PAKAIAN Ayyan dilipat kemas dan dimasukkan ke dalam bagasi. Ayyan memerhatikan tindak-tanduk Zafirah dengan hairan. Kepala ditelengkan ketika memandang si ibu.
"Kenapa ibu kemas pakaian Ayyan? Ibu nak buang ke?" soal Ayyan, polos.
Zafirah menghentikan perbuatannya lalu mendekati Ayyan dan melabuhkan duduk di samping anaknya yang sedang berada dalam posisi baring.
"Ayyan... lepas ini Ayyan kena tinggal di istana." Zafirah teragak-agak untuk memberitahu hal itu. Ayyan berkerut dahi dan mula memuncungkan bibir sebelum menggeleng laju.
"Tak nak. Ayyan tak sukalah. Nanti siapa yang nak jaga Ayyan. Lepas itu, Ayyan mesti bosan sebab ibu dengan ayah tak ada," jelas Ayyan.
"Tapi kalau Ayyan duduk dekat istana, Ayyan dapat jumpa ayahanda dan bonda Ayyan. Tak nak?" Zafirah mengusap kekura tangan kanan Ayyan.
"Nak... tapi Ayyan takut." Ayyan melekapkan kepala pada lengan Zafirah.
"Jangan takut. Ibu dengan ayah akan datang selalu untuk jaga Ayyan. Ayyan mesti akan lebih selesa bila tinggal dekat sana. Ada bilik besar, katil besar, dapat main dekat taman yang luas, macam-macam lagilah," kata Zafirah.
"Betul?" tanya Ayyan untuk kepastian.
"Betul, sayang..." balas Zafirah, lembut.
Zafirah menghadiahkan senyuman kepada Ayyan lalu berjalan ke arah almari itu untuk kembali mengemas pakaian si anak.
"Janji dengan Ayyan dulu yang ibu dengan ayah akan jaga Ayyan," sambung Ayyan, lagi.
"Baiklah, ibu janji." Zafirah mengangkat tangan kanan seperti sedang berikrar. Setelah mendengar hal itu, Ayyan tersenyum lebar dan berasa lega.
- - -
TUBUH Ayyan dibaringkan di atas katil. Zubair mengelus rambut lebat si kecil itu bersama senyuman manis kendatipun hatinya diselubungi rasa sebak yang teramat setelah mendengar kata-kata Sultan Ahmad kepada ketua pengawal istana.
"Serahkan kunci bilik yang paling hujung itu kepada Zubair. Dia ada urusan di situ."
Disangkakan Ayyan akan ditempatkan di bilik yang sepatutnya seorang putera tidur, rupanya sang sultan itu meletakkan anakandanya di dalam sebuah bilik yang dulunya merupakan stor.
Zafirah dia lihat sedang menyusun pakaian Ayyan ke dalam almari. Isterinya juga terkejut apabila dikhabarkan tentang perkara itu. Sekarang Zafirah dipimpin rasa bersalah yang teramat terhadap Ayyan kerana dia seolah-olah telah memberi harapan palsu kepada si kecil itu.
Mata Ayyan melilau-lilau melihat suasana bilik itu. Dia cuba untuk mengadaptasi dan menyesuaikan diri di situ walaupun dia agak janggal.
Bilik itu kelihatan suram dan gelap.
Mana tidaknya, bilik itu sudahlah terletak di kawasan terpencil, malahan pernah dijadikan stor penyimpanan.
"Ayyan takutlah, ayah." Dia mengadu kepada Zubair tentang perasaannya ketika itu.
"Insya-Allah, tiada apa yang akan berlaku. Usah terlalu takut ya. Anak ayah bukankah seorang yang berani? Kenapa tiba-tiba jadi penakut ini? Nak kena cubit pipi itu dengan ayah?" Sengaja Zubair mengugut.
"Tak nak!" jawab Ayyan sambil menggeleng laju. Zubair tergelak kecil melihat telatah Ayyan.
Setelah lebih setengah jam berada di dalam bilik itu, Zubair dan Zafirah ingin pulang ke rumah. Senyuman dan tawa di bibir Ayyan mulai pudar.
"Ibu dengan ayah kena balik rumah. Kami tak boleh tinggal dengan Ayyan di sini sebab itu peraturan dalam istana. Jadi, ayah harap Ayyan baik-baik saja ya? Kalau ada masalah, panggil saja pengawal yang ada dekat luar itu. Kalau takut, banyakkan bertasbih kepada Allah, jelas?" Pesanan itu dititipkan supaya kegelisahan di hati Ayyan dapat dikurangkan sedikit.
Ayyan mengangguk perlahan. Dia cuba mengawal rasa sedih dengan menayangkan senyuman nipis kepada kedua ibu dan ayahnya.
"Ibu dengan ayah balik dulu tau. Assalamualaikum," ucap Zafirah pula.
"Waalaikumussalam..." jawab Ayyan sambil menghantar pemergian kedua pasangan itu melalui ekor mata.
Saat pintu bilik itu ditutup, cecair jernih yang hangat mula turun membasahi pipi tembam Ayyan. Anak kecil berusia empat tahun itu tewas dengan tangisannya sendiri.
"Ayyan... t-tak nak tinggal dekat s-sini..." Tersekat-sekat suara Ayyan ketika bertutur.
Dia menggosok-gosok mata untuk menghapuskan air mata dan menghilangkan rasa gatal pada kelopak mata. Pandangan ditalakan pada kedua belah kakinya yang separas lutut itu.
"Kenapa Allah ciptakan Ayyan tak ada kaki?" soal anak itu kepada diri sendiri. Air mata kekal mengalir tanpa ada sebarang tanda-tanda untuk berhenti.
"Ibu kata Ayyan akan jumpa ayahanda dan bonda, tapi tak ada pun. Ayahanda dengan bonda tak nak jumpa Ayyan ke?" Semakin lama berada di dalam bilik itu, semakin banyak persoalan muncul di langit minda Ayyan.
Dia masih terlalu kecil untuk tinggal bersendirian seperti itu. Dia sememangnya mahu bertemu dan bermesra dengan ayahanda dan bondanya, tetapi dalam masa yang sama dia tidak mahu berpisah dengan ibu dan ayahnya.
Anak kecil itu menukar posisi kepada baring mengiring. Dia membaca doa sebelum tidur seperti mana yang diajarkan oleh Zubair, lalu membiarkan diri itu hanyut di lautan mimpi.
YOU ARE READING
PUTERA YANG TERSINGKIR [C]
Художественная проза﷽ - SYUHADAH 8th story "Kenapa Ayyan dilahirkan cacat, ibu? Allah tak sayangkan Ayyan ke?" Soalan itulah yang bermain dibibir Ayyan setiap kali Zafirah, ibu susuannya, memasuki bilik suram itu. Tengku Muhammad Ayyan Uwais. Gelarannya sebagai putera...