"TUANKU... tidak teringat akan tuan putera?" Zubair seboleh-bolehnya tidak mahu menyoal hal ini, tetapi mulutnya tidak mampu terkunci rapat.
"Tidak." Pendek dan selamba saja Sultan Ahmad menjawab. Tersentak Zubair dibuatnya. Terus lidahnya kelu daripada menyambung bicara.
"Beta tidak akan ingat kepada si pembawa malang itu. Anak seperti dia telah memalukan keturunan diraja Cendana," sambung Sultan Ahmad lagi. Ujaran itu secara langsung menghiris kalbu Zubair sedalamnya.
"Ampun tuanku. Patik tidak sepatutnya menyoal tentang itu." Zubair cuba mengawal rasa kesal dalam pertuturannya.
"Tidak mengapa. Beta tahu tuan hamba juga tidak sanggup menjaga bayi cacat itu," kata Sultan Ahmad sambil duduk bersilang kaki. Dia mengerling ke arah Zubair. Ternyata pengawal peribadinya itu tersenyum manis dan tidak menunjukkan sebarang reaksi kurang senang.
"Ampunkan patik, tuanku. Tetapi patik sedikit pun tiada rasa susah sepanjang menjaga tuan putera. Malahan patik dan isteri sangat bahagia sejak kehadirannya di rumah kami." Jawapan itu membuatkan Sultan Ahmad tidak dapat membalas apa-apa. Dia terus terdiam dan mengelak daripada berkata-kata.
Zubair turut berdiri senyap di sebelah kerusi yang diduduki Sultan Ahmad. Dia meletakkan pandangan ke arah pasukan tentera diraja yang sedang menjalani latihan di padang latihan istana.
- - -
HUJAN turun selebat-lebatnya pada malam itu. Zubair yang baru pulang setelah menunaikan solat isyak di masjid kelihatan basah kuyup dek kerana meredah hujan. Sampai saja di hadapan rumah, Zafirah memberikan tuala dan dia terus berlari ke bilik mandi.
Ketika itu juga, Ayyan menangis kerana terperanjat apabila terdengar bunyi dentuman guruh yang kuat. Zafirah mendukung anak kecil itu dan memujuknya agar berhenti menangis.
Zafirah dapat merasakan betapa lajunya degupan jantung Ayyan waktu itu.
"Tenang, sayang..." Ayat itu meniti di bibir sambil diselangi dengan zikir-zikir penenang hati.
Setelah beberapa minit, barulah Ayyan dapat tidur dengan lena. Zafirah membaringkannya di atas katil semula. Kain yang membedung tubuh si comel itu dikemaskan, kemudian dia menarik selimut agar menutupi sebahagian tubuh Ayyan supaya tidak kesejukan.
Sesekali anak itu mengomel perlahan asbab terkejut mendengar bunyi guruh. Zafirah menutup lampu bilik dan baring di sebelah kiri Ayyan. Zubair yang baru selesai membilas badan itu juga duduk di sebelah kanan anak itu.
"Asyik terperanjat saja Ayyan bila dengar bunyi guruh dekat luar itu," jelas Zubair.
"Biasalah itu kalau dah namanya bayi. Dia masih belum terbiasa dengan bunyi-bunyi yang kuat macam ini," balas Zafirah. Zubair mengangguk tanda setuju.
"Abang... andai kata nanti Ayyan bencikan kita sebab kita bukan ibu ayah kandung dia, macam mana?" tanya Zafirah. Soalan itu muncul secara spontan dalam mindanya.
"Abang tak rasa Ayyan akan bencikan kita. Entahlah, sayang. Kalau Allah takdirkan dia akan benci kita, memang tak boleh halanglah," jawab Zubair, tenang.
"Harapnya tidak." Zafirah menekur wajah Ayyan.
"Masa Ayyan lahir, apa saja yang berlaku selain tuanku permaisuri tak nak tengok muka dia?" tanya Zafirah.
"Tuanku permaisuri ada selitkan satu ayat yang tidak baik sebelum jururawat bawa Ayyan keluar. Tuanku permaisuri kata..." Zubair tidak sanggup menyatakan perkara berkenaan.
"Aku harap kau mati cepat," kata Zubair.
"Astaghfirullahal'azim..." Hanya lafaz istighfar yang terlepas dari mulut Zafirah. Dia tidak sangka itu ayat yang disebut oleh Permaisuri Nur Azalea.
"Tuanku sultan pula tak nak laungkan azan dan iqamat pada telinga Ayyan. Tuanku cuma cakap dia lucutkan gelaran putera mahkota itu daripada Ayyan serta-merta." Zubair menyambung ceritanya. Remuk hati Zafirah selepas mengetahui hal itu.
"Sayang... tolong jangan sebarkan berita ini kepada orang lain. Cukuplah sekadar kita dan Allah yang tahu. Jika disebarkan nanti, ia jadi dosa fitnah," pesan Zubair awal-awal.
"Baik, abang." Zafirah bersetuju untuk tidak berkongsi cerita tersebut kepada orang lain.
"Dahlah, abang nak tidur. Mengantuk sungguh ini." Segera Zubair menutup mulut ketika menguap.
"Hmm..." Itu saja yang dibalas Zafirah. Tak lama selepas itu, wanita itu turut dibaluti lena. Zubair perlahan-lahan menarik selimut bagi melindungi tubuh si isteri daripada terdedah kepada kedinginan.
YOU ARE READING
PUTERA YANG TERSINGKIR [C]
Ficción General﷽ - SYUHADAH 8th story "Kenapa Ayyan dilahirkan cacat, ibu? Allah tak sayangkan Ayyan ke?" Soalan itulah yang bermain dibibir Ayyan setiap kali Zafirah, ibu susuannya, memasuki bilik suram itu. Tengku Muhammad Ayyan Uwais. Gelarannya sebagai putera...