BERSINAR-SINAR mata Tengku Hassan melihat persiapan untuk hari pertabalannya di seluruh kawasan pekan. Dia ketika itu dibawa bersiar-siar dan mencemar duli melawat rakyat.
Kawasan itu kelihatan meriah dengan hiasan dan lampu berwarna-warni yang akan dihidupkan pada malam sebelum majlis tersebut. Tengku Hassan memandang ke arah Zubair yang sedang berbincang sesuatu dengan ayahandanya.
Sultan Ahmad kelihatan serius, namun Zubair pula kelihatan tenang.
"Secara tiba-tiba saja anakanda berasa gugup untuk menghadapi majlis itu." Tengku Hassan mengadu pada Permaisuri Azalea.
Permaisuri Azalea tertawa kecil mendengar luahan anakanda bongsunya itu. Semalam bukan main teruja, tiba hari ini berasa gugup pula.
"Janganlah begitu, anakanda. Bonda yakin, majlis itu akan berjalan dengan sempurna dan lancar. Insya-Allah," ujar sang permaisuri dengan penuh kasih.
"Ya, ayunda juga yakin adinda dapat menghadapi hari itu dengan tenang tanpa sebarang masalah." Tengku Adeeba bersetuju dengan kata-kata sang bonda. Dia turut membujuk adindanya supaya bertenang dan kawal rasa gugup dengan baik.
"Bukan apa bonda, ayunda... anakanda risau kalau-kalau ada kesilapan berlaku semasa upacara pertabalan itu. Apabila tersilap sedikit, pasti majlis tersebut akan banyak cacat-celanya. Anakanda tak mahu semua itu berlaku." Tengku Hassan memuncungkan bibir sedikit.
"Usah bimbang, anakanda. Bonda pasti ayahanda akan bantu. Yang penting, anakanda jangan tunjukkan riak gugup sepanjang majlis berlangsung, boleh?" Permaisuri Azalea memaparkan senyuman manis untuk menyalurkan sedikit semangat kepada putera itu.
Tengku Hassan cuma senyum dan mengangguk tanda setuju.
— — —
"APA? Jadi sekarang, kau nak kata yang rancangan pembunuhan itu gagal, Elya? Kau jangan main-main dengan aku dalam hal ini. Aku tak suka berurusan dengan pembohong!" Zehan mengamuk tidak tentu fasal setelah Elya menyampaikan berita itu.
"Benar, tuan. Saya tak bohong. Racun itu tak beri apa-apa kesan terhadap putera itu, malah putera itu nampak gembira dan sihat. Saya nampak sendiri betapa terujanya dia ketika mencemar duli di pekan Cendana petang tadi." Elya seboleh-boleh cuba untuk mengelak daripada bertentang mata dengan pandangan tajam daripada laksamana Kerajaan Purnama itu.
"Tak mungkin! Aku sendiri yang lihat bagaimana racun itu membunuh banduan yang aku jadikan sebagai tikus putih untuk uji keberkesanan racun ini. Dan banduan itu mati dengan penuh penyeksaan walaupun hanya tiga titis racun aku letak pada minumannya. Kau tak perlulah nak menipu aku!" kata Zehan, berang. Mata helangnya mencerlung wajah Elya yang ketakutan.
"Atau... kau tak letak racun itu? Jujur saja Elya atau aku sendiri akan tamatkan riwayat kau malam ini!" Terbuntang luas mata Elya saat ujaran itu menyapa halwa telinga.
"Tidak, tuan. Saya dah letak racun itu, malah secara berlebihan. Saya berani bersumpah! Tolong, jangan bunuh saya... saya masih ada adik kecil yang perlu ditanggung..." rayu Elya bersama linangan air mata.
"Kalau kau dah letak, kenapa putera itu tak mati? Jawab, Elya!" tegas Zehan.
"Saya tak tahu, tuan. Saya tak tahu..." Elya melutut di hadapan Zehan dengan penuh ketakutan.
Dia tidak mahu mati di situ. Zehan terdiam seketika dan itu membuatkan jantung Elya berdegup kencang. Minda mula menayangkan wajah si adiknya yang sakit di rumah.
"Baiklah... aku lepaskan kau. Mungkin aku perlu buat rancangan baru sebelum hari Jumaat ini." Bibir Zehan ternaik membentuk senyuman penuh makna.
"Sudah, aku tak perlukan khidmat kau lagi. Berambuslah dengan emas ini!" Seuncang emas dicampak ke arah Elya dan dia menyuruh wanita itu pergi.
"Terima kasih, tuan." Elya mengambil uncang emas itu dan berlalu pergi dari bilik itu.
Dalam hati, dia menzahirkan rasa lega kerana nyawanya masih dikandung badan.
"Kau bernasib baik kerana aku tidak mahu mengotorkan tangan dengan darah hari ini, Elya. Dan kau Tengku Hassan, aku akan pastikan kau mati demi memastikan tuanku raja menaikkan pangkat aku sebagai panglima Kerajaan Purnama." Zehan tergelak jahat sambil memijak gambar Tengku Hassan dengan penuh kebencian.
YOU ARE READING
PUTERA YANG TERSINGKIR [C]
General Fiction﷽ - SYUHADAH 8th story "Kenapa Ayyan dilahirkan cacat, ibu? Allah tak sayangkan Ayyan ke?" Soalan itulah yang bermain dibibir Ayyan setiap kali Zafirah, ibu susuannya, memasuki bilik suram itu. Tengku Muhammad Ayyan Uwais. Gelarannya sebagai putera...