PYT | BAB 11

110 10 6
                                    

ZUBAIR menyelimutkan tubuh kecil Ayyan. Anak itu sudahpun lena diulit mimpi setelah beberapa kali dipujuk oleh Zubair untuk berhenti menangis. Ubun-ubun kepala Ayyan diusap lembut.

"Ayyan... tak suka... jadi... cacat..."

Kata-kata yang sememangnya diulang-ulang oleh Ayyan setiap hari itu terpapar di layar minda Zubair. Cuma kali ini, ayat itu diujarkan bersama tangisan lebat.

Disebabkan jam sudah menunjukkan pukul 9.15 malam, Zubair hendak beransur pulang ke rumah. Dia bangkit dari tilam dan berjalan ke arah pintu bilik. Tangan kanannya mencapai dan menutup suis lampu. Setelah itu, dia keluar dari bilik itu dan hanya membiarkan pengawal mengunci pintu tersebut.

"Lagi tiga minggu adik lahir? Wah, Ayyan tak sabarlah ayah!"

Senyuman kecil hinggap pada bibir Zubair ketika suara comel Ayyan terngiang-ngiang di telinganya. Zubair melangkah keluar dari pintu pagar istana dan terus menuju ke rumah.

- - -

TEPAT pada jam 5.36 petang, lahirnya anak sulung kepada Zubair dan Zafirah. Tangisan bayi kecil yang masih merah itu memenuhi ruang atmosfera wad bersalin. Zubair sempat bersujud syukur untuk menzahirkan kegembiraan yang dirasai ketika itu.

Maklumlah, mereka sudah lama berkahwin, tetapi tidak dikurniakan zuriat. Setiap kali selepas menunaikan solat, tidak pernah sekalipun mereka lupa untuk berdoa memohon Allah mengurniakan zuriat. Dan akhirnya Allah memakbulkan doa mereka.

Setelah melaungkan azan dan iqamat pada telinga anak sulungnya, Zubair duduk di sisi isterinya. Wajah Zafirah yang berpeluh-peluh dan amat kepenatan itu ditatap lama sambil dia mencium kekura tangan kanan si isteri dengan lemah-lembut.

"Alhamdulillah, abang. Allah makbulkan juga doa kita." Zafirah tersenyum manis melihat suaminya.

"Alhamdulillah..." Hanya itu yang dapat dibalas oleh Zubair. Dia masih kehilangan kata-kata. Mata hijau zamrudnya tetap merenung si isteri bersama senyuman tanpa lepas.

"Sayang rehatlah dulu. Biar abang temankan. Kasihan sayang... kepenatan." Selimut ditarik sedikit untuk menutupi sebahagian tubuh Zafirah daripada terdedah kepada kesejukan.

Zafirah mengangguk sedikit. Kelopak matanya mula terkatup rapat sebelum dia tertidur lena. Zubair pula menongkat dagu dan terus merenung ke arah Zafirah.

- - -

SEPANJANG tempoh Zafirah berpantang, hanya Zubair yang datang untuk menemani Ayyan dan menghantar makanan buat anak itu. Ayyan merindui Zafirah, tetapi dia sedar bahawa dia cuma anak angkat dan tidak patut mempertikaikan apa-apa serta tidak patut meminta-minta untuk Zafirah menemaninya.

Ayyan duduk di tepi jendela sambil bibir merahnya menyebut zikir-zikir pendek sebagai medium ketenangan jiwa. Tasbih yang dihadiahkan oleh Zubair itulah yang digunakan ketika bibir terkumat-kamit berzikir secara berbisik.

Sesekali dia memandang ke arah Zubair yang tertidur di atas katilnya. Senyuman kecil terlukis pada wajah Ayyan.

Dia tahu lelaki itu amat kepenatan setelah seharian menjalankan tugas sebagai pembantu peribadi sultan dan juga sebagai seorang ayah serta suami. Jadi dia biarkan saja insan bergelar ayah itu tidur.

Ayyan kembali menghadap ke arah langit biru yang terbentang luas tanpa sebarang tiang sebagai penyokongnya.

"Kalau Ayyan tak lahir di dunia ini, mesti ayah dengan ibu tak perlu bersusah-payah jaga Ayyan. Ayahanda dan bonda pun mesti lebih bahagia bersama anak-anak yang lain." Ayyan mengomel sendirian.

Ketika itu, Zubair sudah terjaga dari tidur. Mata digosok-gosok perlahan kerana agak pedih setelah cahaya menorobos masuk ke dalamnya.

"Untung adik Nadeem dapat ibu dengan ayah yang sangat baik dan sayangkan adik. Tak macam Ayyan, ayahanda dan bonda Ayyan sendiri buang dan arahkan orang lain untuk jaga Ayyan," ujar Ayyan perlahan, namun cukup untuk didengari oleh Zubair.

Zubair sedikit terkesan dengan ayat yang dituturkan oleh Ayyan. Dengan perlahan, dia mendekati Ayyan dan memeluk anak itu dari tepi. Kucupan lembut dihadiahkan pada pipi merah Ayyan.

"Selagi ayah ada, selagi Allah izinkan, ayah akan terus jaga dan sayang Ayyan macam anak ayah sendiri. Ayyan jangan selalu sangat cakap perkara yang boleh merendahkan keyakinan diri itu. Ayyan... anggap saja ayah dengan ibu ini sebahagian daripada keluarga Ayyan juga. Kami sayang Ayyan sangat-sangat. Janji dengan ayah, jangan sedih-sedih lagi, boleh?" soal Zubair.

Ayyan mengangguk lalu menjawab, "Boleh, ayah. Ayyan janji."

"Alhamdulillah..." ucap Zubair.

"Ayah... Ayyan ada satu permintaan." Ayyan mendongakkan kepala sedikit dan memandang tulus ke arah Zubair. Kening sebelah kanan Zubair ternaik sedikit.

"Apa permintaannya?" soal Zubair.

"Ayyan tahu, Ayyan cuma anak angkat ayah dengan ibu. Lepas itu, ayah dengan ibu pun dah ada adik Nadeem. Ayyan cuma harap, ayah dengan ibu tak akan tinggalkan Ayyan. Ayyan cuma ada Allah, ayah dengan ibu saja. Ayyan takut semuanya akan tinggalkan Ayyan..." Anak itu menunduk ke bawah, menekur lantai.

Zubair menggeleng kepala perlahan lalu berkata, "Ayyan, macam ayah cakap tadi, selagi Allah izinkan, ayah akan terus jaga dan sayangi Ayyan. Ayah yakin, ibu pun akan cakap perkara yang sama. Cuma, ayah nak Ayyan jangan berhenti berdoa supaya Allah lembutkan hati tuanku sultan dan permaisuri untuk terima Ayyan. Ya?"

Ayyan mengangguk dan tersenyum manis.
Zubair pula mengelap sisa air mata yang mengalir ke pipi Ayyan dengan penuh kasih.

- - -

Saya tahu bab ini membosankan. Gomennasai ~

PUTERA YANG TERSINGKIR [C]Where stories live. Discover now