TIGA hari berlalu dan keadaan kesihatan Ayyan semakin memburuk. Wajahnya bertukar pucat lesi. Bibir merahnya kelihatan kering dan merekah. Ayyan hanya terbaring lesu.
Tetapi dalam kelesuannya pun, dia tetap berpura-pura sihat di hadapan Zubair dan Zafirah. Dia tidak mahu menambahkan kerisauan terhadap kedua pasangan itu.
"Ayyan betul ke tak apa-apa ini? Nampak lain saja muka Ayyan beberapa hari ini..." Langsir bilik Ayyan dibuka. Begitu juga dengan tingkap biliknya.
"Ayyan sihatlah, ibu. Cuma beberapa hari ini Ayyan tak cukup tidur. Ayyan dah paksa mata ini untuk tutup, tapi dia tetap terbuka." Ayyan tergelak kecil. Zafirah menggeleng perlahan.
Langkah dibawa mendekati Ayyan yang sedang berselubung di dalam selimut. Belakang telapak tangan kanan dilekapkan pada dahi Ayyan.
"Tak panas pun. Ayyan, jujur saja dengan ibu. Ayyan ada sakit dekat mana-mana ke? Ibu risau tengok Ayyan pucat macam ini," jelas Zafirah. Kening tebalnya bertaut seketika.
Ayyan sebenarnya pada ketika itu sedang berusaha menyembunyikan sakit perut dan mengekalkan senyuman manisnya.
"Ayyan sihat, alhamdulillah. Ibu usah risau ya... Ayyan pucat macam ini sebab tak cukup rehat." Kedua tangannya memegang tangan kanan Zafirah dengan sopan.
Zafirah menghela nafas berat.
"Baiklah... tapi jika Ayyan sakit, beritahu ibu dengan ayah tau. Janji?" ujar Zafirah.
Ayyan mengangkat tangan kanan seperti sedang berikrar.
"Janji!" balas Ayyan, serba-salah.
"Dahlah. Ayyan rehatkan diri dulu. Kalau lapar, ibu dah sediakan makanan dekat meja. Ibu nak sambung kerja," terang Zafirah. Ayyan mengangguk setuju.
Melihat Zafirah sudah keluar dari bilik, Ayyan melepaskan batuk yang telah lama dia tahan. Dia menekup mulut agar batuknya tidak mengeluarkan bunyi yang kuat. Tak semena-mena, kelihatan tompokan darah pada telapak tangan kanan Ayyan.
Dia kaget. Terbuntang luas matanya memandang cecair merah pekat itu.
"Penyakit apa yang engkau hadirkan ini, ya Rabb..." Bergetar suara Ayyan ketika menutur kata. Sepasang matanya mula berkaca. Empangan mata menghalang air yang bertakung agar tidak tumpah.
- - -
PAKAIAN yang telah diambil dari ampaian sebentar tadi terus dilipat dengan kemas. Zubair ketika itu baru sahaja selesai membersihkan diri. Dia duduk bersandar pada badan sofa. Nafas dihela perlahan.
"Saya risaulah, abang. Sebelum ini kalau Ayyan sakit, dia mesti beritahu kita. Tapi kali ini dia asyik mengelak saja. Bila tanya, katanya tak cukup tidur. Masalahnya, kalau tak cukup tidur, takkan lemah macam itu sekali?" Zafirah meluahkan rasa gelisahnya kepada Zubair.
"Insya-Allah, kita doakan Ayyan cepat sembuh. Nanti abang pula yang soal-siasat dia esok." Zubair menatap Zafirah yang masih resah itu.
"Ya Allah, sembuhkanlah sakit Abang Ayyan. Kasihanilah dia, ya Allah." Nadeem meraup wajahnya setelah menamatkan doa. Zubair dan Zafirah turut mengaminkan doa ringkas tersebut.
- - -
TENGKU Hassan melihat pakaian rasmi yang harus dipakai ketika hari pertabalannya minggu hadapan. Senyuman lebar memekar pada bibir putera kecil itu. Tengku Adeeba yang melihat keterujaan tersebut mencuit bahu adindanya sedikit.
"Jangan tenung busana itu lama-lama, adinda. Ayunda risau tenungan adinda itu menembusi kain tersebut sehingga koyak." Gurauan itu mengundang tawaan kecil dari bibir Tengku Hassan.
"Adinda tak sabar hendak pakai busana ini. Pasti adinda kelihatan segak seperti ayahanda." Tengku Hassan berdiri tegak di hadapan ayundanya.
"Semestinya! Ayunda juga tidak sabar untuk melihat adinda berdiri sebagai putera mahkota kerajaan Cendana di hadapan jelata," ujar Tengku Adeeba. Adindanya tersenyum manis sehingga kedua lesung pipitnya terlihat pada pipi.
Jika lihat Ayyan berada di situ, pasti seluruh kakitangan istana termasuk kerabat diraja keliru untuk membezakan antara Ayyan dan Tengku Hassan. Wajah mereka hampir serupa, cuma warna mata dan rambutnya yang berbeza.
"Ayunda. Boleh adinda bertanya sesuatu?" pinta Tengku Hassan.
"Silakan, adinda." Tengku Adeeba duduk di atas sofa empuk di bilik adindanya.
"Mengapa ya, Jeneral Zubair dan isterinya selalu masuk ke bilik larangan itu? Adinda hairan. Ayahanda sepertinya membenarkan mereka masuk." Mendengar sahaja soalan itu, Tengku Adeeba mengangkat bahu awal-awal tanda tidak tahu dan tidak mahu mengandaikannya sesuka hati.
"Hal itu ayunda tidak tahu jawapannya. Malah ayunda sudah banyak kali menyoal kepada ayahanda dan bonda, tetapi ayunda tetap tidak dapat jawapan. Ayunda dah berputus asa untuk terus bertanya lagi." Tengku Adeeba melepaskan nafas berat.
"Tidak mengapalah. Suatu hari nanti, kita akan tahu jawapannya." Tengku Hassan memeluk tubuh bersama wajah bangganya. Ayundanya tergelak kecil melihat telatah adindanya yang satu itu.
YOU ARE READING
PUTERA YANG TERSINGKIR [C]
Ficción General﷽ - SYUHADAH 8th story "Kenapa Ayyan dilahirkan cacat, ibu? Allah tak sayangkan Ayyan ke?" Soalan itulah yang bermain dibibir Ayyan setiap kali Zafirah, ibu susuannya, memasuki bilik suram itu. Tengku Muhammad Ayyan Uwais. Gelarannya sebagai putera...