PYT | EPILOG

115 15 29
                                    

BERSAMA air mata dan hati yang berat, Zubair melangkah ke arah Sultan Ahmad. Dia menunduk hormat terlebih dahulu dan kemudian mengangkat muka menatap Sultan Ahmad yang pelik dengan ekpresi mukanya.

"Tuanku... tuan putera... telah mangkat." Berita itu mengundang kerutan pada dahi Sultan Ahmad.

"Jadi? Tuan hamba hendak suruh beta buat apa? Dukung jenazahnya dan hantar ke kubur? Begitu?" soal sang sultan tanpa rasa bersalah.

"Siapa yang mangkat, tuan penasihat?" Kemunculan Tengku Hassan secara tiba-tiba menyentakkan Zubair. Tetapi ada baiknya dia berkata benar tentang kehilangan Ayyan.

"Kaka-"

"Zubair! Jangan berani tuan hamba menyebut nama itu di hadapan anakanda beta!" larang Sultan Ahmad.

"Patik tidak mampu menyimpan rahsia ini lagi, tuanku. Tuan putera, yang mangkat itu ialah kakanda tuan putera, Tengku Muhammad Ayyan Uwais." Seusai Zubair berkata jujur, membulat mata Tengku Hassan. Sultan Ahmad pula memandang tajam ke arahnya.

"Kakanda beta? Mustahil! Beta cuma ada ayunda, bukan kakanda." Tengku Hassan tidak mudah percaya dengan pengakuan tersebut.

"Tuan putera boleh pergi lihat sendiri kakanda tuan putera yang sedang tidur untuk selamanya di bilik larangan itu." Pada mulanya Tengku Hassan hendak membantah lagi, namun saat terdengar perkataan 'bilik larangan', dia langsung berjalan pantas ke arah itu.

Melihat situasi itu, Sultan Ahmad menarik kolar baju Zubair dengan kasar.

"Tuan hamba telah merosakkan majlis pertabalan putera beta!" Baru sahaja hendak menolak Zubair ke belakang, laungan Tengku Adeeba menghentikannya.

"Ayahanda tipu anakanda..." Solekan nipis pada wajah putih susu Tengku Adeeba hilang apabila air mata membasahi pipinya.

"Anakanda, jangan berkata seperti itu kepada ayahanda." Arahan daripada Permaisuri Azalea tidak diendahkan. Tengku Adeeba juga mengikuti langkah adindanya ke bilik Ayyan.

Selimut yang menutupi seluruh tubuh Ayyan dibuka bagi menampakkan wajah kakandanya oleh Tengku Hassan.

"Kakanda..." Tengku Hassan meluahkan tangisannya di situ juga sambil memeluk Ayyan.

"Mengapa kakanda diperlakukan sebegini rupa oleh ayahanda dan bonda? Adinda sepatutnya tidak perlu ambil peduli larangan ayahanda tentang bilik ini." Tengku Adeeba pula menggenggam tangan kanan Ayyan yang sudah sejuk itu.

Sementara itu, Zubair masih bertentang mata dengan Sultan Ahmad. Zubair yang terkenal dengan ketenangan itu sekarang sedang berperang dengan perasaan sedih dan geram dalam masa yang sama.

Jikalau di hadapannya itu bukan seorang sultan, sudah lama dia meluahkan kemarahan yang ditahan lama. Tetapi dia sedar kedudukannya hanya sebagai penasihat dan pembantu peribadi sultan, tidak lebih daripada itu.

Nafas dihembuskan bersama zikir pendek.

"Tuanku, almarhum tuan putera kirimkan salam kepada tuanku dan tuanku permaisuri. Katanya, baginda juga ingin memeluk tubuh tuanku dan tuanku permaisuri buat kali terakhir, namun tidak kesampaian hasratnya itu," ujar Zubair.

Sultan Ahmad dan Permaisuri Azalea terdiam seketika.

"Beruntung sungguh tuanku dan tuanku permaisuri dikurniakan putera seperti almarhum. Baginda tidak pernah lupa untuk mendoakan kesejahteraan ayahanda dan bondanya setiap kali selepas solat. Sehingga sebelum menghembuskan nafas terakhir juga, baginda telah memaafkan segala kekhilafan tuanku dan tuanku permaisuri. Tapi malangnya, baginda tidak pernah sekalipun diberi kasih sayang dan perhatian daripada tuanku dan tuanku permaisuri..." Zubair menahan mutiara jernihnya daripada tumpah.

Zafirah pula hanya berdiri di belakang Permaisuri Azalea dan berdiam di situ. Dia faham apa yang dirasai suaminya ketika menjelaskan segala perkara kepada kedua pasangan pemerintah Kerajaan Cendana itu.

Sultan Ahmad menundukkan pandangan daripada menatap mata berkaca Zubair. Dia mulai tersedar segala kesalahannya terhadap putera sulungnya sendiri. Begitu juga dengan Permaisuri Azalea. Wanita itu mengelap air mata yang jatuh ke pipi.

"B-Beta... ingin mohon maaf, Zubair. Semuanya berpunca daripada beta sendiri." Sultan Ahmad menggenggam kerisnya yang tersisip pada pinggang.

"Ampunkan patik, tuanku. Patik tidak layak untuk menerima permohonan maaf itu, tuanku. Patik hanya insan biasa..." Zubair meletakkan tangan kanan di dada dan membongkokkan badan tanda hormat.

Beberapa minit setelah itu, Sultan Ahmad mengarahkan pengawal untuk membawa jenazah Ayyan ke Masjid Besar Cendana untuk diuruskan. Baginda dan para kerabat diraja juga berangkat ke masjid itu.

Pembaca utusan juga menyampaikan berita tentang kemangkatan Ayyan kepada rakyat dan kesemua mereka terkejut. Maklumlah, kelahiran Ayyan dirahsiakan oleh Sultan Ahmad dan Permaisuri Azalea, kerana itu mereka tidak tahu.

Petang Jumaat yang sepatutnya berlangsungnya majlis pertabalan Tengku Muhammad Hassan Uwais sebagai putera mahkota bertukar kepada hari yang membawa kedukaan kepada seluruh warga Kerajaan Cendana meski mereka tidak mengenali almarhum putera sulung kerajaan itu.

Semasa mengafankan jenazah Ayyan, Sultan Ahmad tidak dapat menahan tangisannya. Dahulu, dia dan isterinya tidak dapat menerima kelahiran anak sulung yang tidak sempurna itu. Kini, dia sendiri yang menguruskan jenazah putera itu dengan penuh penyesalan dan duka.

Usai mengafankan jenazah, baginda mencium dahi Ayyan - lama. Permaisuri Azalea, Tengku Adeeba dan Tengku Hassan juga berbuat sama. Masing-masing memberikan penghormatan terakhir kepada Ayyan sebelum jenazah itu disolatkan.

Ketika menyolatkan jenazah, Sultan Ahmad sendiri yang mengimamkan solat tersebut. Suaranya bergetar ketika menyebut takbir. Zubair sehingga mengalirkan air mata ketika solat.

Yalah, empat belas tahun dia menjaga dan mengasihi anak itu dengan sepenuh hati, akhirnya anak itu pergi di atas pangkuannya. Nadeem yang turut bersolat di sebelah ayahnya itu turut sebak dan terkesan dengan kehilangan itu.

Selesai solat, jenazah Ayyan diusung ke Makam Diraja Kerajaan Cendana sambil diberi penghormatan terakhir oleh barisan angkatan tentera dan anggota keselamatan.

Permaisuri Azalea tidak berhenti menangis perlahan ketika melihat jenazah putera sulungnya dikebumikan. Tengku Hassan pula hanya sekadar menatap ayahandanya yang sedang meletakkan jenazah kakandanya di dalam pusara, manakala Tengku Adeeba memandang kosong ke arah tanah merah yang akan dikambus pada makam kakandanya.

"Almarhum kakanda yang sepatutnya layak memegang gelaran putera mahkota, bukan adinda." Tengku Hassan menutur perlahan dan hanya didengari oleh bonda dan ayundanya. Suara putera kecil itu masih serak dan tersekat-sekat.

"Semoga kita bertemu di syurga, kakanda..." Tengku Adeeba pula berbisik lemah. Dan doa itu diaminkan oleh adindanya.









- T A M A T -

###

TERIMA KASIH ATAS KESABARAN ANDA! *nah, tisu*

Jangan marah saya, saya cuma seketul insan yang lemah~~

Telegram channel: syad's stories 🍉

PUTERA YANG TERSINGKIR [C]Where stories live. Discover now