempoh hampir 4 bulan dia sudah beberapa kali bersua muka dengan lelaki itu. Pertama kali apabila dia datang ke gym di kawasan berdekatan dengan apartmentnya untuk mengambil kawannya pulang dari situ. Sangkaannya si kawan akan menunggu keseorangan seperti biasa namun tidak pada malam itu. Dua orang lelaki menemaninya di luar gym. Mereka bertiga bersembang sakan sehingga kehadirannya langsung tidak disedari.
Dan sejak daripada hari itu, setiap kali dia datang untuk menjemput kawannya dari gym pasti kedua lelaki tersebut akan bersama dengannya. Bila ditanya, kawannya hanya menjawab niat kedua lelaki itu hanya untuk memastikan dia tidak keseorangan menunggu di malam hari. Kerana itu juga lah mereka bertiga menjadi gym buddies.
Awalnya dia tidak mengambil kisah akan permulaan persahabatan yang baru buat kawannya itu. Namun lama kelamaan dia perasan setiap kali dia datang ke gym itu, salah seorang dari lelaki tersebut akan merenung ke arahnya dari jauh. Namun mereka tidak pernah berborak. Cukup dia memberi salam dan mengangguk sebagai tanda terima kasih kerana mereka sudi menemani kawannya. Sehingga lah pada satu malam, tiga bulan yang lepas...
Seperti biasa tepat jam 9 malam dia datang untuk mengambil kawannya dari gym. Dan seperti biasa juga wanita sebayanya itu ditemani kedua lelaki tersebut. Salam bertukar salam, dia menyangka itulah pengakhiran malam mereka.
"Elle ne parle jamais, n'est-ce pas?"
Suara lelaki itu membuatkan dia berpaling semula dengan mata yang berkedip. Apabila mata mereka bertembung, dia merasakan itulah kali pertama dia benar benar melihat wajah si dia. Dia tidak faham apa yang dikatakan lelaki itu namun entah kenapa dia yakin dirinya yang disebut.
Dan entah kenapa sejak dari malam itu, dia asyik teringatkan lelaki itu. Malam berganti malam, pertemuan mereka di luar bangunan gym itu yang dulunya hanya bertukar salam kini sering kali ditambah dengan komen lelaki itu. Yang peliknya lelaki itu tidak pernah pula bercakap secara telus pada dirinya, hanya apabila dia berlalu pergi dengan kawannya untuk masuk ke kereta. Namun diujar sedikit kuat, cukup untuk dia mendengarnya saat dia berjalan meninggalkan kedua lelaki tersebut.
Dia sendiri tidak tahu bila dan kenapa dia boleh mempunyai rasa suka terhadap lelaki yang dia masih kurang kenali itu. Mungkin sebab dia tak pernah mendapat perhatian dari mana mana lelaki sebelum ini membuatkan dia jadi teruja apabila lelaki itu tiba tiba pula asyik melirik dan melepaskan komen ke atas dirinya, meskipun hanya dari jauh. Ataupun, mungkin dia sebenarnya sudah terkena jampi oleh lelaki itu sehingga membuatkan dia jatuh suka?
Nauzubillah min zalik, getus hatinya. Memarahi dirinya sendiri kerana beranggapan sehingga begitu sekali. Itulah akibatnya bila sudah suka dengan seseorang tanpa pengetahuan dia sendiri. Habis segala teori menjajah fikiran.
Dengan keluhan yang berat mengenangkan dirinya yang asyik berperang dengan perasaan sendiri, dia menyedut air dengan straw. Kalau nak fikir, sampai sepuluh episod pun takkan dapat jawapannya. Lebih baik dia senyapkan minda sahaja. Seperti mana dia menyukai lelaki itu dalam diam selama ini.
Tanpa disedari, Kazi Elle Qausar yang duduk sendirian di meja hujung kafe itu diperhatikan oleh si jejaka. Cermin mata ditolak di batang hidungnya yang mancung, sepasang anak mata gelapnya melirik ke arah wanita pendiam itu. Senyuman penuh misteri meleret di bibir Saint Mishal Al-Niyaz.
YOU ARE READING
SAINT : Vous Me Possédez
Romance"Kahwin dengan I, Kazi." "Tapi kita tak pernah dating. Kenal pun tak sampai setahun. Awak sanggup ambil risiko untuk saya?" Kazi Elle Qausar jatuh cinta dan memendamnya beberapa bulan tanpa pengetahuan si jejaka sebab dia manusia yang malu. Lagipun...