DARIPADA sepapan ubat itu mempunyai sepuluh biji semuanya, kini hanya tinggal dua. Tetapi situasi kesihatan Ayyan semakin parah. Dia hanya terbaring lemah di atas katil. Ubat tahan sakit yang dia makan itu tidak meredakan, bahkan ibarat menambah kesakitan yang dialami.
Ayyan mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran daripada surah-surah yang telah dia hafal untuk melegakan keperitan yang ditanggung ketika itu. Kelopak matanya kelihatan kuyu. Semuanya kerana dia tidak cukup tidur beberapa hari itu.
Ketika sedang menenangkan jiwa dengan ayat-ayat al-Quran, bunyi pintu terbuka membuatkannya menoleh lemah ke arah tersebut. Senyuman tawar terbentuk pada bibir melihat wajah Zubair dan Zafirah.
"Ayyan... Allahuakbar." Zubair duduk di sisinya dan memangku kepala Ayyan perlahan-lahan saat darah mengalir keluar dari hidung putera itu. Zafirah pula mengelap darah itu dengan lemah-lembut agar tidak menyakitinya.
"A-Ayyan t-tak... rasa pun... d-darah keluar..." ujar Ayyan. Tangkai hati Zubair bergegar hebat menahan sebak.
"Ayah minta maaf, Ayyan. Ayah tak mampu nak bawa Ayyan ke hospital. Maafkan ayah..." Lemah hati Zubair tatkala melihat tubuh Ayyan yang semakin kurus walaupun baru enam hari jatuh sakit.
Ayyan menggeleng sedikit. Dia masih senyum di sebalik keseksaan yang membebani tubuh kecilnya.
"A-Ayah, i-ibu... Ayyan nak m-minta maaf. A-Ayyan b-banyak... susahkan ayah... dengan i-ibu. S-Sebab Ayyan, ibu d-dengan a-ayah kena... bersusah-payah. Ayyan-"
"Sudah, Ayyan. Bukan salah Ayyan pun." Zafirah menunduk apabila air mata mula menuruni pipi.
"S-Salah Ayyan..." Zubair menggeleng setelah ayat ringkas itu keluar dari mulut Ayyan.
Ayyan mengubah pandangan ke arah jendela biliknya yang masih tertutup semasa empangan mata mula merembeskan air mata. Dia kemudiannya terbatuk-batuk perlahan.
"Ayyan d-dah m-maafkan... semua o-orang, termasuk a-ayahanda dan b-bonda. Ayyan... takut... tak sempat." Tiba-tiba saja ayat itu dituturkan Ayyan.
"Jangan takut, nak. Ayah tahu Ayyan kuat. Ayyan akan sembuh," ujar Zubair. Setitis air mata jatuh dari tubir matanya ketika perkataan 'tak sempat' meluncur dari bibir pucat anaknya itu.
"Lepas ini... ayah dengan i-ibu tak... p-perlu risaukan Ayyan... sebab Ayyan d-dah t-tak sakit..." jelas Ayyan.
"Kenapa... Ayyan cakap... macam ini tiba-tiba? Ayyan... janganlah fikir perkara yang... tidak baik." Zafirah turut teresak-esak menangis sambil tangannya memegang erat kekura tangan kanan Ayyan.
"I-Ibu kan dah j-janji... tak nak s-sedih s-sebab Ayyan. Ayyan d-dah takkan... sakit l-lepas i-ini. Janji," kata anak itu.
Zafirah menyeka air matanya perlahan-lahan dan cuba terlihat tenang di hadapan Ayyan.
Tatkala itu, pintu bilik itu diketuk oleh seseorang. Zafirah melangkah ke pintu dan membukanya kecil agar gerangan itu tidak nampak Ayyan di dalam.
"Maaf, Zafirah. Tapi tuanku permaisuri memanggil awak untuk bantu tuan puteri bersiap sebelum majlis pertabalan itu bermula." Arahan daripada Permaisuri Azalea yang disampaikan oleh dayang muda itu menimbulkan kehairanan dalam hati Zafirah.
"Bukankah itu tugas awak?" soal Zafirah.
"Tuan puteri lebih suka jika tudungnya digayakan oleh awak." Dayang itu hanya membalas dengan senyuman.
"Baiklah, sebentar ya." Dayang itu mengangguk dan berlalu pergi. Zafirah menutup pintu semula dan mendekati kedua mereka.
Ayyan yang mendengar berita itu terus membalas tanpa sempat Zafirah berkata apa-apa.
"N-Nanti ibu s-siapkan adinda Ayyan cantik-cantik tau... biar a-adinda kelihatan m-manis s-sepanjang majlis," ujar Ayyan, ceria. Zafirah mengangguk tanda faham. Dia mengusap ubun-ubun kepala Ayyan sebelum keluar untuk menyelesaikan tugasnya.
Ayyan kembali memandang wajah Zubair.
"Ayyan... a-ada satu p-permintaan... b-boleh tak ayah sampaikan... s-salam Ayyan... kepada a-ayahanda dan b-bonda? Ayyan t-teringin nak p-peluk mereka, t-tapi Ayyan sedar, Ayyan cuma... pembawa m-malang d-dalam keturunan d-diraja Cendana..." pinta Ayyan, tulus.
Zubair hanya menyahut arahan itu tanpa membantah. Mutiara jernih yang mengalir ke pipi dibiarkan sahaja.
"Ayyan t-tak s-sabar nak b-bebas. A-Ayah tahu? S-Semalam Ayyan... mimpi..." Tangan kiri Ayyan naik menyeka mutiara jernih yang mengalir di pipi ayahnya dengan lemah-lembut.
"Mimpi apa itu?" balas Zubair. Zubair memegang tangan Ayyan yang mengelap air matanya itu lalu mengusap ia penuh kasih.
"D-Dalam mimpi itu, A-Ayyan dapat b-berjalan, lari-lari! Ayyan tak s-sakit..." beritahunya.
"S-Sebab itu A-Ayyan kata... ayah dengan ibu, t-tak p-perlu jaga dan risaukan Ayyan... lagi. Ayyan tak nak lama-lama d-dekat sini," sambung Ayyan.
"Ayyan..." Zubair menggelengkan kepala dengan ujaran Ayyan itu. Hatinya mula tidak senang.
"Ayah kirimkan... u-ucapan t-tahniah dari Ayyan u-untuk... adinda Hassan juga, boleh? Adinda m-memang layak menjadi p-putera mahkota," nyata Ayyan.
"Usahlah cakap yang bukan-bukan, Ayyan." Genggaman tangan pada kekura tangan kiri Ayyan semakin dieratkan.
"Ayah..." Bibir Ayyan masih melengkung ketika nafasnya mula tersekat-sekat di kerongkong.
"Allahuakbar... sakit..." Dahinya berkerut seribu waktu itu.
Zubair panik. Dia cuba meredakan Ayyan.
Namun setelah melihat iris biru nilam Ayyan mula memandang ke atas dan nafas anak itu semakin pendek, Zubair sedar sesuatu.
"Ikut ayah... i-ikut ayah bersyahadah, Ayyan..." Panas matanya menyaksikan sendiri bagaimana Ayyan menghadapi saat-saat akhir tersebut.
"Asyhadu an la ilaha illallah..." ajarnya.
"A-Asyhadu... an la... i-ilaha... illallah..." Ayyan menyebut meski suaranya tidak terkeluar.
"Wa asyhadu anna... Muhammadarrasulullah," tutur Zubair.
"W-Wa asyhadu... a-anna... Muhammadarrasulullah..." Ayyan mengikuti potongan lafaz itu bersama hembusan nafas terakhirnya.
Dadanya yang tadi berombak kencang kini sudah tiada pergerakan. Jantung yang berdegup laju sudah terhenti serta-merta. Kelopak mata telah tertutup rapat - untuk selamanya.
Lengkung di bibir masih kekal, tapi tiada lagi suara merdunya yang kedengaran pada halwa telinga Zubair.
Zubair turut kaku sambil memangku kepala anaknya sebelum memeluk tubuh kecil itu dengan erat. Tangisannya mencurah-curah keluar dari tubir mata menuruni cerun-cerun pipi.
"Innalillahi... wainna ilaihi raji'un. Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu 'anhu." Doa itu saja yang mampu terluah dari mulut.
'Tempatkan dia di dalam syurga-Mu yang tertinggi, ya Allah. Aku mohon kepada-Mu...' Selebihnya hanya mampu diungkap di sudut kalbu.
- - -
Maafkan saya! *author lari*
YOU ARE READING
PUTERA YANG TERSINGKIR [C]
Ficción General﷽ - SYUHADAH 8th story "Kenapa Ayyan dilahirkan cacat, ibu? Allah tak sayangkan Ayyan ke?" Soalan itulah yang bermain dibibir Ayyan setiap kali Zafirah, ibu susuannya, memasuki bilik suram itu. Tengku Muhammad Ayyan Uwais. Gelarannya sebagai putera...