PYT | BAB 1

134 14 9
                                    

BAYI lelaki itu dibaringkan di atas katil dengan berhati-hati. Zubair menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan sapu tangannya dan mengelap peluh yang merenik pada dahi anak kecil itu.

Dia baru saja pulang dari istana setelah mengambil dokumen kelahiran bayi itu. Dia berasa lega kerana segala urusan tentang bayi itu sudah selesai.

Tiba-tiba dia teringat akan momen di istana tadi ketika pegawai pendaftaran hendak mendaftarkan maklumat bayi itu di dalam sistem identiti warganegara.

Bukan main sukar dia meminta Sultan Ahmad memberikan nama kepada anak itu. Kesudahannya, sultan menyuruhnya menamakan anak itu.

Tengku Muhammad Ayyan Uwais ibni Sultan Ahmad Muzammil. Nama itu menjadi pilihannya dan mendapat persetujuan daripada sultan.

"Ayyan. Semoga kamu membesar dan menjadi anak yang soleh," tutur Zubair, perlahan.

Sedang dia mengusap ubun-ubun kepala Ayyan, anak itu secara tiba-tiba menangis. Zubair cuba memujuk, tetapi tidak berjaya.

Dari situ dia tahu bahawa anak itu lapar. Terus Zubair memanggil isterinya.

"Sayang, Ayyan lapar." Zafirah yang sedang duduk membaca buku menoleh ke arah suaminya. Dia dengar tangisan Ayyan dari bilik.

"Boleh ke, abang?" soal Zafirah, risau.

"Boleh, sayang..." Zubair senyum sahaja.

Zafirah kemudiannya memasuki bilik lalu menyusukan Ayyan. Lafaz basmalah meniti di bibir merahnya terlebih dahulu. Akhirnya tangisan Ayyan reda.

Zubair melabuhkan punggung di atas sofa. Dia mengucapkan tahmid dan gembira kerana Zafirah sudah dapat menerima Ayyan.

- - -

AYYAN yang dibiar tidur tanpa dibedung sebahagian tubuhnya ditatap lama oleh Zafirah. Dia tidak berani untuk menguruskan Ayyan kerana bimbang sekiranya berlaku kesilapan dan mengundang sesuatu yang buruk terhadap anak itu.

Sudahlah anak itu dilahirkan dalam keadaan tiada kedua belah kaki sehingga paras lutut yang menyebabkan dia dibuang dari keluarga. Dia risau kalau-kalau dia tersalah bedung dan mengakibatkan apa-apa kecederaan pada tubuh Ayyan.

"Kenapa tak bedung Ayyan? Kesian dia sejuk." Teguran daripada Zubair menimbulkan rasa bersalah dalam hati Zafirah.

"Saya takut kalau tersilap bedung. Nanti dia sakit," nyata Zafirah.

Zubair menggeleng kecil bersama senyuman manis. Dia tanpa disuruh terus mendekati Ayyan dan mengemaskan kain yang digunakan untuk membedung bayi itu.

Seusai itu, dia memegang tangan kanan Zafirah dan mengusapnya.

"Jangan takut, sayang. Anggap saja Ayyan ini anak kita. Manalah tahu, berkat kita jaga Ayyan dengan hati yang ikhlas dan penuh kasih sayang, Allah kurniakan zuriat yang baik-baik kepada kita? Betul tak?" Tangan kirinya naik mengelus rambut Zafirah dan menyelitkan ia di belakang cuping telinga si isteri.

Zafirah hanya diam tidak membalas. Dia membiarkan Zubair merenung wajahnya lama-lama.

- - -

SEBULAN Ayyan tinggal di rumah kedua pasangan itu. Dia membesar dengan sihat dan tiada sebarang masalah kesihatan sepanjang berada di bawah jagaan Zubair dan Zafirah.

Semakin lama, semakin menebal rasa sayang di dalam hati Zafirah terhadap si comel itu sehinggakan hendak meninggalkan Ayyan di rumah jirannya sementara dia bekerja sebagai dayang istana juga dia tidak sanggup.

Zubair bersyukur dan sangat gembira saat melihat hubungan antara Zafirah dan Ayyan bertambah akrab.

"Ayyan... ya Allah comelnya anak ibu ini!" puji Zafirah tatkala senyuman kecil terhias indah pada bibir merah Ayyan. Pipi tembam anak itu dicubit lembut.

Gebu!

"Mana agaknya ayah ini tak balik-balik? Dahlah Ayyan tengah rindu," omelnya dengan mengajuk suara kanak-kanak.

"Amboi, bermanja-manja dengan Ayyan sampai tak dengar abang beri salam di luar ya?" tegur Zubair yang baru sahaja pulang dari istana. Tawaan halus terlepas dari mulut lelaki itu saat wajah tidak bersalah isterinya menerpa indera penglihatan.

"Waalaikumussalam. Tak dengar. Suara abang perlahan sangat," komen Zafirah.

"Perlahan? Rasanya macam dah cukup kuat tadi," balas Zubair. Kelihatan sengihan kecil terbentuk di bibir isterinya.

Zubair berjalan mendekati katil lalu bertindak ingin mendukung Ayyan. Namun perbuatannya laju sahaja dihalang oleh Zafirah dengan wajah serius. Zafirah memegang kedua belah tangan suaminya.

"Abang itu baru balik kerja dengan berpeluh-peluh macam ini, lepas itu ada hati nak dukung Ayyan? Mana boleh. Abang kena pergi mandi, bersihkan diri dan berwangi-wangian, barulah Ayyan pun selesa nak dekat dengan abang," katanya.

Zubair tergelak halus. Dia melepaskan kedua tangan daripada pegangan Zafirah, lalu mencubit hidung kecil isteri kesayangannya itu.

"Baiklah, sayang. Abang masuk mandi dulu ya. Pergilah bermanja-manja dengan anak kesayangan awak itu puas-puas. Sekejap lagi, giliran abang pula..." ujar Zubair sambil melangkah keluar dari bilik.

Zafirah menggeleng kepala bersama senyuman manis. Dia kembali memandang roman wajah suci Ayyan.

"Kenapa pandang ibu macam itu? Bosan dah main dengan ibu? Nak main dengan ayah pula ya?" Rambut lebat berwarna kekelabuan milik Ayyan itu dielus lembut.

Ayyan tersenyum lebar menampakkan gusi merahnya yang masih belum ditumbuhi gigi. Anak mata berwarna biru nilam yang cukup membuatkan sesiapa yang menatapnya terpukau itu melihat wajah Zafirah.

Sejuk hati Zafirah kerana Ayyan dapat membesar dengan baik dan bahagia seperti ini.

Namun demikian, terdapat juga perasaan sebak di dada ketika terbayangkan apa yang akan berlaku kepada Ayyan setelah mengetahui bahawa dia dan Zubair bukanlah ibu dan ayah kandungnya. Dan apa perasaan Ayyan apabila mendapat tahu bahawa ibu dan ayah kandungnya sendiri tidak mahu menerima kehadirannya dalam keluarga, malah terus melucutkan gelarannya sebagai putera mahkota kerajaan.

Zafirah akui yang dia tidak bersedia untuk menghadapi situasi tersebut. Dia berharap agar Allah mempermudahkan segala urusan mereka nanti.

PUTERA YANG TERSINGKIR [C]Where stories live. Discover now