PYT | BAB 15

79 13 4
                                    

DULANG yang mengandungi hidangan makan tengah hari dibawa ke kabinet dapur istana bersama senyuman jahat. Wanita yang memakai uniform dayang istana itu mengeluarkan botol berwarna hitam dari poket baju sambil mata melilau-lilau memerhatikan sekeliling untuk memastikan tiada sesiapa pun yang nampak perbuatannya.

Penutup botol dibuka lalu dia menuangkan  cecair berwarna biru jernih ke dalam sup ayam tersebut secara berlebihan.

'Ini kalau si putera mahkota itu makan, semestinya dia tak akan sempat hidup sehingga hari pertabalan,' kata wanita itu di dalam hati.

Seusai itu, dia menutup semula botol tersebut dan menyimpan ia ke dalam poket baju. Sup tersebut dikacau agar cecair itu sebati sebelum dia menyuruh Zafirah yang baru tiba di dapur meletakkan dulang hidangan tengah hari Tengku Hassan  di atas meja makan.

Zafirah hanya menurut arahan. Dia tatang dulang itu dan bawa ke meja makan. Ketika itu, ahli kerabat diraja masih belum turun, tetapi Tengku Hassan sudah terpacak di ruangan itu bersama senyuman. Zafirah dengan penuh hormat meletakkan dulang tersebut di tempat yang sememangnya Tengku Hassan selalu duduk.

"Awal sungguh tuan putera berada di sini? Pasti tuan putera sudah lapar..." teka Zafirah.

"Sebenarnya, beta tidak mahu bersantap tengah hari ini. Beta masih kenyang kerana lewat bersarapan. Jadi... tuan hamba ambil sajalah hidangan tengah hari beta. Itupun jika tuan hamba mahu," jelas Tengku Hassan.

Zafirah jadi hairan. Sepanjang dia berkhidmat sebagai dayang, ini pertama kali dia ditawarkan untuk mengambil hidangan daripada istana.

"Benarkah? Bukan apa tuan putera... patik risau jika baginda sultan murka terhadap patik saja nanti kerana mengambil kepunyaan istana sesuka hati. Patik takut jika baginda sultan salah faham," ujar Zafirah dengan sopan.

Tengku Hassan mendekati Zafirah. Dia meminta Zafirah merendahkan badan agar menyamai ketinggiannya seketika.

"Jangan risau. Soal ayahanda, biar beta yang uruskan kelak. Tuan hamba ambil saja. Beta boleh bikin alasan untuk dikatakan pada ayahanda." Tengku Hassan berbisik kepada Zafirah. Perlakuannya membuahkan senyuman kecil pada bibir Zafirah. Comel sungguh.

"Baiklah jika begitu, tuan putera. Patik amat berbesar hati untuk menerima pemberian itu." Zafirah berdiri dan menunduk sedikit tanda hormat kepada Tengku Hassan.

Putera mahkota itu hanya melukiskan senyum sebelum berlari keluar dari ruang makan.

Zafirah membawa dulang tersebut ke dapur semula dan dia hairan kerana wanita yang menyuruhnya hantar makanan itu sudah tiada di situ. Sejujurnya dia pelik kerana tidak pernah lihat wanita itu sepanjang dia bertugas. Tapi dia tidak mahu mengandaikan perkara yang bukan-bukan kerana di istana itu bukan terdapat seorang dua saja dayang yang bertugas.

Jadi dia menuangkan sup ayam tersebut ke dalam bekas lain. Begitu juga dengan nasi dan buah anggur. Niatnya untuk memberikan hidangan itu kepada Ayyan. Dapatlah juga anak itu merasa masakan tukang masak istana walaupun sekali seumur hidup.

— — —

"KAU dah tuang racun itu, Elya?" tanya seorang lelaki yang memakai topeng menutup parut kesan daripada kelecuran pada mata sebelah kirinya.

"Dah, tuan. Tak lama lagi dia akan mati secara perlahan-lahan." Wanita bernama Elya itu menunduk sedikit.

Uniform yang dipakai tadi sudah ditukar kepada pakaian serba biru tua. Terdapat lambang jata negara kerajaan Purnama pada lengan kanannya. Pakaiannya terlihat sama dengan lelaki itu, cuma lelaki itu mempunyai insignia pingat dan bintang kebesaran diraja menandakan dia merupakan orang berkepentingan dalam negara.

"Bagus..." Lelaki itu tersenyum bangga.

"Racun itu tiada penawarnya. Panggillah tabib terhebat dunia sekalipun, takkan ada yang mampu merawat dan menyembuhkan. Dan racun itu akan bunuh putera kesayangan sultan itu sedikit demi sedikit dengan penuh penyeksaan." Tawaan jahat terluah dari mulut lelaki itu. Elya cuma diam dan biarkan dia ketawa sepuas hati.

"Apa kau tunggu lagi? Pulanglah," arah lelaki tersebut. Elya mengangkat muka bersama kerutan pada dahinya. Rambut ikal mayangnya yang menutupi sebahagian wajah disebak dan diselitkan pada telinga.

"Saya mahukan upah, tuan. Bukan mudah untuk menyamar di istana itu. Pengawalnya banyak bertanya!" Kedua tangan disilangkan pada dada.

"Upah itu nanti-nanti pun aku boleh bagi. Lagipun, aku mahu lihat putera itu mati dahulu. Selepas kematiannya, baru aku bayar upah kau. Dah, mari pulang ke markas. Esok kita akan berangkat ke Purnama semula." Lelaki itu mula berjalan meninggalkan Elya yang tidak berpuas hati di belakang.

Dia cuma mahukan bayaran!

— — —

NASI dan sup itu dinikmati oleh Ayyan dengan penuh selera. Mana tidaknya dia gembira kalau dah ditemani oleh Zafirah setelah sekian lama dilayan dingin oleh si ibu.

"Ayyan, ibu... nak minta maaf sebab selalu marah Ayyan. I-Ibu banyak b-buat salah dengan Ayyan. Ibu gagal laksanakan amanah u-untuk jaga Ayyan itu dengan baik... maafkan ibu," tutur Zafirah, sebak. Butir bening mulai turun membasahi pipi.

Ayyan yang lihat ibunya menangis jadi tidak senang. Dia hendak menyeka air mata itu, tapi jarak antara dia dan Zafirah agak jauh kerana wanita itu sedang duduk di atas katil, manakala dirinya berada di meja makan kecil.

Sudu diletakkan di atas pinggan lalu dia menatap kedua pasang iris hazel ibunya dalam-dalam. Pandangan tenang diberikan Ayyan.

"Ibu... janganlah menangis. Ayyan tak pernah marahkan ibu. Ayyan faham, ibu kena lebihkan masa dengan adik. Ayyan cuma sedih sikit sebab ibu macam bencikan Ayyan masa itu. Tapi Ayyan dah lama maafkan ibu. Buat apa Ayyan nak simpan dendam dengan orang yang Ayyan sayang, kan?" Ayyan tersenyum manis untuk mengelakkan Zafirah rasa bersalah.

"Tapi ibu-"

"Ibu, Ayyan tak bolehlah tengok ibu sedih macam ini." Ayyan menolak kerusi roda mendekati Zafirah. Saat dirinya berada di hadapan wanita itu, kedua tangan naik menghapuskan air mata yang sedang mengalir pada pipi merah tersebut.

Terasa hangat hati Zafirah tatkala tangan Ayyan menyeka lembut air matanya.

"Senyumlah ibu. Ayyan rindu senyuman ibu," pujuk Ayyan. Sopan saja nadanya.

Zafirah mengukir senyuman manis. Dia mencuit hidung mancung Ayyan.

"Pandai ya pujuk ibu? Mesti ayah yang ajar ini," gurau Zafirah.

Ayyan tergelak kecil lalu membalas, "Kan manis kalau ibu senyum. Usah bersedih hati. Kalau ibu sedih macam tadi, Ayyan pun ikut sama sedih tau."

"Yalah... ibu dah gembira sekarang. Dah, pergilah sambung makan dulu. Nanti makanan itu sejuk tak sedap pula," kata si ibu. Ayyan mengangguk setuju kemudian membawa diri ke meja makan semula untuk sambung menghabiskan makanan.

PUTERA YANG TERSINGKIR [C]Where stories live. Discover now