SELEPAS pertemuan mereka di pasaraya tempoh hari, Tas tak lagi berjumpa dengan Seif. Lepas dia bayar barang hari tu, Seif tolong angkatkan barangnya ke kereta sebelum mereka berpisah ke haluan masing-masing.
Tapi Tas tak kisah, sebab mereka pun bukannya rapat. Sekadar kenalan masa sekolah. Lagi-lagi Seif tu mesti dah sibuk bekerja. Yalah, dari cerita Maya, Seif habiskan pengajiannya awal setahun jadi dia dah lama mula bekerja.
Tas sendiri sibuk dengan mencari kerja dan urusan temuduga. Walaupun belum sampai sebulan dia habis belajar, tapi rasa bosan pula nak duduk lama-lama dekat rumah. Tapi dia tak nak lah kerja jauh-jauh. Jadi dia cuma minta kerja dekat tempat berdekatan saja.
Ting! Tong!
Terangkat kepala Tas apabila loceng rumah berbunyi. Tudung sarung di atas sofa diambil dan disarung cepat apabila nampak umi yang membuka pintu rumah. Bukan sebab dia malas nak bangun eh, tapi memang tadi umi tengah susun pasu tepi pintu tu.
"Ya, ini rumah Tasneem."
Berkerut kening Tas mendengar namanya disebut. Kepala dijengul untuk melihat siapa yang datang tapi tak nampak sebab dia tengah bersila dekat depan televisyen.
Sayup-sayup dengar suara orang berbual. Dari bunyi suara yang bertukar-tukar macam ramai yang datang.
Bila nampak umi mula jemput tetamu-tetamu mereka itu masuk, Tas terus bangun.
Laptop ditutup dan kertas-kertas yang bertaburan atas meja kopi disusun lalu dimasukkan ke dalam fail. Lepas tu, dia berjalan ke arah dapur dengan membawa barang-barang itu untuk membancuh minuman.
Sambil membancuh minuman, Tas berfikir dalam kepala. Siapalah tetamu umi ni? Seingatnya umi tak ada pula cakap ada kawan-kawan dia nak datang.
Hm...
"Kak ngah."
"Ya, umi?" Tas berpaling. Berkerut keningnya bila tengok umi yang datang dengan sepasang baju kurung dan sehelai selendang yang siap digosok. Rasanya tu baju yang dia gosok untuk interview esok. Dah kenapa pula umi bawa turun ke dapur ni?
"Kenapa umi?"
Umi tarik tangan Tas dan dipegang. "Kak ngah pergi tukar baju dekat bilik belakang. Lepas tu, pergi ruang tamu, ya?"
"Kenapa, umi?" Makin pelik Tas dibuatnya. Tapi tangan tetap menyambut hanger yang bersangkut baju dan shawl.
Umi senyum manis. "Ada orang datang meminang."
Membulat besar mata Tas. Lagi sekali?!
.
USAI menukar pakaian, Tas berjalan keluar dari dapur dengan menatang dulang berisi minuman dan kuih. Liur ditelan apabila gemuruh semakin terasa. Walaupun bukan kali pertama dia menerima kunjungan sebegini, tapi mustahil untuk dia biasakan diri.
Mata tertunduk memandang lantai sambil berjalan. Bunyi orang berbual-bual semakin perlahan apabila mereka sedar akan kehadirannya.
"Oh, ini ke Tasneem?"
Tas angkat kepala. Seorang wanita sebaya umi yang sangat cantik dan sofistikated sedang tersenyum memandangnya. Tas pula tersenyum segan.
"Ya, inilah Tasneem. Anak kedua kami," jawab abi.
"Oh, cantik sungguh orangnya. Patutlah anak saya berkenan sangat."
Bergema tawa para tetamu dan ibu bapanya.
Tas pula diam menuangkan minuman dan menghidang kepada semua orang. Pipinya terasa panas, segan bila jadi topik perbualan orang.
Siap menghidang, Tas duduk di tepi umi yang menariknya. Barulah dia dapat melihat semua orang yang datang. Selain wanita tadi, ada seorang lelaki yang mungkin suami kepada wanita itu dan dua orang wanita yang kelihatan lebih muda daripada mereka.
YOU ARE READING
IZEVE: The Future of Us
Storie d'amoreTo. Readers, This is EVERISA special sequel for you! ♡ The adult life of Hawa, and the people who are the most important to her. What will happen after she finishes school? What will happen to Maya and the others? And the most important thing is...