PYT | BAB 12

81 10 7
                                    

NASI disuapkan ke dalam mulut setelah membaca basmalah. Zubair memerhatikan keletah anak dan isterinya di ruang tamu sambil-sambil menikmati hidangan tengah hari di meja makan. Meski sudah tamat tempoh berpantang, tiada satu kali pun dia dengar Zafirah bertanya tentang keadaan Ayyan.

Seolah-olah si isteri sudah melupakan putera yang tersingkir itu.

"Sayang... tak rindu Ayyan?" soal Zubair. Zafirah menoleh ke arah suaminya.

"Kenapa abang tiba-tiba tanya tentang Ayyan?" Tanpa menjawab soalan Zubair, Zafirah mengajukan soalan yang lain pula. Zubair melepaskan nafas berat.

"Dia rindu awak. Sebab itu abang tanya," kata Zubair. Perlahan saja suaranya.

"Mestilah saya rindu. Cuma... abang kena faham, saya kena jaga Nadeem. Saya tak ada masa nak ke sana," jawab Zafirah.

Setelah itu, Zubair tidak lagi berkata apa-apa. Dia segera menghabiskan kunyahan terakhir lalu berjalan ke sinki dapur. Pinggan tersebut dicuci bersih dan diletakkan pada rak pinggan.

Zubair keluar dari dapur dan berura-ura hendak masuk ke dalam bilik.

"Jangan sampai awak lupa kehadiran dia pula." Itu sahaja ayat yang dilontarkan Zubair sebelum dia menutup pintu bilik.

Dia melabuhkan duduk di atas kerusi sambil menghadap ke arah buku-buku ilmiah yang tersusun di dalam rak. Rambut yang terjuntai pada dahi diraup ke belakang.

Dia yakin, Zafirah semakin lama, semakin cuba untuk mengelak daripada bertemu dengan Ayyan. Maklumlah, sejak lahirnya Nadeem di dalam keluarga kecil itu, dia menganggap bahawa Ayyan sudah bukan lagi di bawah tanggungjawabnya.

'Sabarlah Ayyan. Kamu anak yang kuat,' monolog Zubair.

— — —

CEBISAN hati Ayyan yang remuk itu tidak mampu dikutip lagi tatkala lensa matanya disapa dengan kebahagiaan keempat-empat insan yang sepatutnya berada di sampingnya. Senyuman paksa diukirkan pada bibir merahnya.

"Ayahanda... bonda..." Ayyan menekup muka saat air mata jatuh ke pipi. Dia benci tangisan itu. Dia benci berada di titik terendah itu.

"Sampai bila, ya Allah? Sampai bila..." tuturnya sambil menahan sakit hati.

Sesekali dia terdengar bunyi gelak tawa mereka yang berada di pondok kecil taman mini istana. Disebabkan tidak mahu melayan perit di hati, Ayyan membawa diri ke meja tulis untuk meluangkan waktu malam dengan membaca buku yang sudah berpuluh-puluh kali dia baca tanpa sekelumit rasa bosan.

Hanya buku tersebut yang menjadi peneman putera kecil itu setiap malam.

Cuma yang berbezanya, malam ini dia ditemani suara-suara daripada keluarga bahagia.

"Ayahanda! Lihat bintang itu. Cantiknya seperti anakanda, benarkan?" tanya Tengku Adeeba.

"Ya. Jika anakanda merupakan bintang, maka bonda merupakan bulan. Ayahanda dan adinda Hassan pula..." Sengaja Sultan Ahmad berhenti di situ.

"Ayahanda dan adinda Hassan kesayangan anakanda ini merupakan langit malam yang menenangkan." Teruja nada Tengku Adeeba menutur kata.

"Pandai sungguh anakanda bonda ini bermain kata ya?" Permaisuri Azalea mencuit hidung Tengku Adeeba. Puteri itu tersenyum manis.

Liur Ayyan seperti tersekat di kerongkong ketika mendengar segala perbualan itu.

'Semua orang bahagia. Ayah dengan ibu dah ada adik Nadeem. Ayahanda dan bonda pun dah ada putera mahkota yang baru. Ayyan dah tak ada sesiapa lagi. Ayyan ada Allah saja.'  Dia berbisik sendiri di dalam hati.

Buku ditutup lalu dia membawa diri ke arah katil. Dengan berhati-hati, dia naik ke atas katil dan membaringkan tubuh. Adalah lebih baik dia tidur berbanding membiarkan perbualan itu menghiris hatinya yang sememangnya sudah hancur meninggalkan cebisan kecil yang tidak mampu dibaiki semula.

PUTERA YANG TERSINGKIR [C]Where stories live. Discover now