BEKAS makanan diletakkan di atas meja makan kecil di bilik Ayyan. Zafirah hanya sempat melihat sekali lalu wajah Ayyan yang pada ketika itu sedang lena tidur. Kemudian, dia keluar dari bilik tersebut.
Dia malas hendak berlama-lama di situ kerana mempunyai banyak urusan yang belum diselesaikan. Zafirah menuju ke ruangan dapur istana untuk mencuci pinggan mangkuk yang digunakan ketika santapan tengah hari kerabat diraja tadi.
Sementara itu, Ayyan membuka mata redupnya perlahan-lahan. Dia sebenarnya tidak tidur dan hanya berpura-pura. Pandangan ditalakan pada pintu bilik yang terkunci rapat itu bersama senyuman paksa.
"Ibu terpaksa hantar makanan dekat Ayyan ke?" Ayyan menutur sendiri.
Dia menyandarkan badan pada kepala katil. Kedua tangan direhatkan pada paha. Nafas ditarik dalam-dalam dan dilepaskan secara perlahan-lahan. Lafaz istighfar dibisikkan dengan lembut dan tenang.
- - -
HARI-HARI dia disapa dengan kedinginan Zafirah setiap kali wanita itu datang. Dia hendak menegur dan tersenyum manis ke arah si ibu, namun melihat pada keterpaksaan yang diluahkan Zafirah melalui ekspresi muka, Ayyan simpan niat tersebut di dalam hati.
Inilah saat-saat yang dia takuti. Saat di mana semua orang yang dia sayang dan menyayanginya dahulu meninggalkan dia sendiri.
Tiada lagi gelak tawa dan keceriaan ketika itu.
"I-Ibu... Ayyan semalam dah berjaya hafal surah al-Furqan. Ibu nak-"
Ujaran Ayyan terpotong tatkala Zafirah menggumam perlahan sebagai balasan.
"Ibu nak dengar Ayyan baca?" Ayyan tidak berputus asa untuk mengambil hati ibunya.
"Ayyan boleh tak jangan ganggu ibu buat kerja? Ibu dah lambat ini. Duduk diam-diam saja dekat situ. Usah berbicara apa-apa," tegas Zafirah.
Kali ini, lidah Ayyan lumpuh daripada melontarkan sebarang kata. Zafirah yang sudah selesai mengemas bilik suram itu terus berlalu pergi tanpa pesan seperti selalu.
"Pengawal, tunggu." Zubair yang datang entah dari mana terus menghalang pengawal daripada mengunci pintu bilik Ayyan. Dia perasan Zafirah sudah keluar dan terus menuju ke dapur istana.
Zubair masuk dan terus menerpa ke arah Ayyan. Ayyan pula pantas menyembunyikan kesedihannya dengan senyuman lebar. Bagi anak itu, paling kurang pun dia masih ada ayah yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya.
"Kenapa tak makan lagi? Nak ayah suaplah itu..." Zubair senyum sambil mencuit pipi merah Ayyan. Ayyan menggeleng kecil.
"Ayyan belum lapar lagi. Sekarang biar Ayyan tanya ayah pula, kenapa ayah berpeluh-peluh ini?" soal putera kecil itu.
"Ayah baru balik dari latihan tempur bersama tuanku sultan," jawab Zubair. Ayyan meng'oh'kan sahaja.
"Kasihan ayah... penat. Ayah baliklah rumah. Rehat dulu." Tangan kanan Ayyan memegang kedua tangan ayahnya.
"Alaa... apa salahnya jumpa dengan anak kesayangan ayah ini sekejap? Ayyan tahu tak, bila ayah tengok Ayyan, rasa penat ayah hilang serta-merta. Ajaib, kan?" Zubair tertawa kecil.
Bersinar-sinar mata Ayyan mendengarnya. Tetapi keadaan itu tidak kekal lama. Ayyan memicingkan mata ke arah Zubair.
"Ya ke? Boleh percaya ke ini?" Sengaja dia bertanya seperti itu. Dengan spontan, rambut kelabunya yang tersisir kemas itu diserabutkan oleh si ayah.
"Ya... ayah berdosa kalau tipu Ayyan," katanya. Ayyan mengerutkan dahi seketika kerana geram rambutnya sudah serabut seperti itu.
"Comel sungguh anak ayah ini..." Zubair tersenyum hangat. Ayyan turut membalas senyuman itu.
- - -
"KENAPA ibu benci Ayyan tiba-tiba? Apa salah Ayyan?" tanya Ayyan, polos. Suaranya bergetar-getar ketika bertutur. Nada sedihnya jelas terzahir pada ton suara.Zafirah tidak menjawab sebaliknya meneruskan kerja.
"Ayyan tahu... Ayyan bukan anak ibu dengan ayah, tapi Ayyan dah anggap ibu dengan ayah macam keluarga kandung Ayyan sendiri. Ayyan sayang ibu." Ayyan memandang tulus ke arah Zafirah.
"Senyap Ayyan. Ibu penatlah. Boleh tak biar ibu buat kerja dengan tenang?" Zafirah kelihatan marah dan kurang suka dengan Ayyan. Dia menyapu lantai bilik Ayyan dengan laju kerana ingin berlalu dari situ dengan cepat.
Ayyan tunduk menekur lantai.
Entah mengapa insan yang digelar ibu itu boleh berubah secepat ini setelah dikurniakan anak kandung yang jauh lebih sempurna jika hendak dibandingkan dengan dirinya.
"Terima kasih, ibu..." ucap Ayyan setelah melihat Zafirah sudah ingin pergi. Wanita itu tidak membalas apa-apa dan hanya tinggalkan Ayyan dalam keadaan hati si kecil itu hancur.
YOU ARE READING
PUTERA YANG TERSINGKIR [C]
Ficção Geral﷽ - SYUHADAH 8th story "Kenapa Ayyan dilahirkan cacat, ibu? Allah tak sayangkan Ayyan ke?" Soalan itulah yang bermain dibibir Ayyan setiap kali Zafirah, ibu susuannya, memasuki bilik suram itu. Tengku Muhammad Ayyan Uwais. Gelarannya sebagai putera...