PYT | PROLOG

227 17 25
                                    

BUNYI tangisan bayi bergema di ruang wad bersalin itu. Namun, si ibu yang melahirkan langsung tidak mahu melihat wajah suci bayi kecil tersebut walaupun sekejap. Dia hanya menyuruh jururawat membawa bayi itu keluar.

Ayahnya pula?

Selepas melihat keadaan bayi yang tidak sempurna itu, dia lantas berlalu pergi tanpa melaungkan azan dan iqamat pada telinga si anak.

Sungguh malang nasib bayi yang tidak bersalah itu.

"Cik, biar saya yang azankan tuan putera..." pinta Zubair, pengawal peribadi Sultan Ahmad Muzammil.

Jururawat itu menyerahkan bayi kecil yang masih merah kepada Zubair dengan hati yang lapang. Dia turut mengasihani bayi itu sejak menyambut kelahirannya tadi.

Kesudahannya, Zubair melaungkan azan pada telinga kanan dan diikuti dengan iqamat pada telinga kiri bayi itu bersama rasa kasih sayang serta syukur meski itu bukan anaknya.

'Ya Allah, lembutkan hati sultan untuk menerima bayi kecil ini. Bayi ini tidak bersalah, ya Rabb.' Doa itu dibisikkan di dalam hati.

Zubair kemudian meletakkan bayi itu di atas katil dengan lemah-lembut. Rambut lebat milik si kecil itu diusap-usap.

'Ya Allah, kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh. Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.' Satu lagi doa dibacakan sekadar di dalam hati.

Melihat wajah bayi yang bersih tanpa sebarang dosa itu, membuatkan hati pemuda berusia 27 tahun itu dihurung rasa sebak.

Mengapa ibu dan ayah anak ini tidak mahu menerima kelahirannya, sedangkan dia dan isterinya sudah tujuh tahun berkahwin tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata.

Dia sedikit kesal dengan sikap Sultan Ahmad Muzammil dan Permaisuri Nur Azalea.

- - -

"DIA tidak akan beta pilih sebagai putera mahkota! Beta tidak mahu rakyat melihat putera cacat yang memerintah negara mereka." Sultan Ahmad menutur tegas. Suaranya bergema di seluruh ruangan balairung seri istana.

"Tetapi tuanku-"

"Keputusan beta adalah muktamad. Anak itu akan beta arahkan sesiapa untuk hantarnya ke rumah kebajikan. Beta jijik melihat wajahnya," ujar Sultan Ahmad, angkuh. Dia berjalan ke singgahsana dengan wajah yang tidak berpuas hati.

"Tuanku, jikalau tuanku tidak keberatan... biarlah patik dan isteri yang menjaga tuan putera," beritahu Zubair. Lantas Sultan Ahmad memusingkan tubuh memandang ke arah Zubair. Kening sebelah sultan muda itu ternaik seketika.

"Benarkah? Tuan hamba tidak rasa anak itu akan membebani kehidupan tuan hamba sekeluarga?" soal Sultan Ahmad.

"Tidak, tuanku. Cuma, izinkan patik berbincang dengan isteri patik terlebih dahulu." Zubair menunduk sedikit.

"Baiklah. Kalau itu saja permintaan tuan hamba, beta perkenankan." Sultan Ahmad menyambung langkahnya.

"Ampun tuanku. Patik mempunyai satu lagi permintaan." Zubair teragak-agak untuk menyatakan hal itu, namun dia tetap perlu memberitahunya kepada sultan.

"Permintaan apa lagi, Zubair?" tanya Sultan Ahmad yang sudah bersemayam di atas singgahsana.

"Jika isteri patik turut bersetuju untuk menjaga tuan putera, patik mohon agar tuanku membenarkan tuan putera untuk tinggal di istana setelah usianya menjejak empat tahun. Bukan apa tuanku... patik cuma risau tentang cakap-cakap jelata tentang tuanku dan seluruh kerabat istana." Zubair melepaskan nafas perlahan. Dia bimbang sekiranya Sultan Ahmad tidak mengizinkan perkara tersebut.

PUTERA YANG TERSINGKIR [C]Where stories live. Discover now