PYT | BAB 9

99 10 6
                                    

TEPAT jarum jam menunjukkan pukul lima pagi, cahaya mata yang ketiga Sultan Ahmad dan Permaisuri Nur Azalea lahir ke dunia. Melebar senyuman sang sultan ketika melihat wajah suci milik putera itu.

Tidak seperti yang berlaku ketika kelahiran Ayyan, situasinya amatlah berbeza.

Sultan Ahmad melaungkan azan dan iqamat pada telinga bayi itu dengan perasaan gembira dan bersyukur dengan kehadiran tersebut. Permaisuri Azalea turut menzahirkan rasa syukur yang setulusnya.

"Tengku Muhammad Hassan Al-Haq, putera mahkota Kerajaan Cendana." Nama yang indah itu diberikan kepada si bayi yang masih merah tanpa teragak-agak mahupun rasa jijik.

"Indah benar nama anakanda bongsu bonda ini. Persis orangnya jua." Rambut lebat berwarna coklat keperangan milik Tengku Hassan diusap lembut.

Sultan Ahmad kemudiannya keluar dari wad itu untuk membiarkan isteri dan anak bongsunya berdua. Dia memandang ke arah Zubair yang sedang tercegat di ruang menunggu.

"Zubair, lusa beta ingin mengadakan majlis kesyukuran atas kelahiran putera mahkota beta. Arahkan pembaca utusan untuk memaklumkan kepada seluruh rakyat agar hadir untuk meraikan majlis tersebut. Tiada yang terkecuali," maklum sultan. Zubair terus menunduk sedikit dan menangkap segala butir bicara Sultan Ahmad lalu mengingatinya.

"Menjunjung titah, tuanku. Patik akan segera menyampaikan arahan berkenaan," balas Zubair.

- - -

SEUSAI berita tersebut tersebar di serata negara Cendana, jelata mulai bersorak gembira kerana mendapat jemputan khas daripada pihak istana. Bukan itu sahaja, mereka turut teruja kerana negara yang didiami itu sudah mempunyai putera mahkota.

"Lepas masing-masing dapat tahu tentang majlis kesyukuran itu, terus semua kedai ditutup. Nasib baiklah saya sempat beli beberapa barang dapur siang tadi, kalau tidak kasihan Ayyan terpaksa makan biskut saja," tutur Zafirah. Tetapi dia hairan kerana roman muka sang suaminya tetap sugul. Langsung tidak ceria.

"Abang? Fikir apa itu? Macam sedih saja..." Teguran daripada Zafirah menyentakkan Zubair daripada terus mengelamun. Lelaki itu tersenyum kecil.

"Fikir tentang Ayyan. Mesti dia terasa hati. Yalah, masa dia lahir, semua orang buang dia. Tapi, masa Tengku Hassan lahir, semua orang sangat menyayangi dia. Anak mana yang tak cemburu, sayang?" Zubair menyatakan apa yang dia fikirkan itu.

"Kalau kita bicarakan soal ini pun, tiada gunanya, abang. Kita bukan sesiapa dan cuma bekerja di istana. Insya-Allah, Ayyan pasti baik-baik saja. Dia kan anak yang kuat," jelas Zafirah.

Zubair tertunduk menekur lantai. Dia melepaskan keluhan berat kemudian diselangi dengan lafaz istighfar.

"Nanti awak tengok-tengokkan Ayyan, ya? Abang tak dapat teman dia esok," pinta Zubair.

"Baik, abang. Jangan risau ya." Kekura tangan kiri suaminya diusap-usap dengan lembut.

— — —

KEDUA tangan menggenggam bingkai jendela sambil merenung ke arah orang ramai yang sedang berada kawasan taman mini. Mereka kelihatan gembira dan seperti sedang menyambut sesuatu majlis dengan meriah, teka Ayyan.

Saat itu, Zafirah memasuki biliknya bersama ucapan salam. Ayyan menoleh dan menjawab salam. Senyumannya melebar sampai ke telinga.

"Ibu, ada majlis apa di luar itu? Meriah sungguh!" Ton suaranya teruja semasa mengajukan soalan. Zafirah meletakkan bungkusan makanan di atas meja lalu berjalan mendekati Ayyan.

Anak itu menghulurkan tangan untuk bersalaman. Zafirah menyambut huluran tangan itu dan hanya membiarkan Ayyan mencium tangannya.

"Majlis kesyukuran sempena kelahiran putera bongsu tuanku sultan dan permaisuri," jawab Zafirah.

"Untungnya adinda..." omel Ayyan secara berbisik, namun kata-katanya tetap dapat ditangkap oleh Zafirah. Ia sedikit sebanyak menyentap hati kecil Zafirah meskipun kata-kata itu tidak tertumpu kepadanya.

"Ayyan lapar tak? Kalau lapar, jom kita makan sama-sama. Ibu masak lauk sedap tau hari ini. Ibu suapkan, nak?" Zafirah sengaja menukar topik perbualan demi melunturkan kesedihan yang dialami Ayyan.

"Ibu suap? Mestilah nak!" sorak anak berusia sembilan tahun itu, gembira.

Zafirah menolak kerusi roda anaknya ke meja makan kecil. Dia melabuhkan duduk di sebelah Ayyan sebelum membuka bungkusan makanan tersebut. Tatkala itu, seluruh ruang atmosfera bilik diselubungi bau kari ayam yang membuatkan Ayyan terliur.

"Nampak sangat anak ibu ini kelaparan." Pipi kanan anak comel itu dicubit lembut. Gebu.

"Bila bau masakan ibu, makin bertambah-tambah rasa lapar Ayyan!" usik Ayyan.

"Ish, tengoklah itu! Perangainya dah sama macam ayah. Kuat mengusik," kata Zafirah. Ayyan tersengih-sengih memandang wajah putih susu milik Zafirah.

Wanita itu menyuakan sudu ke arah Ayyan. Dia menyuruh anak itu membaca basmalah.

"Makan kenyang-kenyang. Biar anak ibu ini gemuk sikit," ujar Zafirah. Ayyan mengerutkan dahinya.

"Ibu tak takut pun... muka Ayyan comel sangat." Zafirah tergelak kecil.

"Ayyan tak nak gemuk. Ayyan nak kurus dan kuat macam ayah," jawab Ayyan selepas menghabiskan kunyahan yang terakhir.

"Ya, ibu gurau sajalah." Zafirah mengemaskan rambut Ayyan yang sedikit serabut menggunakan tangan kiri.

PUTERA YANG TERSINGKIR [C]Where stories live. Discover now