PYT | BAB 8

99 10 15
                                    

ALMARI dibuka perlahan-lahan dan dia ternampak sepasang gaun rasmi puteri istana yang berwarna ungu muda. Tengku Adeeba mengambil gaun yang tersangkut kemas itu sambil menjinjitkan kaki.

"Adakah beta nampak comel dengan gaun ini?" soal Tengku Adeeba kepada Zafirah yang sedang mengemas kamarnya.

Zafirah mengangkat muka dan tersenyum kecil.

"Tuan puteri pakailah apa-apa pun, pasti akan nampak comel," balas Zafirah. Sang puteri itu melukiskan senyuman hingga ke telinga saat dirinya dipuji sedemikian.

"Tuan hamba tahu tak tentang seorang lelaki yang memakai kerusi roda berada di dalam istana ini?" tanya Tengku Adeeba lagi. Kali ini, nadanya bercampur dengan perasaan ingin tahu yang menggunung tinggi.

Zafirah dengan hati yang berat menggeleng perlahan.

"Patik tidak tahu akan itu. Mengapa, tuan puteri?" jawab Zafirah.

"Tiada apa yang penting... tetapi beta ternampak lelaki itu di taman semalam. Kerana itulah beta bertanya kepada tuan hamba." Tengku Adeeba meletakkan gaunnya di atas katil.

Zafirah mengangguk tanda faham lalu menyambung kerja menyapu lantai bilik puteri itu.

— — —

PINTU bilik Ayyan yang berkunci dari luar itu menimbulkan tanda tanya dalam hati Zubair ketika di ingin membukanya. Waktu itu, pengawal yang menjaga bilik tersebut datang membuka pintu.

"Kenapa pintu ini dikunci?" Soalan itu diajukan kepada si pengawal dengan tegas.

"Ini arahan daripada baginda sultan, tuan," jawab lelaki berbadan tegap itu.

Zubair yang tidak mahu memanjangkan perbualan terus memasuki bilik Ayyan. Ucapan salam ditutur perlahan, namun tiada balasan yang kedengaran.

Bilik anak itu sangat suram dan gelap. Langsir dan tingkap masih belum dibuka. Dia terlihat sekujur tubuh kecil sedang berselubung di dalam selimut.

Zubair mendekati Ayyan lalu duduk di sisi putera kecil yang sedang lena dibalut mimpi itu. Dia hairan kerana Ayyan belum bangkit dari tidur meskipun jam sudah menunjukkan pukul 11 pagi.

Belakang telapak tangan kanan dilekapkan pada dahi Ayyan dengan lemah-lembut.

Normal.

"Alhamdulillah..." Zubair lega kerana suhu badan Ayyan berada dalam keadaan optimum. Dia kemudiannya bangun dari situ dan bertindak membuka langsir dan jendela bilik Ayyan.

Barulah bilik itu kelihatan ceria setelah disimbahi cahaya matahari.

Ayyan mengerutkan dahi saat sinar itu terpancar ke wajahnya. Kelopak matanya terkebil-kebil sebelum ia terbuka luas. Lafaz tahmid diucap secara berbisik.

"Bangun juga anak ayah ini. Malam tadi tidur lambat ya?" Soalan cepumas itu juga yang ditanyakan oleh Zubair. Ayyan terdiam sebelum mengangguk.

"Habis itu Ayyan solat subuh tak pagi tadi?" Zubair membantu Ayyan bersandar pada kepala katil lalu dia duduk di sebelah anak itu.

"Solat. Ayyan terlelap pun selepas solat tadi," beritahu Ayyan.

"Kenapa tidur lambat? Ayyan tahu tak, budak kecil tak boleh tidur lambat-lambat... nanti mudah jatuh sakit." Hidung mancung Ayyan dicuit lembut. Ayyan cuma tersenyum kecil sebagai balasan kepada ujaran tersebut.

"Ayyan baca buku semalam. Tak sedar masa itu dah pukul 12.35 malam. Buku yang ayah belikan itu menarik sangat," jujurnya. Zubair tertawa halus.

"Ini ayah nak tanya, kenapa pengawal itu kunci bilik Ayyan? Tuanku sultan ada beritahu apa-apa ke?" Berkerut sedikit dahi Zubair ketika pertanyaan itu terhambur dari mulut.

Terkelu sebentar lidah Ayyan daripada berkata-kata.

"S-Sebenarnya... ayahanda dah tak benarkan Ayyan keluar dari bilik ini sampai bila-bila. Ayyan pun tak tahu kenapa ayahanda marah sangat dekat Ayyan semalam." Ayyan memulakan ceritanya.

"Astaghfirullahal'azim. Sampai begitu sekali?" Tangan kiri Zubair meraup wajah.

"Kenapa, ayah? Kenapa ayahanda tak suka Ayyan? Ayyan tahu ayah ada sembunyikan sesuatu daripada Ayyan. Jujurlah dengan Ayyan..." Ayyan menggenggam tangan kanan ayahnya dengan erat.

Zubair sejujurnya tidak mampu menjawab persoalan yang timbul di bibir Ayyan itu. Dia takut apa yang diceritakan itu akan menghiris kalbu Ayyan sedalam-dalamnya.

Sudahlah anak kecil itu hatinya lembut. Mudah terguris. Jika dia bercerita hal yang sebenar, pastinya tersiat-siat hati anak itu.

"Ayah cerita sajalah. Ayyan janji, Ayyan tak akan nangis, Ayyan tak akan marah sesiapa dan Ayyan tak akan buat apa-apa yang menyakitkan diri," pujuk Ayyan.

"Tak ada apa-apa pun yang ayah sembunyikan dari Ayyan," bohong Zubair.

"Tipu. Ayah mesti tahu macam-macam, sebab ayah kan pembantu peribadi ayahanda," ujar Ayyan.

Zubair mengambil nafas panjang-panjang dan melepaskan ia perlahan-lahan sebelum berkata, "Janji ya Ayyan tak akan cederakan diri, tak akan menangis dan tak akan marah sesiapa?"

"Janji!" Ayyan menyahut bersama senyuman nipis.

"Semuanya berlaku lepas Ayyan lahir. Masa itu, tuanku permaisuri terus suruh jururawat bawa Ayyan keluar setelah nampak Ayyan lahir tanpa kedua pasang kaki. Tuanku sultan juga begitu. Baginda langsung tak mahu tengok wajah Ayyan dan mengelak daripada melaungkan azan dan iqamat pada telinga Ayyan," jelas Zubair.

Ayyan yang mendengar hal itu sedikit terasa hati, namun dia tetap mengawal ekspresi asbab sudah berjanji untuk tidak menangis.

"Waktu itu juga, gelaran Ayyan sebagai putera mahkota Kerajaan Cendana dilucutkan oleh tuanku sultan. Pada mulanya, tuanku nak hantar Ayyan ke rumah kebajikan di Kerajaan Bayu, tapi ayah sendiri yang meminta perkenan baginda untuk jaga Ayyan sampai Ayyan dewasa." Cerita ringkas tersebut terhenti setakat itu.

"Ayah minta maaf, Ayyan," ucap Zubair. Ayyan terus menggeleng laju.

"Buat apa ayah minta maaf. Bukannya salah ayah." Bibir merah Ayyan mengukir senyuman manis.

"Ayyan jangan sedih ya. Selagi ayah ada, ayah akan tetap jaga Ayyan macam anak ayah sendiri walau apa pun yang berlaku." Rambut lebat Ayyan dielus dengan penuh kasih. Zubair sedang berusaha menahan sebak di dada.

Terasa hangat hati Ayyan ketika diperlakukan begitu.

"Terima kasih, ayah." Ayyan memeluk tubuh tegap Zubair.

PUTERA YANG TERSINGKIR [C]Where stories live. Discover now