PYT | BAB 7

102 12 26
                                    

GELAKAN halus terbit di bibir Ayyan saat bermain dengan anak kucing berwarna coklat dan berbelang hitam itu. Si manja yang sedang baring di atas paha Ayyan itu suka apabila digeletek pada perutnya.

"Comelnya awak ini!" tutur Ayyan, geram melihat mata bulat milik anak kucing tersebut.

Sementara Ayyan sedang bermain bersama kucing itu di taman mini, Tengku Adeeba pula sedang tercari-cari haiwan kesayangannya itu. Iris hitam pekatnya melilau-lilau ke kanan dan ke kiri.

"Mana pula perginya Si Belang ini? Tidak laparkah anak kecil itu?" omel Tengku Adeeba.

"Apa yang puteri kesayangan ayahanda sedang cari itu? Sejak tadi lagi ayahanda lihat anakanda sibuk merayau-rayau di seluruh kawasan istana," tegur Sultan Ahmad. Tengku Adeeba yang ditegur dari belakang secara tiba-tiba itu lantas memusingkan tubuhnya dan menunduk sedikit sebagai tanda hormat kepada Sultan Ahmad.

"Anakanda sedang mencari Si Belang. Daripada pagi tadi ia menghilang entah ke mana," adu Tengku Adeeba.

"Ah, kucing kecil itu selalu saja merayap di sekitar istana ini! Usahlah anakanda risau... kelak dia akan cari anakanda jua." Sultan Ahmad mengusap ubun-ubun kepala Tengku Adeeba dengan lembut.

"Harapnya begitulah, ayahanda." Sang puteri membalas perlahan.

Sultan Ahmad tergelak kecil melihat wajah anaknya. Sedang mereka berdiri di hadapan pintu besar yang terbuka luas sehingga menampakkan taman mini itu, kedengaran suara seseorang sedang berbual.

"Ayahanda, siapa yang sedang berada di sana itu? Anakanda tidak pernah lihat sesiapa yang berkerusi roda tinggal di istana selama ini." Soalan itu diajukan kepada Sultan Ahmad yang sedang terkejut melihat Ayyan bermain di taman tersebut.

"Si Belang!" Nampak saja kucing kesayangannya berada di sisi Ayyan, Tengku Adeeba ingin berlari mendapatkan haiwan itu. Namun Sultan Ahmad laju menghalang perbuatan anaknya.

"Anakanda masuk dahulu ya. Biar ayahanda yang ambil Si Belang." Sultan Ahmad tersenyum kecil. Tengku Adeeba pula tidak mengesyaki apa-apa, malah hanya menuruti apa yang disuruh ayahnya.

Dia menunduk sedikit dan berjalan ke kamarnya.

Sultan Ahmad menghantar pemergian anaknya melalui pandangan mata sebelum mengarahkan seorang pengawal untuk membawa Ayyan masuk ke bilik. Pengawal itu menolak kerusi roda Ayyan tanpa sebarang bantahan. Ayyan pula masih terpinga-pinga tatkala kerusi rodanya ditolak ke bilik tanpa sebab.

Pintu biliknya dibuka, lalu dia ditolak masuk ke dalam. Sultan Ahmad masuk bersama mereka. Dia mengarahkan pengawal itu untuk keluar dan melarangnya daripada mendengar apa yang akan dibualkan dengan Ayyan.

Ayyan tersenyum kecil memandang wajah ayahandanya. Tetapi senyumannya dibalas dengan tatapan tajam daripada sultan.

Dia cuma ingin bermesra, tetapi si ayah seboleh-boleh tidak mahu melakukan hal sedemikian.

"Tuan hamba tidak ada hak untuk berbaik-baik dengan beta." Ayat itu membuatkan Ayyan terkedu sebentar.

"Ampun, ayahanda. Mengapa ayahanda seperti tidak suka dengan anakanda?" soal Ayyan meskipun dia takut dimarahi.

"Anakanda? Sejak bila beta ada anak yang cacat seperti tuan hamba? Anakanda beta cuma Tengku Nur Adeeba Umairah, puteri sulung beta. Tiada yang lainnya," jawab Sultan Ahmad.

Hati kecil Ayyan ibarat dihiris sembilu apakala dirinya direndahkan sebegitu.

"Mulai pada saat ini, tuan hamba tidak lagi boleh keluar dari bilik ini sampai bila-bila. Beta tidak mahu ada sesiapa dalam kalangan warga istana, terutama sekali anakanda beta lihat wajah si pembawa malang dalam kerabat diraja Cendana. Beta akan memastikan bilik ini sentiasa terkunci supaya tuan hamba tidak dapat keluar. Keputusan beta adalah muktamad." Sebaik pernyataan itu terhambur keluar dari mulutnya, Sultan Ahmad terus meninggalkan Ayyan bersendirian di dalam bilik itu.

Sempat dia mengingatkan si pengawal supaya mengunci pintu bilik tersebut.

Ayyan yang berasa dirinya disingkirkan seperti itu tidak mampu menyembunyikan kesedihan yang menebal dalam hati. Lantas air mata mencurah-curah menuruni cerun-cerun pipi tembam kemerahan milik anak yang tidak bersalah itu.

Kedua tangan dibawa menekup muka lalu dia melepaskan tangisannya sekuat hati.

"Apa salah Ayyan? Kenapa ayahanda buat Ayyan macam ini?" tanya Ayyan pada diri sendiri.

Hatinya sakit ketika minda tak habis-habis mengulang apa yang diujarkan sultan sebentar tadi ibarat radio rosak. Rambut panjang separas bahunya itu diraup ke belakang kerana agak serabut.

"Ya Allah... apa salahku sehingga dilayan sebegini rupa?" bisik Ayyan, perlahan.

PUTERA YANG TERSINGKIR [C]Where stories live. Discover now