PYT | BAB 5

104 11 4
                                    

TANGAN kecil Ayyan mencapai pemegang kerusi rodanya. Belum sempat dia bangkit untuk duduk di atas kerusi roda, pintu biliknya dibuka dan dia disapa dengan ucapan salam yang kedengaran ceria. Dia menghentikan perbuatan lalu mengekalkan posisi duduk di atas katil.

Salam dijawab bersama senyuman lebar hingga ke telinga. Zafirah pula menutup pintu dan berjalan mendekati Ayyan.

"Anak ibu ini nak pergi mana?" Huluran salam daripada Ayyan disambut sebelum dia mencubit hidung mancung si anak.

"Nak mandi," jawab Ayyan. Zafirah membulatkan mata dan menatap serius ke arah Ayyan.

"Mesti budak comel ini baru bangun, kan? Ish, ish, ish..." Gelengan kecil dihadiahkan kepada Ayyan yang tersengih-sengih itu. Giginya yang putih bersih dan tersusun cantik itu menyapa pandangan Zafirah.

"Terlajak tidur..." balas Ayyan. Dia menggaru pelipis meskipun tidak gatal.

"Dahlah, jom ibu hantar Ayyan ke bilik air. Lepas Ayyan mandi, ibu teman Ayyan sarapan," kata Zafirah.

"Ibu dah sarapan? Satu lagi, ibu masak apa?" Dua soalan itu ditujukan dengan wajah yang bersinar-sinar.

"Ibu dah sarapan dengan ayah tadi. Ibu masak mihun sup. Ayyan suka kan?" Ayyan mengangguk laju. Semestinya dia suka kerana hidangan itu dimasak oleh Zafirah.

"Dah, dah. Mandi dulu. Busuk dah anak ibu ini," usik Zafirah. Ayyan mencebik bibir seketika. Zafirah tergelak kecil kemudiannya mendukung tubuh Ayyan ke bilik mandi dan mendudukkan anak itu di atas kerusi yang sememangnya tersedia di situ.

"Ayyan mandi dulu. Biar ibu ambilkan baju Ayyan. Nanti kalau dah siap, beritahu ya?" beritahu Zafirah.

"Baik, ibu!" sahut Ayyan.

- - -

PERMAISURI Nur Azalea duduk berhadapan dengan suaminya. Sultan Ahmad pula hairan kerana si isteri itu tidak lepas memandangnya.

"Kenapa dinda menatap wajah kanda seperti itu? Ada apa-apa yang tidak kenakah pada wajah kanda?" Sultan Ahmad bertanya kepada isterinya.

"Dinda masih tidak bersetuju dengan keputusan kanda membiarkan budak itu tinggal di sini. Kanda sepatutnya biarkan saja dia tinggal bersama Zubair dan Zafirah," jelas Permaisuri Azalea.

"Bukan apa dinda, kanda buat keputusan itu kerana bimbang rakyat akan berkata buruk tentang kerabat kita. Dinda usahlah risau, kanda akan pastikan kewujudan budak itu tidak diketahui oleh rakyat. Hanya beberapa orang kakitangan istana saja yang akan mengetahui tentangnya," balas Sultan Ahmad.

Melihat wajah isterinya yang tetap tidak berpuas hati, Sultan Ahmad tersenyum kecil.

"Dinda tak perlu memikirkan hal itu. Biar kanda saja yang menguruskan segalanya," kata sultan muda itu.

"Baiklah, kanda. Dinda tidak akan bercakap soal ini lagi." Permaisuri turut membalas senyuman Sultan Ahmad.

"Kanda ingin bertanya sesuatu kepada dinda. Harapnya dinda jawab dengan jujur ya? Benarkah dinda sedang hamil?" Pertanyaan itu membuatkan Permaisuri Azalea menyimpulkan senyuman penuh makna.

Tidak mahu suaminya menunggu lama, Permaisuri Azalea menyengguk kecil. Sultan Ahmad turut menzahirkan air muka kegembiraan.

"Jika bayi itu seorang lelaki, bolehlah dia menjadi putera mahkota kanda. Jika dia seorang perempuan, bolehlah dia menjadi puteri yang kanda akan manjakan," nyata Sultan Ahmad.

"Sabar kanda... Kelak kita akan tahu juga. Insya-Allah," jawab Permaisuri Azalea.

- - -

AYYAN duduk bermenung sambil menalakan pandangan ke luar jendela. Unggas-unggas yang berterbangan di udara menjadi tatapan Ayyan. Bibir merah anak itu melengkung membentuk sebuah senyuman manis.

Dia juga terpegun melihat awan-awan putih yang berarak di bumantara. Mentari yang bercahaya terik itu sedikit menyilaukan mata Ayyan semasa menatapnya.

"Seronoknya dapat terbang," omel Ayyan. Tangan kanannya memeluk bantal kecil dengan erat.

Angin sepoi-sepoi bahasa menghembus wajah sucinya. Matanya memandang pula ke arah taman mini istana yang berhampiran biliknya.

Bunga-bunga pelbagai warna memekar wangi di sekeliling kolam ikan yang berdekatan pondok wakaf kecil pada taman itu.

"Cantiknya... Ayyan nak pergi situ." Dia masih bercakap pada diri sendiri.

Dia sejujurnya berasa bosan kerana tinggal bersendirian di bilik itu tanpa teman. Sebelum ini, dia akan meluangkan masa bersama Zubair dan Zafirah setiap kali kedua pasangan itu pulang dari istana.

Kini, dia perlu mencari cara untuk menghiburkan diri sendiri ketika berada di dalam bilik tersebut.

Mulutnya yang ternganga luas ketika menguap lantas ditekup. Ayyan setelah itu menutup tingkap bilik dan melepaskan langsir yang terikat itu sebelum membawa diri ke arah katil.

Dia dengan berhati-hati bangkit dari kerusi roda dan duduk di atas katil. Ayyan yang dilanda rasa kantuk yang teramat itu akhirnya terlena.

PUTERA YANG TERSINGKIR [C]Where stories live. Discover now