"KAMI minta maaf, ya. Tapi anak kami masih belum ready untuk berumah tangga."
Perbualan umi dengan seseorang melalui telefon itu Tas dengar dalam diam. Raut wajahnya jelas bersalah tapi nak buat macam mana? Hati dia memang tak berkenan. Buat solat sunat istikharah sudah, cuba buka hati pun sudah.
Tap.
"Dah, umi dah bagitahu pihak sana," kata umi sambil telefon diletak di atas meja makan. Tas yang duduk bertentangan dipandang.
"Kawan umi cakap apa?" Soal Tas.
Umi tersenyum. "Dia cakap, tak apa. Dia faham."
Lega Tas mendengarnya. Risau juga kalau-kalau penolakannya tu buat hubungan antara umi dengan bekas kawan sepejabatnya itu renggang.
"Kak ngah jangan fikir banyak, ya? Orang sana faham kalau kita menolak. Lagipun kak ngah masih muda, baru je habis belajar minggu lepas. Kalau kak ngah dah umur 30, 40 pun, umi tak paksa untuk kak ngah kahwin. Sebab umi tahu nak pilih suami ni bukan macam pilih baju dekat kedai."
Tas tersenyum manis. Bersyukur dia dikurniakan ibu bapa yang sangat memahami. "Terima kasih, umi sayang."
Umi tersenyum lembut. Senyuman yang persis dengan senyuman Tas sendiri.
"Umi naik dululah, nak solat. Kak ngah dah solat belum?" Tanya umi sambil bangun dari kerusi.
"Dah, sebelum kak ngah turun tadi."
Umi angguk. "Kalau macam tu umi naik dulu."
"Okey, umi."
Kelibat umi yang menghilang di sebalik tangga dipandang dengan senyuman sebelum senyuman itu perlahan-lahan memudar.
Telefon umi di atas meja makan itu dilihat.
Lima kali.
Dalam masa setahun saja, lima kali dia dirisik dan dipinang orang, dan lima kali juga dia menolak.
Kata umi, mungkin sebab dalam tempoh setahun tu dia akan habis belajar dan pulang ke Malaysia. Dalam lima orang itu, tiga orang adalah anak kepada kenalan umi dan abi. Seorang jiran lama mereka dan seorang lagi bekas senior dia semasa belajar di Al-Azhar.
Tas mengeluh.
Lima kali dia tolak pinangan orang, apalah kata orang ya? Macam menolak jodoh.
Bukan Tas tak tahu, ramai saudara dia yang memerlinya sebagai gadis cerewet gara-gara hal ini. Kata mereka, dia tak pandai bersyukur. Ada orang mahukan dia, tapi dia menolak. Ada juga yang menuduhnya memilih lelaki-lelaki berharta. Padahal semua itu salah. Kalau betul dia memilih harta, pasti sudah lama dia dah berkahwin. Sebab orang pertama yang merisiknya dulu merupakan ahli perniagaan yang kaya-raya.
Paling buat dia terkilan, ada yang bertindak sejauh mendoakannya menjadi anak dara tua dan tak akan berkahwin.
Kalau dia tak berkahwin sampai bila-bila pun, salahkah? Jodoh itu rezeki, bukan semua orang akan merasainya. Yang kahwin pun, ada saja yang tak bahagia dan akhirnya berakhir dengan penceraian. Tas tak naklah gadaikan masa depan dan kebahagiaannya semata-mata untuk puaskan hati orang lain. Yang nak bersama sehidup semati dengan bakal suaminya itu dia juga. Bukan orang-orang yang mengata tu.
Jujur, Tas tak kisah sangat pun orang lain nak cakap apa. Tapi serba sedikit dia sedih sebab umi dan abi juga turut terkena tempias. Bukan sengaja dia mahu menolak mereka, tapi hatinya yang tak mahu. Walaupun dia tak pernah jatuh cinta apatah lagi suka pada sesiapa, tapi tetap hatinya kosong tak dapat ditawani.
.
"YA, umi. Kak ngah baru sampai ni." Dengan telefon di telinga, Tas tolak masuk troli ke dalam pasaraya itu. Pagi hujung minggu macam ni, memang tak ramai orang datang membeli barang. Mungkin sedap qada' tidur lepas seminggu bekerja.
"Sos tiram dengan kangkung? Okey, nanti kak ngah beli."
Telefon disimpan di dalam beg tangan lalu troli ditolak ke bahagian sos. Botol sos tiram dari pelbagai jenama dilihat sebelum satu botol dari jenama kesukaan umi diambil dan dimasukkan ke dalam troli. Lepas itu, dia sambung pula cari-cari barang lain. Hari ni dia plan nak buat spageti dan lasagna guna resipi baru. Biasalah orang baru habis belajar dan tengah menganggur, apa je yang boleh dibuat dekat rumah selain menghabiskan barang dapur umi. Hehe.
"Excuse me."
Automatik, Tas merapat ke rak di tepi. Orang yang menegurnya itu tidak dilihat. Dari hujung mata yang samar-samar, dia tahu orang itu seorang lelaki.
"Warda?"
Laju Tas mengangkat kepala. Warda...
Panggilan itu, cuma seorang saja yang pernah memanggilnya dengan nama itu.
Seraut wajah yang menyambut pandangan matanya dipandang dengan kerutan di dahi.
"Warda, kan?" Tanya orang itu lagi.
Perlahan-lahan Tas mengangguk.
Perlahan-lahan bibir merah itu menarik senyuman lebar. Tas pula terkedu melihat senyuman itu. Jantungnya terasa berhenti berdegup, bibirnya terasa kering dan mulutnya terlopong kecil.
"Finally," kata orang itu lagi. Tas yang masih diam terpaku dipandangnya tunak dengan senyuman lebar dan menawan. Orang-orang yang melihat ke arahnya tidak dipedulikan. Matanya cuma nampak gadis itu saja sekarang.
"S-Seif..." Perlahan nama itu terbit dari bibir Tas. Liur ditelan lalu dia alih pandangan ke sisi. Dalam hati beristighfar beberapa kali. Kenapa dengan dia ni?
Seif meneliti wajah itu. Cantik, bisik hatinya.
Tas nampak semakin dewasa dan cantik berbanding dulu.
"Er..."
"Patutlah semua orang dia tolak. Rupanya dah ada pakwe. Ingatkan baik sangat, rupa-rupanya sama je dengan orang lain. Dating tempat orang ramai, ingat elok ke?"
Suara yang tiba-tiba datang dari tepi mengejutkan mereka berdua. Tas kalih ke sisi melihat seorang wanita sebaya umi yang sedang memilih sayur di rak tepi. Tas kenal wanita itu. Jiran mereka, yang juga merupakan salah seorang ahli keluarga lelaki yang pernah meminangnya dulu.
Walaupun wanita itu sedang membelakangi mereka, tapi Tas tahu yang kata-kata itu ditujukan kepadanya.
Tas menelan liur. Wajahnya bertukar mendung.
"Apa maksud mak cik tu?" Tanya Seif ingin tahu. Dia dengar apa mak cik tu cakap tadi. Dia cakap dengan diorang ke?
Tas menggeleng. Jelingan mak cik tu buat dia rasa tak selesa dan mahu beredar. "Saya pergi dulu."
"Eh, kejap Warda," halang Seif. Sebelah lengan didepa di hadapan Tas. Dari jauh nampak seperti mereka bersentuhan walaupun tidak.
"Ha, eloklah tu bermaksiat depan orang. Kalau tempat terbuka pun boleh sentuh-sentuh, apatah lagi tempat tertutup. Entah apa yang dibuatnya."
Matanya Tas pejam rapat. Dia rasa... terhina.
Apatah lagi melihat pandangan serong pelanggan-pelanggan lain ke arah mereka. Dari percakapan mak cik itu, dia seperti perempuan murah yang mudah membenarkan lelaki menyentuhnya.
Wajah Seif pula berubah tegang mendengar kata-kata mak cik itu. Walaupun dia tak faham apa yang jadi, tapi dia tak bodoh untuk mengerti perlian itu.
"Mak cik-"
"Seif, dah. Saya nak balik." Bergetar suara Tas menghalang Seif dari bersuara. Dia kenal Seif sejak zaman sekolah walaupun mereka tak rapat dan dah lama tak jumpa. Lelaki itu memang suka bergurau tapi bila marah, mulutnya tak boleh ditapis.
"Tapi Warda..." Seif pandang Tas yang berjalan laju ke arah kaunter. Keluhan dilepaskan sebelum dia pandang balik ke arah mak cik tadi.
"Mak cik tolong jangan fitnah orang sesuka hati, ya? Ingat sikit yang fitnah tu dosa dia lagi berat dari membunuh," selar Seif senada. Selepas itu, dia berjalan ke arah Tas yang berada di kaunter.
Gadis sebaik-baik Warda dikatakan perempuan murah? Panas pula hatinya.
YOU ARE READING
IZEVE: The Future of Us
RomansTo. Readers, This is EVERISA special sequel for you! ♡ The adult life of Hawa, and the people who are the most important to her. What will happen after she finishes school? What will happen to Maya and the others? And the most important thing is...